1. Hari Kiamat,
2. apakah hari Kiamat itu?
3. Tahukah kamu apakah hari Kiamat itu?
Tiga perkataan Kiamat diulangi kepada manusia dalam surah ini. Supaya manusia yang mempunyai akal berfikir panjang, bukan setakat sekali fikir sahaja. Berfikirlah dengan sewaras-warasnya sehingga hati kita merasa tenang. Segala yang dilihat buruk, belum tentu buruk bagi kita. Jika kita berfikir panjang, mungkin ia memberi natijah yang baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Jadi, janganlah kita terlalu cepat mengambil keputusan tanpa berfikir panjang, kelak kita sendiri akan merasa penyesalannya.
Ambil contoh isu penggunaan nama Allah dalam kitab Bible terjemahan Melayu. Ramai umat Islam di negara kita merasa resah dengan tindakan pihak Kristian itu kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan ramai orang Islam terutamanya remaja kita akan mudah terpengaruh dengan ajaran Kristian. Akhirnya akan meningkatkan penghijrahan orang Islam untuk memeluk Kristian.
Jika kita berfikiran pendek, memang kita nampak isu ini memberi kesan negatif pada umat Islam. Tetapi jika kita berfikir panjang, sebenarnya banyak kesan baiknya jika kita berjaya perindahkan akhlak orang-orang Islam. Antaranya, dengan penganut Islam dan Kristian menggunakan perkataan Allah, ia membawa ke arah kesatuan antara manusia. Sebab kita percaya kepada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung walaupun dalam agama Kristian mencampuri teori trinitinya. Apabila nama Tuhan yang sama digunakan, memudahkan umat Islam untuk berdakwah kepada mereka. Banyak lagi kesan-kesan baik yang boleh kita fikirkan, tetapi dengan syarat kena kenali diri dahulu sebab apa agama Islam sekarang dipandang rendah oleh bangsa lain.
Jika kita rasa takut dengan bayang-bayang sendiri dengan membuat andaian bahawa isu itu akan menyebabkan lagi ramai umat Islam murtad, ia secara tidak langsung menunjukkan akidah kita kepada Allah sebenarnya lemah. Kita mungkin berbangga ada nama “Allah” sebagai Tuhan, tetapi pergantungan kita kepada Allah masih lemah. Kerana itu kita sibuk bercakaran sesama sendiri. Yang menyebabkan orang Islam murtad kerana dia sudah tidak nampak di mana keindahan Islam yang sebenar. Islam hanya diperindahkan dari segi nama sahaja bukannya dari segi akhlak. Dari segi perangai, rata-rata umat Islam menunjukkan perangai yang lebih teruk dari penganut agama lain. Kita malas memajukan pemikiran sehingga mampu mengkaji dan meneroka ilmu-ilmu baru untuk kesenangan manusia. Kita hanya tahu berbalah sesama sendiri. Jadi di mana keindahan Islam hendak diperlihatkan?
Tidaklah kerosakan terhadap imej Islam ini melainkan dari tangan kita orang Islam sendiri. Tidakkah kita mahu perindahkan akhlak sendiri berbanding sibuk mengejar kekayaan dan kekuasaan atas nama menegakkan Islam?
Oleh kerana itu, sudah sampai masanya kita kembali mewujudkan generasi yang mengkaji dan menerokai Al-Quran dengan keupayaan akal sendiri. Bukannya belajar Quran dengan cara menurut dan taksub kepada tok guru sebab Rasulullah pun belajar Quran dengan bergantung kepada Allah semata-mata. Bukankah kita kena mencontohi Rasulullah?
Inilah Kiamat yang Allah janjikan sebelum datangnya hari kebangkitan. Hari kebangkitan manusia untuk menyedarkan manusia yang lalai dengan janji Allah.
4. Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran,
5. dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan.
Jika kita pernah melihat busut yang dipecahkan sehingga anai-anai bertebaran, kita akan nampak keadaan serangga ini penuh bercelaru. Lintang-pukang anai-anai itu mencari arah masing-masing. Begitulah keadaan umat Islam sekarang yang bercelaru hidupnya. Berpecah-belah dan bermusuh-musuhan sesama sendiri kerana berebut kuasa dan harta. Akhlak muda-mudi runtuh sedangkan merekalah yang bakal mewarisi negara.
Bayangkan apa akan jadi pada masa hadapan jika generasi muda tidak kuat akidahnya akibat kelalaian generasi tua yang menunjukkan akhlak yang buruk? Jangan tahu salahkan kerosakan akhlak muda-mudi itu pada pemimpin sahaja, kalau kita sendiri pun sibuk mencaci-maki, mengutuk dan berdengki sesama sendiri. Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dalam diri.
Dan pada hari Kiamat nanti, ada orang-orang yang sebelum ini memiliki ilmu agama yang tinggi akan hancur ilmu-ilmu kerana dalam hatinya ada penyakit. Akibat suka mengutuk dan mencari kesalahan orang lain demi merebut kekuasaan duniawi, ilmu Quran yang dipelajari selama ini tidak membawa dirinya kepada kemuliaan hati, tetapi kepada rasa bangga diri yang dia lebih Islamik berbanding orang lain. Bagi mereka perbezaan pendapat hanya untuk mewujudkan puak-puak kerana ketidakterbukaan hati mereka menerima pendapat orang lain. Mulutnya hanya tahu menghamburkan caci dan maki sahaja.
6. Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya,
7. maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan.
Sejauh mana kita mengambil berat menjaga dalam hati sendiri supaya tidak berpenyakit, sejauh itulah kita akan rasa kehidupan yang memuaskan. Hati sentiasa tenang dan damai. Rasa ini boleh dicapai oleh orang yang membangunkan akalnya sehingga berfikir mencari idea-idea itu adalah amalan hariannya. Ujian Allah tidak dirasakan suatu kesusahan, tetapi dianggap sebagai penguat keimanan dan pemberi semangat untuk meningkatkan keupayaan akal. Semakin diuji, semakin dia menghampiri (mengingati) Allah. Dia semakin mengkaji Quran untuk menghiburkan hati biar apa perasaan yang melanda di jiwa. Dia sentiasa redha dengan ketentuan Allah untuknya serta sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Tidak mengeluh-kesah biar pun ada rasa terkilan. Itulah jiwa orang-orang yang sabar. Sentiasa rasa bersyukur dan memuaskan dengan rezeki yang diperolehi.
8. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya,
9. maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah.
10. Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu?
11. (Yaitu) api yang sangat panas.
Dan orang yang meringan-ringankan urusan menjaga hati ini pastinya akan kembali kepada neraka. Neraka di dunia adalah perasaan panas hati, marah, cepat melenting, tidak sabar, hasad dengki, dendam khianat dan pelbagai perbuatan yang mengundang kepada hidup berpuak-puak dan berpecah-belah.
Kenapa umat Islam sekarang hidup dalam keadaan tertekan dan kuat marah? Harga barang naik, ramai yang mengamuk mengutuk pemerintah sendiri. Harga minyak naik, ramai yang marah mengutuk pemimpin sendiri. Akibatnya hidup kita ini hanya hendak marah sahaja. Bukankah amarah itu menyebabkan wajah cepat tua? Marah juga menyebabkan jantung tertekan dan mudah kena penyakit jantung.
Jika kita benar-benar mengkaji Quran, kita akan nampak sebenarnya Quran mengajak kita kepada hidup dalam keadaan tenang dan sabar. Hati rasa bahagia dan senyum sentiasa. Jika kita dekat dengan Allah melalui cara membangunkan akal agar bermacam-macam idea kita dapat, kita rasa hidup kita dipermudahkan. Biarpun kita tidak sekaya mana, tetapi rezeki yang ada cukup menampung kehidupan bagai di syurga. Tiada erti keluh-kesah akibat tekanan ekonomi, tetapi sentiasa pasrah dengan rezeki yang diperolehi. Rezeki digunakan bukan untuk bermegah-megah dengan jiran tertangga, tetapi untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hatinya sentiasa terhibur dengan petunjuk-petunjuk yang Allah beri melalui ilham yang dicapai. Jiwanya sentiasa muda biarpun sudah beranak-pinak. Itulah janji Allah kepada manusia yang membangunkan pemikirannya sendiri sehingga mampu mensucikan hati.
No comments:
Post a Comment