CARI TAJUK UTAMA

Friday, April 25, 2008

Wasiat Imam Syafie

__ Wasiat Imam Syafie...
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat
kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.Berikut ialah
kandungan wasiat
tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka
hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan
percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan
kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati
dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing
merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang
dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan
nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan
sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI
AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu
orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu
bapa bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok
akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima
bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan
maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat,
bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan
bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari
kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.._,_.___

"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"


Dan Allah tuhan Kami
Rasul ikutan kami
Al-Quran Panduan kami
Jihad jalan Kami
Mati Syahid cita-cita tertinggi kami

Bidadari Umar R.A

Umar r.a. adalah salah satu dari sahabat Rasulullah SAW. Semenjak ia memeluk Islam, kaum muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Sejak itulah mereka berani sholat dan thowaf di ka'bah secara terang-terangan. Umar r.a. adalah seorang yang waro', ia sangat teliti dalam mengamalkan Islam. Umar r.a. mempelajari surah Al Baqoroh selama 10 tahun, kemudian ia melapor kepada Rasulullah SAW, "wahai Rasulullah SAW apakah kehidupanku telah mencerminkan surah Al Baqoroh, apabila belum maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya". Rasulullah SAW menjawab, "sudah …!" Umar r.a. mengamalkan agama sesuai dengan kehendak ALLAH SWT. Karena kesungguhannya inilah maka banyak ayat Al Qur-an yang diturunkan ALLAH SWT berdasarkan kehendak yang ada pada hatinya, seperti mengenai pengharaman arak, ayat mengenai hijab dan beberapa ayat Al Qur-an lainnya.

Rasulullah SAW seringkali menceritakan kepada para sahabatnya mengenai perjalanan mi'raj menghadap ALLAH SWT. Beliau SAW sering pula menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan ALLAH SWT kepada sahabat-sahabatnya. Suatu hari ketika Rasulullah SAW dimi'rajkan menghadap ALLAH SWT malaikat Jibril memperlihatkan kepada Beliau SAW taman-taman syurga. Rasulullah SAW melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bercengkrama. Ada seorang bidadari yang begitu berbeda dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril, "wahai Jibril bidadari siapakah itu?" Malaikat Jibril menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar r.a., pernah suatu hari ia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeda dari bidadari yang lainnya. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bagian atas matanya berwarna merah dan bagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat sangat pemalu. Karena sahabat-mu itu selalu memenuhi kehendak ALLAH SWT maka saat itu juga ALLAH SWT menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya".

Thursday, April 24, 2008

Nabi Palsu Sesatkan Ummah

Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib Al-Quraisyi telah dinyatakan oleh Allah sebagai Nabi dan Rasul terakhir, Allah sekali-kali tidak mengangkat Nabi lagi sesudahnya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran yang ertinya: “Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari salah seorang lelaki di antara kamu, tapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi. Dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
(Al-Ahzab, ayat 40) Akan tetapi sejarah mencatatkan ramai individu yang mengaku sebagai Nabi sejak Nabi Muhammad masih hidup, sehingga ke abad dua puluh ini. Bermacam-macam dalil yang mereka kemukakan untuk memperkuat dakwaannya, tapi orang-orang berakal menolak dengan tegas dan menganggapnya sebagai perkara yang melucukan. Semua Nabi-Nabi yang diangkat Allah dapat dilihat sejarahnya bahawa mereka tidak ada maksud apa-apa selain hanya menjalankan perintah Allah.

Sedang para pendakwa Nabi atau Nabi-Nabi palsu itu masing-masing mempunyai kepentingan individu tersendiri, sama ada ditaja oleh pihak lain atau atas daya usahanya sendiri. Sebahagian besar mereka yang mengaku menjadi Nabi itu dikenakan berbagai hukuman, ada yang digantung sampai mati, dibakar, dirotan dan ada pula yang dipulihkan dari penyakit jiwanya.

Sejarah pun mencatat nama-nama individu yang pernah mengaku menjadi Nabi dari zaman ke zaman, di antaranya ialah Musailamatul Kazzab, Aswad Al-Insi, Tulaihah Al-Asadi, Sajjah binti Al-Harith, Ahmad bin Husain, Laqit, Mirza Ghulam Ahmad, Mirza Ali Muhammad, Bahaullah, Al-Mukhtar bin Ubaidillah, Ibnu Sam’an, Amir bin Harb, Abu Mansur Al-Ijli, Ibnu Said As-Sajli, Abu Khattab Al-Asadi, Ibnu Bahram Al-Juba’i, Hasan bin Hamdan, Abul Qasim An-Najar, Al-Muni’ul Qashar, Ibnu Kharba Al-Kindi, Abu Muslim As-Siraj dan lain-lain. Turut mengaku sebagai Nabi juga adalah:

Harith bin Saad; dia mendakwa menjadi Nabi di masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Daulat Bani Umaiyah. Ramai orang yang dapat dipengaruhi dan menjadi pengikut-nya. Tapi kesudahannya dia dibunuh bersama pengikut-pengikutnya.

Isa Al-Asfahan; dia mendakwa dirinya diangkat menjadi Nabi di masa Khalifah Al-Mansur dari Daulat Bani Abbasiah . Akhirnya dia dihukum bunuh.

Faris bin Yahya, dia mendakwa dirinya menjadi Nabi di masa pemerintahan Khalifah Al-Muktaz di Mesir. Faris mengaku sebagai Nabi Isa dan mendakwa dapat menyembuhkan penyakit sopak, orang buta, penyakit kusta dan menghidupkan orang mati.

Ishak Al-Akhras, dia mengaku sebagai Nabi di Asfahan (Iran). Dia pandai membaca kitab Taurat, Injil dan pandai mentafsirkan Al-Quran sesuka hatinya. Di antara ajarannya ialah barangsiapa yang beriman kepada Allah, beriman kepada Nabi Muhammad dan beriman kepadanya, dialah orang-orang yang mendapat kemenangan. Kerana kepandaiannya bertutur kata, ramai orang yang dapat dipengaruhinya dan menjadi pengikutnya. Ishak pada akhirnya dapat dihukum bunuh.

Aswad Al-Insi
Namanya sebenar adalah Ailat bin Kaab bin Auff Al-Insi keturunan bangsa hitam Habasyah yang tinggal di Jazirah Arabia. Oleh kerana itulah dia dipanggil Aswad yang bermakna Si Hitam Pekat, dan terkenallah namanya sebagai Aswad Al-Insi. Dia mengaku dirinya sebagai nabi pada saat-saat menjelang Rasulullah SAW jatuh sakit dan segera mendapat pengikut yang ramai di kalangan kaumnya. Akan tetapi nabi palsu ini dapat dibunuh pada tahun 11 H/632M iaitu di saat-saat menjelang kewafatan Rasulullah SAW.

Si Hitam Yang Bercadar

Aswad Al-Insi sentiasa menutup mukanya dengan cadar (purdah) seperti yang biasa dipakai oleh kaum wanita sehingga dia dipanggil juga dengan nama Zul Khimar yang bermakna orang yang memakai cadar. Dia sendiri rela dirinya diberi gelar Si Hitam atau Aswad. Sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai nabi, Aswad Al-Insi memang terkenal sebagai seorang yang mempunyai ilmu-ilmu hitam dan sihir (black magic) yang mampu memperlihatkan hal-hal yang aneh, ajaib dan menakutkan. Kerana kebolehannya itu, dia ditakuti dan dikagumi di kalangan kaumnya dan pengaruhnya besar. Ditambah lagi dia sebagai seorang orator yang tutur katanya manis dan menarik. Orang-orang awam dari suku besar Mazhaj segera mempercayainya bahawa dia sebagai nabi.

Ajaran utama Aswad adalah membebaskan manusia dari kewajipan solat dan membayar zakat serta membenarkan perzinaan. Kewajipan solat dan zakat inilah yang dirasakan berat oleh sesetengah kabilah Arab selama ini. Apabila mendengar ajaran yang dibawa oleh “nabi” baru itu sangat sesuai dengan nafsunya, mereka berpusu-pusu datang menyatakan sokongan dan sedia mati membela Aswad Al-Insi. Mereka bersedia bergadai nyawa jika Aswad mengarahkannya menyerang Madinatul Munawwarah tempat Nabi Muhammad menyampaikan ajarannya.

Setelah memperolehi pengikut yang ramai, Aswad maju menyerang kota Najran yang ketika itu dibawah pengawasan penguasa Islam Amru bin Hazmi dan Khalid bin Saad.

Aswad berhasil menduduki kota itu dan wilayah sekitarnya, sementara kedua-dua penguasa Islam di situ terpaksa berundur ke kota San’a. Maka berlangsunglah keluar agama (murtad) secara besar-besaran di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh Aswad.

Dalam masa yang singkat, pengikut Aswad telah bertambah besar dan dia bertambah sombong dan bermaharajalela. Kekuatan tenteranya semakin besar kerana para pengikutnya rela berperang bersamanya. Langkah seterusnya dia membentuk 700 pasukan berkuda yang dipimpin oleh Kais bin Abdi Yaguts Al-Muradi sebagai panglima perang besarnya. Sedang zon-zon pasukannya dipimpin Maawiyah bin Kais Al-Janabi, Yazid bin Maharram, Yazid bin Hushain Al-Harithi dan Yazid bin Afkal Al-Yazidi.

Pasukan berkuda Aswad bergerak menyerang kota San’a yang ketika itu diperintah oleh penguasa Islam bernama Emir Syahr bin Bazan yang dikukuhkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Syahr bin Bazan keluar dengan pasukannya menyambut kedatangan pasukan Aswad. Maka terjadilah pertempuran sengit di antara kedua-dua pasukan itu yang berakhir dengan kekalahan di pihak Syahr bin Bazan yang menemui syahid di dalam pertempuran bersama sejumlah besar tentera Islam lainnya.

Aswad menduduki San’a dengan sombong dan mengambil janda Syahr bin Bazan yang bernama Azaz yang sangat terkenal cantik jelita itu menjadi salah seorang isterinya secara paksa. Walaubagaimanapun Azaz tetap menjadi seorang muslimah yang solehah, taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekalipun jasmaninya berada dalam genggaman Aswad secara paksa. Aswad juga telah mengangkat Fairuz Ad-Dailami bersama Emir Dazwih untuk mengetuai seluruh kaum peranakan (al-Abnak).

Merancang Pembunuhan

Dengan kejayaan Aswad menakluki San‘a, umat Islam di seluruh wilayah Hadramaut menjadi cemas dan khuatir kalau-kalau nabi palsu itu mengarahkan pasukannya menyerbu wilayah Hadramaut pula. Mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Rasulullah SAW di Madinah telah mengetahui perkara yang terjadi.

Baginda telah menghantar Wabar bin Yuhannis Al-Asadi sebagai utusan ke Yaman untuk memberikan arahan agar kaum Muslimin di sana tetap bertenang dan menyusun kekuatan semula untuk menghadapi Aswad. Muaz bin Jabal yang ketika itu sedang bertugas di Yaman, telah berkeliling menghubungi orang-orang yang masih kuat imannya.

Kedatangan utusan dan khabar dari Rasulullah itu telah membuat kaum Muslimin terhibur dan semangatnya naik semula untuk menghadapi Aswad.

Sementara Aswad sendiri semakin sombong akan kejayaannya. Dia merasa kejayaan yang dicapainya dalam waktu singkat itu adalah berkat kekuatannya sendiri dengan menggerakkan ilmu-ilmu hitamnya. Sehingga dia sering mencemuh Qais bin Abdi Yaguts panglima perang yang telah berjasa dalam memimpin tenteranya.

Tidak ketinggalan Fairuz Ad-Dailimi dan Emir Dazwah juga sering dicemuh dan dihina oleh Aswad di hadapan orang ramai. Akibatnya, sama ada panglima Qais, penguasa Fairuz dan Dazwah menjadi benci terhadap Aswad.

Lebih-lebih lagi perempuan janda Syahr yang dijadikan isteri secara paksa oleh Aswad sangat dendam dan membenci nabi palsu itu. Tapi mereka tidak berani berbuat apa-apa kerana Aswad sangat terkenal, ramai pengawalnya dan sering menggunakan khidmat syaitan-syaitan / jin-jinnya untuk mencelakakan seseorang.

Muaz bin Jabal melihat situasi ini sangat menguntungkan untuk mengambil kesempatan. Secara senyap-senyap dia melakukan pendekatan kepada Fairuz Ad-Dailimi dan Dazwah sambil memperlihatkan surat Rasulullah SAW. Kedua-dua Emir itu sangat gembira, bagaikan kejatuhan emas dari langit ketika menerima khabar dari Rasulullah SAW. Mereka pun melakukan pendekatan pula terhadap panglima perang Qais bin Abdi Yaguts dan berhasil. Kini ketiga-tiga orang penting Aswad itu telah sepakat untuk memusnahkan tuan besarnya yang bongkak.

Walau bagaimanapun, mereka bertiga mesti melaksanakan maksudnya dengan terancang dan tipu helah. Sebab disekitar Aswad sangat ramai tentera, pengampu dan pengawal yang menjaganya setiap masa. Apabila mereka yang menyimpan dendam itu telah sebulat suara untuk membunuh Aswad, syaitan-syaitan nabi palsu itu dapat mengesannya lalu memberitahukan kepada Aswad.

Syaitan-syaitan itu memberitahukan kepada Aswad bahawa ada komplot yang ingin membunuhnya yang dianggotai oleh panglima perang dan orang-orang penting lainnya. Aswad segera memanggil Qais dan memberitahukan wahyu yang dibisikkan oleh syaitan itu.

“Wahai Qais! Aku menerima wahyu yang tidak sedap tentang kamu.” kata Aswad.

“Apa katanya?” tanya Qais.

“Engkau memuliakan Qais, menaruh kepercayaan dan bermurah hati kepadanya. Awas, kelak bila dia sudah sangat akrab dengan kau dan mempunyai kedudukan yang kuat seperti engkau, dia akan menjadi lawanmu, merampas kekuasaanmu dan melakukan pengkhianatan. Wahai Aswad! Kasihan engkau.” kata Aswad memberitahukan bisikan syaitannya.

Qais pura-pura menafikan perkara itu sambil berkata dan berkata palsu: “Wahai Zul Khimar! Itu semua bohong. Tuanku sungguh agung dan mulia di sisiku, sehingga tidak pernah terlintas dihatiku ada cita-cita seperti yang tuanku khuatirkan itu.”

“Engkau sungguh biadab wahai Qais! Engkau telah menganggap seorang raja berbohong. Raja bercakap benar, dan sekarang aku tahu bahawa engkau mesti menyesal atas semua yang pernah engkau lakukan.” kata Aswad dengan marah sambil melihat Qais dari kepala hingga ke kakinya.

Qais dibebaskan dan segera keluar menjumpai teman-teman sehaluannya untuk membincangkan apa yang telah terjadi.
“Kalau begitu, mulai sekarang kena berwaspada.” kata mereka.

Tiba-tiba mereka punya idea untuk mendekati Azaz yang menjadi isteri paksa Aswad dan sangat membencinya. Kebetulan pula perempuan cantik jelita itu masih saudara sepupu kepada Fairuz.

Mula-mula Qais menjumpai Azaz secara senyap-senyap dan mencuri-curi, sebab kalau diketahui Aswad, padahnya sangat besar.

“Wahai sepupuku! Engkau telah tahu musibah yang menimpa kaummu gara-gara kekejaman lelaki itu (Aswad). Dia telah membunuh suamimu, memalukan kamu dan memaksa perempuan menjadi miliknya. Adakah engkau tidak dapat bertindak sesuatu keatasnya?” tanya Qais kepada Azaz.

“Bertindak bagaimana?” tanya Azaz.

“Menghalaunya keluar.”

“Bagaimana kalau dia dibunuh saja?” tanya Azaz.

“Dibunuhpun boleh.” kata Qais.

“Memang, demi Allah. Allah tidak menciptakan seseorangpun yang paling aku benci selain si Aswad itu. Jika kamu sudah berazam untuk membunuhnya, beritahu aku. Aku akan memberimu tunjuk ajar tentang perkara ini.” kata Azaz.

Kecintaan Kepada Syahid

Dalam kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah SAW kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam, salah seorang di antaranya ialah raja Busra, surat kepada raja ini di hantar oleh Haris bin Umar Azdi ra. Sewaktu membawa surat ketika Haris bin Umar ra. sampai di Mauta beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang gabenor Kaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris bin Umar ra. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah SAW sangat dukacita atas kematian Haris, lalu baginda mengumpulkan seramai 3000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah SAW, melantik Zaid bin Harthah sebagai ketua pasukan. Kemudian Baginda SAW, bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran: “Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh maka Abdullah bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranva Abdullah juga terbunuh maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu orang yang kamu kehendaki.” Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata: “Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban kerana ini adalah lumrah sebagimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.”

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah SAW memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh baginda SAW kepada Zaid. Rasulullah SAW menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan baginda berdoa: “Semoga Allah SWT akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperolehi kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan.”

Setelah Rasulullah SAW selesai berdoa, Abdullah bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud: “Aku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku dan
sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar
keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air.
Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan isi perutku.
Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan berkata:
Semoga engkau telah gugur kerana Allah.... berjaya dan makmur.
Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.” Di pihak musuh pula ketuanya yang bernama Sarjil, telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam, Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam. Ketika, Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, ia mendapat berita bahawa Kaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri dari 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir samada mara atau pun tidak untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu Abdullah bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang: “Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini? Bukankah kamu semua datang kesini untuk mati syahid. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau syahid.”

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah bin Rawahah, maka para sahabat pun bertekad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan peperangan Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid ra. menggenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran, maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.

Sarjil telah mengirim berita kepada Kaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Kaisar pun menghantar tenteranya yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentara Islam yang cuma 3000 orang sahaja. Dalam pertempuran yang sengit itu maka syahidlah Zaid ketua panglima tentera Islam.

Jaafar ra. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera, beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu Jaafar membaca beberapa ungkapan syair: “Wahai manusia! Betapakah indahnya syurga.
Dan betapa gembiranya tentang kehampirannya!
Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua.”
Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memegang pedang beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan menggigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. Darah mengalir seperti air paip. Datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar ra. sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar ra. Umur Jaafar ra. ketika itu ialah 33 tahun.

Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.”

Sewaktu Jaafar ra. terbunuh Abdullah bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan. Beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar berita tentang kematian Jaafar. Dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata “Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedangkan Jaafar telah sampai ke syurga.”

Tanpa membuang masa Abdullah bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran anak-anak jarinya banyak yang parah dan banyak yang tergantung dengan isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya.

Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbandingkan tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu dia tersentak dan berkata ia dalam hatinya: “Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian?” Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah.”

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata: “Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari.”
Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melemparkan daging tersebut. Dengan pedang yang terhunus beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau syahid di medan pertempuran itu.

Aib Kematian Dan Penggali Kubur

Bersama Pemuda & Ayahnya yang Berubah Menjadi Himar

Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi.

“Hai saudara,” tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. “Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja.”

Wajah mayat bertukar jadi himar


“Saya ada alasan tersendiri,” jawab pemuda itu. “Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang ramai tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

“Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, “Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?”

“Maka saya menjawab, “Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?”

“Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama.

“Engkau siapa?” tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu.

“Saya yang terpilih (Muhammad).”

“Saya lantas memegang jarinya dan berkata, “Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh berlaku?”

Rahsia selawat 100 kali

“Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat.

“Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu.”

Bersama Seorang Pemuda Penggali Kubur

Diriwayatkan dari Ibnu Hubaiq: Riwayat dari ayahku yang berkata, Yusuf bin Asbath pernah bertemankan seorang pemuda dari Teluk, yang tidak pernah berbincang-bincang dengannya (Yusuf) selama sepuluh tahun. Akan tetapi, Yusuf mengetahui kerisauan dan kecemasan hati pemuda itu dan juga ketekunannya melakukan ibadat pada siang mahupun malam hari. Kepada pemuda itu Yusuf pernah berkata, “Apa sebenarnya pekerjaanmu dahulu, sehingga aku lihat dirimu selalu tertunduk menangis?”

“Dahulu aku adalah seorang penggali kubur,” jawabnya.

“Apa yang pernah kamu lihat saat berada di liang lahat?” tanya Yusuf meminta penjelasan.

“Aku melihat rata-rata muka mereka dipalingkan dari arah kiblat, kecuali beberapa orang saja,” kata pemuda itu.

“Kecuali beberapa orang saja?” tanya Yusuf dengan penuh hairan.

Sakit gara-gara cerita penggali kubur

Setelah berkata demikian, Yusuf pun gelisah dan fikirannya tidak tenteram. Oleh itu dia memerlukan ubat untuk menyembuhkan kegelisahannya.

Ibnu Hubaiq meneruskan ceritanya, “Ayahku berkata: Kami lalu memanggil doktor Sulaiman untuk mengubati Yusuf. Setelah mendapatkan perawatan yang teratur, Yusuf pun sihat kembali seperti sediakala dan dia pun berkata, “Kecuali hanya sedikit saja!” Yusuf terus-menerus mengucapkan demikian, dan lantaran itu dia mendapatkan perawatan terus agar fikirannya normal kembali.

Ketika doktor Sulaiman selesai mengubati dan hendak pulang, Yusuf berkata kepada orang-orang yang menungguinya, “Apa yang mesti kalian berikan kepada doktor itu?”

“Dia tidak mengharapkan apa-apa darimu,” jawab kami semua.

“Subhanallah! Kalian telah berani mendatangkan doktor kerajaan, akan tetapi, aku tidak memberikan sesuatu pun kepadanya,” kata Yusuf. “Berikan kepadanya wang beberapa dinar!” kata kami kepada Yusuf.

“Ambillah ini dan berikan kepadanya serta tolong beritahukan kepadanya bahawa aku tidak memiliki sesuatu pun, kecuali sekadar ini, agar dia tidak berprasangka bahawa aku ini mempunyai harga diri yang lebih rendah daripada para raja,” kata Yusuf.

Tanah yang akan kita masuki

Yusuf kemudian menyerahkan sebuah beg mengandungi wang sebanyak lima belas dinar dan diberikannya kepadaku. Selanjutnya kuserahkan wang tersebut kepada doktor Sulaiman atas pertolongannya kepada Yusuf.
Sejak peristiwa itu Yusuf akhirnya tekun menganyam tikar dari daun kurma hingga akhir hayatnya.

Dan diriwayatkan dari Hubaiq yang mengatakan: Yusuf bin Asbath pernah berkata, “Dari ayahku, aku mendapatkan harta waris berupa tanah seharga lima ratus dinar yang terletak di daerah Kufah. Akan tetapi, pada akhirnya terjadilah perselisihan di antara saudara-saudaraku, kerana itu aku meminta pendapat kepada Hasan bin Shaleh. Hasan bin Shaleh lalu berkata kepadaku, “Aku tidak ingin kamu terlibat pertentangan dengan mereka, hanya disebabkan masalah tanah yang akan kita masuki kelak.”

Demikianlah atas saranan Hasan bin Shaleh itu, maka kurelakan tanah itu kepada mereka secara ikhlas kerana Allah SWT semata sebab aku menyedari bahawa diriku adalah bahagian daripada tanah.

Insan Yang Solat 1000 Rakaat Sehari

Siang dan malam tiada yang dilakukan kecuali hanya rukuk dan sujud kepada Allah. Setiap sehari semalam ia solat tidak kurang dari 1,000 rakaat. Dirinya hanya untuk beribadah kepada Allah. Ia selalu berusaha agar dirinya setingkat dengan para malaikat yang sentiasa bertasbih siang dan malam yang tidak pernah lupa berzikir kepada Allah walau sesaat pun. Setiap hari ia hanya makan beberapa suap saja, sekadar ia dapat hidup; kerana itu badannya sangat kurus. Tetapi dalam badan yang kurus itu terdapat kekuatan rohani yang mengagumkan yang menyebabkan ia dapat melaksanakan solat yang ia tekankan atas dirinya.

Ia hidup membujang; meskipun khalifah Muawiyah Ibnu Sufyan telah menawarkan padanya untuk melamar wanita yang ia senangi; dan mas kahwinnya akan diambilkan dari Baitul Mal, tapi Amir Ibnu Abdullah hanya ingin mengabdikan dirinya kepada Allah, ia bertekad tidak akan ada sesuatu yang dapat melalaikannya dari beribadah kepada Allah.

Ia adalah seorang tabi’in yang mencapai puncak zuhud. Ia berkata: “Kenikmatan dunia itu ada empat, harta, wanita, tidur dan makanan. Adapun harta dan makan, aku tidak dapat meninggalkannya. Tetapi demi Allah, dengan tidur dan makan aku memeras tenagaku.”

Keperluannya pada tidur dan makan menyerupai keperluannya pada solat malam dan puasa di siang harinya. Setiap syaitan berusaha mendekati tempat sujudnya, maka ia mencium bau syaitan yang busuk; dan jika ia mendapatkan bau syaitan, maka ia menyingkirkan dengan tangan dan berkata: “Andaikan bukan kerana bau busukmu, nescaya aku sujud di atasmu.”

Pada suatu ketika syaitan datang padanya dengan menjelma menjadi ular, ketika ia menyingkirkannya dengan tangan, syaitan berkata: “Apakah kamu tidak takut digigit ular?” Jawabnya: “Sungguh aku malu kepada Allah jika aku takut kepada selain Dia.”

Amir terus meneruskan solat sepanjang siang dan malam, hingga betis dan telapak kakinya bengkak. Ia selalu berkata: “Wahai jiwa yang selalu mengajak kepada kejahatan, sesungguhnya kamu diciptakan untuk beribadah. Demi Allah, aku akan memaksamu melakukan ibadah tanpa ada kesempatan untuk tidur. Setiap hari ia pergi ke suatu bukit untuk menjauhkan diri dari keramaian orang, dan mengisinya dengan beribadah di sana.

Pada suatu hari, ia keluar rumah dan terus berjalan hingga sampai di lembah “Buas,” dinamakan lembah buas kerana di situ banyak terdapat binatang buas. Tiada seorang pun yang berani memasuki lembah itu kecuali orang-orang sufi yang berhati tulus, yang hati dan jiwa mereka hanya takut kepada Allah, mereka tidak takut pada apa pun kecuali Allah; meskipun binatang buas atau ular berbisa.

Ketika Amir menuruni lembah itu, ia dapatkan di lembah itu ada ahli sufi lain seperti dirinya, ia bernama “Humamah” solat di suatu sudut. Keduanya berada di lembah selama empat puluh hari tanpa saling berbicara, kerana masing-masing sedang tekun beribadah dan solat.

Suatu ketika Amir Ibnu Abdullah ingin mengenal orang yang tinggal di lembah itu dan giat dalam beribadah, maka ia datang pada orang itu dan bertanya: “Siapakah kamu, hai hamba Allah?” Orang itu berkata: “Tinggalkan aku.” Kata Amir, “Aku bersumpah tidak akan meninggalkan kamu sebelum aku tahu dirimu.” Kata orang itu, “Aku Humamah Al-Habsyi.”

Kata Amir, “Jika kamu Humamah Al-Habsyi seperti yang pernah aku dengar, kamu pasti orang yang paling banyak beribadah di dunia ini. Beritahukan padaku perkara yang paling utama.” Kata Humamah. “.. Andaikan bukan kerana beberapa ketentuan solat yang mengharuskan berdiri dan sujud, nescaya aku lebih senang menghabiskan umurku untuk terus rukuk dan membiarkan wajahku bersujud kepada Allah hingga aku bertemu dengan-Nya. Akan tetapi solat-solat fardhu tidak membolehkan aku melakukan itu. Dan siapakah kamu?” Jawab Amir. “Aku Amir Ibnu Abdu Qais.”

Kata Humamah, “Jika kamu Amir seperti yang pernah aku dengar, pasti kamu seorang yang paling banyak beribadah. Maka beritahukan padaku perkara yang paling utama.” Kata Amir. “Sungguh rasa takutku kepada Allah membuat aku tidak takut kepada apa pun kecuali pada-Nya.”

Di saat Amir dan Humamah sedang berbicara tentang ibadah dan taat kepada Allah, tiba-tiba datang seekor binatang buas di belakang Amir dan meloncat ke atasnya, maka Amir menyapu binatang itu dengan tenang sambil membaca ayat Al-Quran, “Dzaalika yaumu majmuu’ul lahunnasu wa dzaalika yaumun masyhud.” “Hari kiamat itu adalah hari yang mana manusia dikumpulkan untuk (menghadap)Nya, dan hari itu adalah hari yang disaksikan (oleh semua makhluk).”

Tiba-tiba binatang buas itu duduk mengibaskan ekornya seperti kucing yang jinak. Ketika Humamah menyaksikan hal itu, ia bertanya pada Amir: “Demi Allah, wahai Amir, bagaimana kamu boleh berbuat demikian?” Jawab Amir: “Bukankah sudah kukatakan padamu, sungguh aku malu kepada Allah jika aku takut selain Dia.”

Ia adalah seorang ahli zuhud, bujangan yang mempunyai rumah. Ia mempunyai saudara perempuan wanita yang bernama Ubadah yang setiap hari membuatkannya roti dan mengirimkan roti itu kepadanya. Tapi setiap ia menerima kiriman roti, ia segera keluar mengundang anak-anak yatim untuk makan roti tersebut. Ia berkata pada saudara sepupunya: “Wahai Ubadah, sabarlah atas apa yang menimpamu di dunia ini dengan membaca Al-Quran, kerana barangsiapa yang tidak senang membaca Al-Quran, maka ia akan meninggalkan dunia dalam keadaan menyesal.”

Pada hari-hari tertentu, Amir Ibnu Abdu Qais mengadakan majlis di masjid. Di antara kata yang pernah disampaikan kepada majlisnya; Aku pernah bertemu dengan beberapa sahabat Rasulullah dan bergaul dengan mereka; mereka memberitahu aku, bahawasanya pada hari kiamat, orang yang paling suci dari dosa ialah orang yang paling memperhitungkan dirinya dalam setiap langkahnya; orang yang paling senang di dunia, akan menjadi orang yang paling sedih di hari kiamat; dan orang yang paling banyak tertawa di dunia, ia akan menjadi orang yang paling banyak menangis di hari kiamat.”

Walaupun Amir seorang yang zuhud, ia tidak membiarkan seseorang yang berbuat zalim, meskipun orang yang dizalimi itu bukan orang Islam. Pada suatu hari, ia menyaksikan orang kafir dzimmi ditarik oleh beberapa orang yang menjadi kaki tangan penguasa Basrah. Orang dzimmi itu minta tolong padanya, maka ia melepaskannya dari seksaan mereka dan berkata kepada mereka. “Jangan menyeksa seorang dzimmi yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW selagi aku masih hidup.” Setelah gabenor Basrah mengetahui apa yang diperbuat oleh Amir, maka ia memerintahkan supaya Amir dibuang ke Syam, agar Amir tidak akan kembali padanya atau melakukan sesuatu yang bukan haknya.

Tatkala Amir akan berangkat ke Syam, ia mengumpulkan kawannya untuk mengantarkan ke perbatasan kota, ia berkata pada mereka: “Aku hendak berdoa kepada Allah, maka ucapkanlah ‘amin’.” Kawan-kawannya mengira akan berdoa kerana pembuangannya. Mereka berkata: “Sebenarnya kami telah menginginkan kamu berdoa.” Maka ia mengangkat kedua tangan dan berdoa: “Ya Allah, siapa yang memfitnah aku, mendustakan aku, mengeluarkan aku dari kota ini dan memisahkan aku dari kawan-kawanku; Ya Allah, perbanyaklah harta dan anaknya, sihatkanlah badannya dan panjangkanlah umurnya.”

Demikian itulah sifat Amir Ibnu Qais, ia mendoakan orang-orang yang telah berbuat zalim padanya dan mengusirnya dari Basrah tempat ia tinggal bersama keluarganya dan tempat berguru kepada Abu Musa Al-Asyari agar mereka diberi harta dan anak yang banyak, disihatkan badannya dan dipanjangkan umurnya.

Amir meninggal dunia dalam keadaan tidak memiliki apa-apa sebagaimana ia lahir di dunia dengan tangan kosong. Ia hanya membawa bekal amal soleh yang menghantarkan ia sampai mencapai tingkat orang-orang soleh yang berbakti kepada Allah.

Buta Matanya Kerana Makrifat Allah

Matanya Buta Kerana Tangisan Makrifat Allah

Disebabkan rasa takutnya kepada Allah membuatnya dapat menangis setiap kali ia membaca Al-Quran dan setiap kali solat. Oleh sebab itu, bumi tempat sujudnya basah oleh air mata. Ia juga menangis saat ia sedang menyendiri berfikir tentang hari kiamat, kesengsaraan di padang Mahsyar, menunggu hisab dan lain sebagainya. Ia adalah seorang miskin yang hanya memiliki pakaian yang dipakainya saja dan sebuah tempat tidur usang.

Ia berpendapat bahawa dunia dan semua isinya telah datang kepadanya. Kerana kesihatannya banyak menolongnya untuk beribadah kepada Allah, dan banyak membantunya untuk berjaga malam dalam melaksanakan solat dan berzikir kepada Allah. Muhammad Ibn Al-Munkadir masih membujang meskipun ia telah mencapai usia dewasa. Perkara itu dikeranakan ia tidak memiliki harta untuk membayar mahar pernikahan dan ia juga tidak mempunyai perabot rumah tangga.

Muhammad IbnAl-Munkadir mempunyai hubungan darah dengan Abu Bakar Shiddiq. Hubungan darah keduanya bertemu pada datuk yang bernama Sa’ad Ibn Tamim. Pada suatu hari, hubungan kekeluargaan ini mendorongnya datang ke rumah Aisyah binti Abu Bakar untuk mengadukan keperluannya pada Aisyah dengan harapan barangkali Aisyah dapat membantunya menutup pedihnya kelaparan dan pahitnya kemiskinan.

Setelah ia mengutarakan penderitaannya kepada Aisyah, Aisyah berkata: “Andaikata aku mempunyai wang 10,000 dirham nescaya akan kuberikan kepadamu. Pada hari itu juga, tiba-tiba Muawiyah Ibn Abu Sufyan mengirim wang 10,000 dinar kepada Aisyah. Hingga Aisyah berkata pada dirinya sendiri: Alangkah cepatnya apa yang kamu angan-angankan wahai Aisyah.”

Akhirnya Aisyah segera mengutus seseorang untuk mencari Muhammad Ibn Al-Munkadir, kemudian ia memberikan wang 10.000 dirham dimaksud. Wang itu dipergunakan Muhammad Ibn Al-Munkadir untuk membeli seorang hamba wanita untuk dijadikan isterinya. Maka dia kemudian mengakhiri masa bujangnya dan menempuh hidup baru sehingga Allah memberi kurnia kepadanya 3 anak. Ketiganya bernama: Muhammad, Abu Bakar dan Umar. Ia memberi nama mereka seperti nama Rasulullah dan dua sahabat baginda.

Pada suatu hari, salah seorang tetangga Muhammad Ibn Al-Munkadir menderita sakit keras. Setiap malam si sakit itu tidak boleh tidur dan menjerit-jerit kerana kesakitan. Sementara itu Muhammad juga mengeraskan suaranya dalam memanjatkan syukur kepada Allah. Ketika ia ditanya mengenai hal itu, ia menjawab: “Tetanggaku yang sakit itu mengeraskan suaranya kerana sakit, sedangkan aku mengeraskan suara kerana mendapat nikmat.”

Pada suatu malam, Muhammad solat dan menangis sangat lama sehingga keluarganya merasa cemas. Mereka bertanya kepadanya mengapa ia menangis? Tetapi ia tidak menjawab pertanyaan itu bahkan terus menangis sehingga mereka menyangka ia sedang mendapat suatu musibah. Maka mereka memanggil seorang sahabatnya yang bernama Abu Hazim. Mereka memberitahukan pada Abu Hazim tentang masalahnya.

Maka Abu Hazim datang kepadanya dan bertanya, Apa yang menyebabkan ia menangis, sebab keluarganya mencemaskan dirinya. Ia menjawab bahawasanya ia merasa takut setelah membaca Al-Quran yang ertinya: “Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan.” Mendengar hal itu Abu Hazim ikut menangis bersamanya sehingga keluarganya menegur Abu Hazim mengapa ia menangis padahal ia dipanggil mereka untuk menenteramkan hatinya. Maka Abu Hazim memberitahu mereka tentang sesuatu yang menyebabkan mereka menangis.

Muhammad Ibn Al-Munkadir berkata: “Sesungguhnya Allah selalu menjaga orang mukmin dalam anaknya, cucunya dalam rumahnya, dan rumah yang ada di sekitarnya. Mereka sentiasa dalam lindungan Allah selagi mereka masih di tengah mereka.” Muhammad tidak pernah melihat jenazah orang mukmin melainkan ia ikut menyembahyangkannya, meskipun orang yang meninggal itu orang jahat.

Pada suatu hari ia ditanya, “Mengapa kamu mahu solat atas jenazah si fulan?” Jawabnya, “Kerana aku malu kepada Allah jika aku melihat diriku, bahawa rahmat-Nya tidak sampai pada salah seorang dari hamba-Nya.”
Di rumah yang selalu dinaungi ketakwaan, dihiasi sikap wara’ dan disinari cahaya Al-Quran, di situlah anak-anak Muhammad Al-Munkadir berkembang. Oleh kerana itu mereka pun seperti bapanya, baik dalam segi keimanan, tingkah laku mahupun ketakwaan mereka kepada Allah, hingga rumah mereka berubah menjadi tempat ibadah.

Di dalam rumah itu mereka membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu pengetahuan. Umar Ibn Muhammad Al-Munkadir tidak pernah tidur pada malam hari dan ia banyak menangis kerana takut kepada Allah. Ketika ibunya merasa cemas padanya, maka ibunya meminta bantuan saudaranya Muhammad Ibn Muhammad Al-Munkadir, ia berkata: “Sungguh aku sangat kasihan kepada saudaramu Muhammad kerana apa yang dilakukannya, jika kamu yang menasihatinya dalam hal ini, barangkali ia akan kasihan pada dirinya sendiri.”

Maka Muhammad berbicara empat mata dengan Umar, saudaranya, ia berkata pada Umar. “Sungguh apa yang kamu lakukan itu membuatku sedih kerana memikirkan keadaanmu.” Jawab Umar. “Sungguh, bila malam tiba aku merasa takut, kerana itu aku membaca Al-Quran, dalam membaca Al-Quran aku mendapat kenikmatan yang tidak dapat dibandingkan dengan dunia seisinya. Adapun yang menyebabkan aku menangis, kerana aku takut Allah tidak menerima amalku. Demikian itu, kerana aku telah mendengar sebuah hadith Rasulullah SAW yang dimaksudnya begini. “Sungguh ada seseorang yang selalu mengerjakan amalan ahli syurga sehingga jarak antara ia dan syurga tinggal satu dzira’ (lengan), kerana takdir telah mencatat ia sebagai ahli neraka, maka tiba-tiba ia melakukan amalan ahli neraka hingga ia masuk neraka.”

Setelah itu, Umar diam sejenak, kemudian ia berkata lagi: “Wahai Muhammad, tidakkah kamu tahu, bahawa ayah kita juga sering menangis kerana takut kepada Allah hingga kedua matanya buta? Sungguh aku akan menghabiskan hidupku hanya untuk beribadah kepada Allah dan mengabdi kepada-Nya. Wahai saudaraku, orang-orang yang dahulu beriman berkata: “Di antara tanda-tanda diterimanya suatu amalan ialah, bila air matamu keluar sedangkan kamu tidak merasa. Dan tiada yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.”

Demikian itulah kehidupan Muhammad Ibnu Al-Munkadir dan anak-anaknya. Suatu keluarga mukmin yang selalu mengingat Allah setiap saat. Masing-masing selalu menghisab dirinya dalam setiap tingkah lakunya. Semoga keluarga Muhammad termasuk keluarga yang bahagia pada hari kiamat dan termasuk keluarga yang dinaungi Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan-Nya.

Menjelang hari wafatnya, wajah Muhammad Ibnu Al-Munkadir tampak gelisah. Ketika ia ditanya, “Mengapa kamu kelihatan gelisah?” Jawabnya: “Aku takut pada ayat Al-Quran yang berbunyi: “Dan jelaslah azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan. Aku takut aku akan melihat siksa Allah yang tidak pernah aku perkirakan sebelumnya.”

Salah seorang yang duduk di sampingnya di saat ia hampir meninggal dunia berkata padanya: “Wahai Muhammad, aku melihat sepertinya ajalmu telah dekat.” Tetapi Muhammad masih kelihatan tenang hingga tiba-tiba sahabatnya melihat wajah Muhammad bersinar seperti bulan. Maka Muhammad Ibnu Al-Munkadir berkata pada sahabatnya: “Andaikan kamu melihat tempatku nanti, nescaya kamu akan senang.” Kemudian ia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Peristiwa itu terjadi di tahun 131 H.

Taubat Para Wali

Zun Nun Al-Misri mendengar bahawa ada seorang yang sangat alim dan zuhud, maka pergilah dia ke sana untuk belajar. Sesampainya di sana dia menjumpai seorang lelaki menggantungkan dirinya pada sebatang pokok dengan kepala ke bawah. Orang itu berkata: “Wahai diri! Tolonglah aku dalam mentaati Allah. Kalau tidak nescaya aku akan hukum engkau dalam keadaan seperti ini sampai engkau mati kelaparan.”

Zun Nun mendekati orang itu lalu memberi salam dan dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi dengan engkau ini?” Tanya Zun Nun.

“Tubuhku ini telah menghalangi aku untuk berseronok dengan Allah, kerana ingin bersuka-suka dengan manusia.” Jawab orang itu.

Dengan jawapan itu, Zun Nun menyangka bahawa orang itu telah menumpahkan darah sesama Muslim atau telah berbuat dosa besar lainnya.

“Apa yang telah engkau lakukan?” Tanya Zun Nun.

“Tahukah engkau bahawa jika seseorang itu bercampur baur dengan orang lain, banyak perkara yang boleh berlaku?”

“Kalau begitu, engkau ini betul-betul orang warak dan alim,” kata Zun Nun.

“Mahukah aku tunjukkan kamu orang yang lebih alim dariku?” kata orang itu.

“Boleh juga,” kata Zun Nun.

“Nah, sekarang pergilah engkau agak ke atas bukit ini. Insya Allah, engkau akan berjumpa dengan wali Allah yang saya maksudkan itu,” kata lelaki itu.

Maka segeralah Zun Nun mendaki agak sedikit ke atas lagi sehingga akhirnya ia berjumpa dengan satu tempat pertapaan yang di dalamnya ada seorang pemuda sedang duduk bersila, sementara di hadapan pintu pertapaan itu ada sebelah kaki yang terpotong membusuk dan dimakan ulat. Zun Nun sangat ngeri dan tidak faham apa yang dilihatnya itu. Maka diapun bertanya kepada pemuda tersebut apa ertinya semuanya itu.

Pemuda itu menerangkan bahawa pada suatu hari dia sedang duduk di dalam beribadahnya, tiba-tiba ada seorang perempuan yang melintas di luar. Apabila dia terpandang kepadanya, timbul keinginannya kepada wanita cantik itu dan cuba untuk mengejarnya dari belakang.

Akan tetapi, baru saja dia melangkahkan sebelah kakinya ke luar dari tempatnya, tiba-tiba dia mendengar suara: “Wahai manusia, apakah engkau tidak merasa malu? Setelah tiga puluh tahun engkau menghadapkan hati kepada Tuhan, tiba-tiba sekarang engkau telah mahu ditipu oleh syaitan dan akan mengejar perempuan jahat itu.”

Disebabkan kerana kesalahannya itulah, pemuda itu telah memotong sebelah kakinya yang telah terlanjur keluar dari tempat ibadahnya.

“Jadi aku ini sebenarnya orang berdosa,” kata lelaki itu. “Maka dari itu engkau tidak patut menemuiku yang sedang dalam penantian keputusan ini. Jika engkau ingin menjumpai seorang yang betul-betul wali, pergilah engkau ke puncak bukit ini.”

Sayang puncak bukit tersebut terlalu tinggi dan sukar untuk didaki sehingga Zun Nun tidak sanggup mencapainya. Sebaliknya dia hanya mendengarkan saja cerita si pertapa dari orang-orang yang mengetahuinya.

Katanya ada seorang lelaki yang telah bertahun-tahun mengabdikan dirinya kepada Allah. Dia telah bersumpah untuk tidak makan selain dari usahanya sendiri dan tidak akan makan makanan yang telah diproses. Dengan izin Allah, sekumpulan lebah telah membuat sarang di dekat tempat ibadahnya, dengan madu lebah itulah wali tersebut mengalas perutnya.

Isteri Nabi Luth Mati Dalam Kesesatan

Isteri Nabi Luth Mati Dalam Kesesatan

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth menjadi perumpamaan bagi orang-orang yang ingkar. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhidmat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksaan) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya).” Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka).”

(At-Tahrim: 10)

Dalam perjalanan hidup seorang nabi, apabila ia mendapati kebenaran yang datang dari Allah, keluarga terdekatnyalah yang terutama mesti ia seru terlebih dahulu. Orang yang paling dekat dengannya tentu saja memperoleh kesempatan paling besar untuk menerima seruannya. Akan tetapi, tidak demikian halnya dengan isteri Nuh dan anaknya. Meskipun keduanya adalah orang-orang yang paling dekat dengan beliau, mereka termasuk golongan yang ingkar akan kebenaran Allah dengan enggan beriman.

Begitu pula wanita yang satu ini, isteri salah seorang dari nabi Allah, yakni isteri Luth as. Luth adalah seorang nabi dan rasul yang diutus oleh Allah kepada kaumnya di Sadom, sebuah negeri besar yang mempunyai banyak kota, sedangkan penduduknya tenggelam dalam arus kemaksiatan. Rakyat Negeri Sadom ketika itu berserikat dan bahu-membahu dalam perbuatan dosa yang mengaibkan.

Nabi Luth diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah-Nya kepada kaumnya itu, termasuk kepada isterinya sendiri. Berkata Nabi Luth kepada mereka seraya mengingatkan: “Mengapa kamu melakukan perbuatan tercela itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelummu? Kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu, bukan kepada wanita. Bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

(Al-A’raf: 80-81)

Memang, kaum Nabi Luth ketika itu berada pada tingkat kebinatangan yang paling rendah, kebejatan akhlak yang paling parah, dan tidak ada manusia seburuk mereka sebelumnya. Mendengar seruan Nabi Luth, seruan seorang nabi Allah yang juga pernah didengar oleh kaum-kaum lain sebelum mereka, rakyat Negeri Sadom merasa terusik kesenangannya. Mereka tidak tinggal diam setelah mendengar seruan kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Luth. Mereka terus berfikir, mencari jalan bagaimana agar Nabi Luth tidak dapat mengumandangkan seruannya kembali. Ketika, mereka tengah duduk berfikir, tiba-tiba datang seorang perempuan tua menghampiri mereka. Sebenarnya, sudah lama perempuan tua itu mendengar rencana kaum Luth itu, dan ia tersenyum bangga mendengar rencana itu.

“Akan kutunjukkan kepada kalian, suatu lubang yang dapat menghalangi seruan Luth,” ujar perempuan tua itu dengan wajah penuh keyakinan.

“Lubang yang mana itu?” tanya mereka dengan keinginan yang penuh harap.

“Tidak akan kukatakan hal itu, kecuali aku mendapat sekeping perak sebagai upahnya,” sahut si perempuan tua.

Tak seorangpun dari keturunan kaum Luth itu yang merasa marah atau hairan mendengar ucapan perempuan tua yang terkenal mata duitan dan sifat halobanya itu. Salah seorang dari mereka memasukkan tangannya ke dalam poketnya; kemudian mengambil sekeping perak dan diberikannya kepada perempuan tua itu. Dengan senyum kemenangan, perempuan tua itu cepat mengambil dan menyembunyikan kepingan perak itu di dadanya.

“Kalian dapat membatalkan seruan Luth melalui isterinya!” Kata perempuan itu kemudian.

Terbelalaklah mata kaum Luth ketika mendengar ucapan itu. Mereka semakin mendekatkan telinga masing-masing ke mulut perempuan penipu itu dengan penuh harapan.

“Bagaimana caranya?” Tanya mereka serentak.

“Kalian harus bekerjasama dengan isteri Luth untuk menghentikan seruannya kepada kalian.”

Dengan kesal, salah seorang dari mereka berteriak. “Kami tidak ada urusan dengan isteri Luth!”

Dengan wajah marah, perempuan tua itu kembali berkata: “Aku lebih mengerti hal itu daripada kalian!”

“Kalau begitu,” sela salah seorang yang lain. “Apa peranan isteri Luth dalam hal ini?”

“Dengar baik-baik. Peranan isteri Luth sama seperti perananku bagi kalian sekarang ini,” jawabnya.

“Jadi, apakah kamu berharap agar isteri Luth dapat menunjuki kami, siapa orang-orang yang dapat memenuhi keinginan kami, sebagaimana yang engkau lakukan kini?” tanya salah seorang dari mereka.

Dengan kedua mata yang bersinar, disertai kegembiraan haiwani, perempuan tua berlalu sambil bergumam, “Ya... ya...”

Isteri Nabi Luth sedang menyelesaikan sebahagian pekerjaannya ketika terdengar pintu rumahnya diketuk orang. Segera ia berlari, membukakan pintu. Dan seorang perempuan tua tiba-tiba berada di hadapannya. Dengan tergopoh-gapah perempuan tua itu lalu berkata: “Hai, anakku, adakah seteguk air yang dapat menghilangkan dahaga yang kurasakan ini?”

“Silakan masuk dahulu,” jawab Wa’ilah, isteri Nabi Luth, dengan lembut.” Akan kuambilkan air untukmu.”
Perempuan tua itu kemudian duduk menunggu, sementara Wa’ilah masuk ke dapurnya. Tak lama kemudian, Wa’ilah kembali dengan membawa bekas yang penuh berisi air untuk tamunya itu. Dengan lahap, si perempuan tua segera meneguk habis air di bekas tersebut, dan kemudian melepas nafas dengan lega.

“Kami hidup bersama suamiku, Luth namanya, dan dua anak perempuanku,” jawab Wa’ilah.
Perempuan itu kemudian memalingkan wajahnya ke sekeliling rumah yang kecil itu, lalu menggeleng-gelengkan kepalanya seakan-akan prihatin akan apa yang dilihatnya. Dengan wajah yang memperlihatkan kesedihan, perempuan tua itu berkata: “Aduhai, apakah kesengsaraan menimpamu, Anakku?”

“Aku tidak sengsara, bahkan rumah ini cukup bagi kami, dan aku mempunyai suami yang memberiku makan dan minum bersama kedua puteriku,” jawab Wa’ilah.

Perempuan tua penipu itu lebih mendekat kepada isteri Nabi Luth sambil berkata: “Dapatkah ruangan seperti ini disebut rumah? Dapatkah yang engkau teguk dan engkau rasakan ini disebut makanan atau minuman?”

Wa’ilah terpegun mendengar ucapan perempuan tuan itu. Dengan penuh kehairanan, ia kemudian bertanya. “Kalau begitu, apa yang selama ini kumakan dan kuminum?”

Cepat-cepat perempuan tua itu berkata: “Panggillah aku dengan sebutan ibu. Bukankah kedudukanku seperti ibu saudaramu?” Kemudian ia menyambung lagi. “Sesungguhnya semua ini adalah kemiskinan dan kesengsaraan hidup yang membawa kemalangan bagimu, hai anakku. Mengapa kamu tidak masuk ke rumah orang-orang kaya di antara kaummu. Tidakkah kamu melihat kehidupan mereka yang penuh kemegahan, kesenangan, dan kenikmatan...? Kamu berparas cantik, hai anakku. Tidak layak kamu membiarkan kecantikanmu itu dalam kemiskinan hina begini. Tidakkah kamu sedari bahawa kamu tidak mempunyai anak lelaki yang dapat bekerja untuk memberimu makan kelak apabila suamimu meninggal dunia?”

Wa’ilah, isteri Nabi Luth, mendengarkan dengan saksama semua ucapan perempuan tua itu. Ya, ucapan itu telah membuatnya terlena sambil merenung atap rumahnya. Sesekali ia perhatikan perempuan tua yang semakin mengeraskan suaranya yang penuh nada kesedihan dan kedukaan. Dalam lamunannya itu, tiba-tiba Wa’ilah merasakan pelukan perempuan tua itu di bahunya.

Ketika perempuan tua itu menghentikan pembicaraannya, isteri Nabi Luth memandang kepadanya sambil berusaha meneliti kalimat-kalimat yang baru didengarnya. Tetapi si perempuan tua tidak memberinya kesempatan untuk berfikir, bahkan ia mulai menyambung pembicaraannya dengan berkata: “Hai, anakku, apakah yang dikerjakan suamimu? Bagaimana hubungannya dengan penduduk Negeri Sadom dan kampung-kampung kecil di sekelilingnya?

Sesungguhnya orang-orang di sini menginginkan sesuatu yang dapat menyenangkan hati mereka sesuai dengan yang mereka kehendaki. Dan sesuatu yang dicarinya itu dapat menjadi sumber penghasilan dan kekayaan bagi orang yang mahu membantu mereka. Lihatlah! Lihatlah, hai anakku, kepingan-kepingan emas dan perak ini! Sesungguhnya emas dan perak bagiku adalah barang yang mudah kuperolehi. Aku menunjukkan kepada kaumku beberapa lelaki berwajah ‘cantik’ yang datang dari kota. Sedangkan kamu... di rumahmu sering datang beberapa pemuda dan remaja lelaki kepada suamimu.

Ya, suamimu yang seruannya diperolok-olok oleh kaum kita. Pekerjaan semacam ini sebenarnya tidak memberatkan kamu. Suruhlah salah seorang puterimu menemui sekelompok kaum kita dan memberitahu mereka akan adanya lelaki tampan di rumahmu. Dengan demikian, engkau akan memperoleh emas atau perak sebagai hadiahnya setiap kali engkau kerjakan itu. Bukankah pekerjaan itu amat mudah bagimu? Dengan itu, engkau bersama puteri-puterimu dapat merasakan kenikmatan sesuai dengan apa yang kalian kehendaki.”

Sambil mengakhiri ucapannya, perempuan tua itu meletakkan dua keping perak di tangan Wa’ilah, dan kemudian segera keluar. Isteri Nabi Luth duduk sambil merenungkan peristiwa yang baru terjadi itu tentang keadaan pekerjaan yang dicadangkan oleh si perempuan tuan. Dan... ia kebingungan sambil berputar-putar di sekitar rumahnya. Suara perempuan tua itu masih terngiang-ngiang di telinganya, sementara di tangannya terselit dua keping perak. Wa’ilah dibayangi keraguan apakah sebaiknya ia terima saja saranan perempuan tua itu. Tetapi, apa yang akan dikatakan orang nanti tentang dirinya jika hal itu ia lakukan; bahawa isteri seorang yang mengaku sebagai Rasul Allah dan menyerukan kebajikan, ternyata, menolong kaumnya dalam melakukan kebatilan.

Tiba-tiba datang suara yang membisikkan ke telinganya: “Perempuan tua itu telah menasihatimu. Ia tidak mengharapkan sesuatu kecuali kebaikan dan kebahagiaan bagimu. Kamu tidak bertanggungjawab atas apa yang dilakukan oleh kaummu. Dan lagi pekerjaan yang dicadangkan perempuan tua itu sama sekali tidak memberatkanmu. Kamu hanya memberitahu mereka tentang kedatangan tamu-tamu suamimu, Luth. Lekaslah... lekaslah... nanti akan kukatakan... lekas, supaya engkau memperoleh kekayaan dan kenikmatan... Cepatlah...!”

Dan tiba-tiba, tanpa ragu-ragu, Wa’ilah berkata: “Baiklah, kuterima...”

“Kalau begitu, selamat kuucapkan kepadamu,” demikian Iblis membisikkan kepadanya.” Sesudah ini engkau akan merasakan kenikmatan di dalam kehidupanmu...”

Nabi Luth kembali kepada penduduk desa yang berada di sekitar Sadom untuk menyerukan kebenaran Ilahi sesuai dengan perintah Allah kepadanya. “Mengapa kalian mengerjakan perbuatan tercela itu, yang belum pernah diperbuat oleh seorangpun di dunia ini sebelum kalian? Sesungguhnya kalian mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu kalian bukan kepada wanita, bahkan kalian ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Perlawanan penduduk Sadom terhadap dakwah kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Luth kepada mereka membuat kesedihan dan kedukaan di hati Nabi Luth sendiri. Betapa kaumnya tidak mahu menerima kebenaran dan tidak menghendaki diri mereka bersih dari perangai yang hina dan merosakkan itu.

Hari demi hari berlalu. Setiap isteri Nabi Luth melihat beberapa lelaki datang ke rumahnya, ia segera memberi tahu kaumnya tentang hal itu dan setiap kali berita yang dibawanya sampai kepada kaumnya si perempuan tua datang kepadanya dengan membawa sepotong perak seraya berkata: “Jika engkau selalu menolong kami, nescaya engkau akan dapatkan terus sekeping perak, sementara suamimu tidak dapat menyeru kepadanya.” Wajah perempuan tua itu tertawa seperti tawa syaitan, kemudian pergi...

Sementara itu, seruan Nabi Luth kepada kaumnya tidak menambah apa-apa kecuali perlawanan dan kesombongan. Mereka tetap selalu berpaling dari ajakan suci itu. Bahkan mereka terus-menerus melakukan perbuatan keji tatkala Nabi Luth memperingatkan akan datangnya seksa Allah atas mereka apabila mereka tidak mahu berhenti dari kesesatannya. Mereka malah menentang Nabi Luth dengan berkata: “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.” Maka, Nabi Luth pun memohon kepada Allah, agar Allah menolongnya dari kaumnya.

Nabi Luth berdoa: “Ya, Tuhanku, tolonglah aku (dengan menimpakan azab) atas kaum yang berbuat kerosakan itu.”

(Al-Ankabut: 30)

Allah memperkenankan doa Nabi Luth as, dan mengutus Jibril as. untuk membinasakan mereka. Jibril datang ke Negeri Sadom dengan menyerupai dua orang lelaki yang tampan. “Dia (Luth) merasa susah dan sempit dadanya kerana kedatangan mereka. Dan ia berkata: “Ini adalah hari yang amat sulit.”

(Hud: 77)

Nabi Luth as. cemas memikirkan apa yang bakal diperbuat kaumnya jika mereka mengetahui kedatangan tamu lelaki yang berwajah ‘cantik’ di rumahnya. Bagaimana ia dapat mempertahankan dan memelihara mereka dari kemungkaran kaumnya? Ah, bukankah tidak ada yang mengetahui kedatangan mereka, kecuali dia sendiri, dan kedua puterinya?

Sebaliknya kedatangan kedua tamu Nabi Luth itu merupakan kesempatan bagi isterinya untuk menambah kepingan-kepingan perak yang biasa ia perolehi dari si wanita tua. Sekarang, ia harus mengutus seseorang kepada kaumnya untuk memberitahu mereka. Tetapi kedua puterinya sedang sibuk menyiapkan hidangan bagi kedua tamu ayahnya, atas perintah Nabi Luth. Kerana keinginannya yang mendesak, isteri Luth akhirnya memberi isyarat kepada salah seorang puterinya untuk mendekat. Kemudian ia membiisikkan beberapa kalimat ke telinga anak perempuannya itu. Sesaat kemudian, sang puteri segera keluar rumah untuk memberitahu kaumnya, sebagaimana biasa.

Di tengah-tengah kerumunan orang ramai anak Nabi Luth melihat seorang perempuan tua melambaikan tangan sambil mengisyaratkan panggilan kepadanya. Segera ia mendekati perempuan itu dan memberitahu tentang dua lelaki tampan yang datang ke rumahnya. Perempuan tua itu kemudian menyuruh ia cepat pulang, sementara kelompok lelaki menghampiri seraya bertanya: “Apakah yang terjadi? Apakah ada berita baru?”

Wajah si perempuan tua menampakkan senyum tipuan sambil berkata: “Kali ini tidak kurang dari empat potong emas harus kuterima.”

Dengan bersemangat kaumnya bertanya: “Apakah yang terjadi? Apakah ada yang istimewa?”

Perempuan itu berkata kepada mereka, sementara ia membuka matanya lebar-lebar disertai syaitan. “Kalian akan memperoleh apa yang kalian kehendaki, iaitu dua orang lelaki yang berwajah ‘tampan’.

Dengan wajah buas dan bernafsu, mereka bertanya dengan tidak sabar. “Di mana mereka? Di mana lelaki berwajah ‘tampan’ itu? “Berikan harta kepadaku terlebih dahulu, barulah kuberi tahu kalian!” Katanya.

Sebahagian dari mereka menyahut: “Wahai wanita tua, engkau yang tamak, tidak pernah kenyang!” Dan sebahagian yang lain berkata: “Inilah harta untukmu, tetapi cepat katakan, di mana lelaki yang berwajah ‘tampan’ itu?”
Setelah tangannya menggenggam emas, berkatalah perempuan tua itu kepada mereka. “Mereka ada di rumah Luth...”

Hampir-hampir kaumnya tidak mendengar ucapan perempuan tua itu dengan jelas. Tetapi, sesaat kemudian, mereka berlumba-lumba untuk segera datang ke rumah Nabi Luth. Masing-masing ingin memperoleh kepuasan dari dua lelaki ‘tampan’ yang ada di rumah Luth.

Sesampainya mereka di sana, didapati pintu rumah Nabi Luth tertutup. Segeralah mereka mengetuk keras sambil berteriak. “Bukakan, Luth bukalah pintu-pintumu! Kalau tidak, kami terpaksa akan memecahkannya!”

Isteri Nabi Luth mencuba menemui suaminya yang ternyata telah meninggalkan kedua tamunya di dalam kamar, sementara ia sendiri mendekati pintu rumahnya yang tertutup dan memisahkan dia dengan sekumpulan kaumnya. Isteri Nabi Luth mengintai dari balik tirai. Hatinya melonjak kegirangan. Sebentar lagi ia bakal memperoleh sepotong perak dari si perempuan tua, sesuai dengan kebiasaan yang telah berlangsung selama ini. Bahkan di samping itu, tanpa diketahuinya, ia mungkin bakal memperoleh pula sepotong emas sebagai bonus.

Teriakan kaum Luth bertambah keras dan garang. Mereka tak sabar dan ingin memecah pintu agar dapat masuk dan menemui tamu-tamu Nabi Luth. Apakah yang akan dikatakan oleh Nabi Luth atas tindakan kebengisan yang diperbuat oleh naluri haiwan kaumnya yang rendah itu? Nabi Luth pun berdiri terpaku; hanya pintu yang memisahkannya dari kaum durjana itu. Sesaat kemudian, Nabi Luth berkata kepada mereka demi menenangkan keadaan: “Hai, kaumku, inilah puteri-puteriku, mereka lebih suci bagimu. Maka, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan namaku di hadapan tamuku. Tidak adakah di antaramu seorang yang dapat menbezakan baik dan buruk.

Ya, orang-orang yang berakal ketika itu telah dihinggapi fikiran-fikiran haiwan yang rendah, sehingga nafsu mereka sulit dibendung. Luth kemudian kembali menegaskan permohonannya kepada kaumnya itu, sedangkan isterinya mengintip tidak jauh dari situ. Nabi Luth menawarkan kepada mereka untuk mengahwini puteri-puterinya, tetapi dengan serentak mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telah tahu bahawa kami tidak mempunyai keinginan terhadap puteri-puterimu; dan sesungguhnya kamu tentu mengetahui apa yang sebenarnya kami kehendaki.”

Sampai di sini, dialog antara Nabi Luth dan kaumnya terputus. Nabi Luth kemudian berfikir, apakah yang akan ia lakukan jika kaumnya memecah pintu rumahnya dan masuk untuk melampiaskan nafsu syaitannya kepada dua orang tamunya. Ia berdiri kebingungan, sedangkan isterinya memandangnya dengan pandangan khianat.
Tiba-tiba tamu Nabi Luth berkata kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu; sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu engkau.” Kalau begitu, tamu-tamu Nabi Luth adalah utusan-utusan Allah yang datang untuk menimpakan azab kepada penduduk Negeri Sadom yang berbuat kerosakan itu.

Mendengar semua itu, isteri Nabi Luth merasa khuatir, kerana ia akan gagal memperoleh harta yang selalu diingininya itu. Kebatilan dan pelakunya memang tidak akan pernah kekal, dan kini seksa sedang menghampiri mereka. Berkata utusan-utusan Allah itu kepada Nabi Luth: “Bukakan pintu, dan tinggalkan kami bersama mereka!” Maka, Nabi Luth pun membuka pintu rumahnya. Isteri Nabi Luth merasa cemas tatkala melihat serombongan kaumnya menyerbu masuk dengan penuh kegilaan, dan segera menuju ke arah tamu-tamu Nabi Luth.

Ketika itulah, Jibril menunjukkan kelebihannya. Ia mengembangkan kedua sayapnya dan memukul orang-orang durjana itu. akhirnya, mata mereka, tanpa kecuali, buta seketika. Dengan berteriak kesakitan, mereka semua menghendap-hendap dan bingung, kemana mereka harus berjalan.

Bertanyalah Nabi Luth kepada Malaikat Jibril: “Apakah kaumku akan dibinasakan saat ini juga?” Malaikat Jibril memberitahu bahawa azab akan ditimpakan kepada kaum Nabi Luth pada waktu Subuh nanti. Mendengar itu, Nabi Luth segera berfikir, bukankah waktu Subuh sudah dekat.

Jibril memerintahkan Nabi Luth agar pergi dengan membawa keluarganya pada akhir malam nanti. Semua keluarga Nabi Luth pada malam itu pergi bersamanya ke luar kota, kecuali Wa’ilah. Isterinya itu bukan lagi termasuk keluarganya yang beriman kepada risalah Allah yang dibawanya. Sebaliknya, Isteri Nabi Luth justeru telah membantu orang-orang yang berbuat kerosakan, dan ia harus menerima akibatnya. Maka, turunlah azab atas dirinya, bersama semua kaum Nabi Luth yang ingkar, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Kitab Suci Al-Quran: “Maka, tatkala datang azab Kami, Kami balikkan (kota itu), dan Kami turunkan di atasnya hujan batu, (seperti) tanah liat dibakar bertubi-tubi. Diberi tanda oleh Tuhanmu. Dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim.”

Maha Benar Allah lagi Maha Agung.

Isteri Nabi Nuh Menempuh Jalan Kesesatan

“Allah membuat perumpamaan bagi orang yang ingkar: Isteri Nuh dan isteri Luth, mereka adalah isteri dua orang hamba di antara hamba-hamba Kami yang soleh. Tapi mereka berkhianat (kepada suami-suaminya). Maka, mereka tiada berdaya membantu mereka sedikitpun terhadap seksaan Allah. Kepada mereka dikatakan: “Masuklah kamu ke dalam neraka Jahannam bersama orang yang masuk ( ke dalamnya)!”

(At-Tahrim: 10)

Seorang wanita bangun dari tidurnya, dan langsung menuju dapur untuk membuat makanan dan kueh-kueh. Setelah semua pekerjaan itu selesai, ia segera keluar rumah tanpa memberitahu suaminya, Nabi Nuh. Sebelum pintu rumahnya terbuka, tiba-tiba anak-anaknya yang masih muda, Kan’an, menegurnya: “Mahu ke mana Ibu pagi-pagi ini?”

Ibu mengisyaratkan sesuatu agar anaknya merendahkan suara, supaya tidak terdengar oleh orang lain. Lalu berkata: “Lupakah kamu, Kan’an, bahawa hari ini adalah hari raya tuhan-tuhan kita? Aku akan pergi ke Makbad Besar. Di sana kaum kita telah menunggu untuk bersama-sama melaksanakan penyembahan kepada tuhan yang telah memberi rezeki dan menolong kita.”

Kan’an memandang ibunya dengan wajah tersenyum, dan kemudian berkata: “Ibu berbuat yang terbaik. Nanti aku akan menyusul ke sana, sebab bukankah ibu tahu bahawa ayah tidak senang melihat kita bekerjasama dalam hal ini.”

Pergilah isteri Nuh ke Makbad Besar itu. Sesampainya di sana, ia segera berdiri di depan berhala dan berucap: “Wed, Suwa, Yaghuts ya’uq, dan Masr...” (nama-nama, berhala) la kemudian memohon, berdoa, mendekatkan diri, dan mempersembahkan makanan serta minuman bagi para penjaga yang mulai menyuarakan kalimat-kalimat yang tidak dapat difahami maksudnya. Kemudian mereka menunjukkan kepada tuhan-tuhan, dan sekali lagi menunjuk kepada orang-orang yang mempersembahkan korban dan mengangkat wajah mereka dengan mata terpejam, agar orang yang mempersembahkan korban itu merasa bahawa Tuhan senang dan rela kepada mereka.

Isteri Nabi Nuh melihat, dan ia dapati puteranya Kan’an, telah keluar dari ruangan sembahan menuju arena tarian di sebelah Makbad. Di tempat itu, kaum lelaki dan perempuan bercampur menjadi satu; melakukan perbuatan-perbuatan sesuka hati mereka sambil bersukaria. Melihat itu, sang ibu merasa cemas dan khuatir terhadap keadaan anaknya. Diserunya Kan’an agar kembali kepadanya, tetapi Kan’an malah bersembunyi di tengah-tengah keramaian itu tatkala ia mendengar panggilan ibunya. Kerana Kan’an tidak kembali setelah lama dipanggil, sang ibu segera kembali menuju berhala-berhala dan mulai berdoa lagi. Ia tidak ingin menyibukkan diri dengan urusan anaknya itu. Sambil berdoa, ia mengeluarkan secarik kain yang telah disapu wangi-wangian dari bungkusannya, dan kemudian diletakkannya di kaki berhala. Itulah pekerjaan yang biasa dilakukannya.

Waktu berlalu dengan cepat, dan upacara penyembahan akhirnya selesai. Isteri Nabi Nuh kemudian kembali ke rumahnya. Dalam perjalanan pulang, ia bertemu dengan anaknya, Kan’an, yang wajahnya tampak masam air mukanya. Cepat-cepat ia mendekati anaknya itu dan berkata: “Apa yang sedang kamu fikirkan, Puteraku?”

“Tahukah ibu, apa yang telah dilakukan Nuh, ayahku?” Kata Kan’an.

“Apa yang ia perbuat, Kan’an?” Tanya ibunya dengan wajah penuh kesedihan.

“Ia menyeru umat di pasar, dan orang-orang di sekelilingnya, dan membantah apa yang diserukan mereka!” Jawab Kan’an.

“Apa yang telah dilakukannya di pasar?” Tanya ibunya kemudian! Apakah ia hendak menjual kayu-kayu yang ia jadikan perkakas rumah?”

Anaknya menjawab: “Aku telah mendengar bahawa ia berkata: ‘Hai, kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagimu; maka sembahlah Allah, bertakwalah dan taatlah kepadaNya.”

Isteri Nabi Nuh memandang Kan’an seraya berkata: “Kalau begitu, ayahmu tidak menghendaki kita menyembah tuhan-tuhan yang memberi rezeki dan memelihara kita.”

“Sesungguhnya ia benci akan hal itu dan bahkah menghinanya. Ia tidak pernah bersedia mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan yang biasa kita lakukan,” jawab Kan’an.

Isteri Nuh dan anaknya pulang ke rumah. Sepanjang jalan keduanya lebih banyak membisu. Tetapi kemudian Kan’an memecahkan kesunyian itu dengan bertanya: “Apakah yang akan kita lakukan ibu, bila ayah menyeru kita seperti yang ia serukan kepada kaum negeri ini?”

“Tuhan-tuhan akan mengutukmu, Kan’an, jika engkau turuti seruan ayahmu itu!” Jawab ibunya. “Apakah kita akan meninggalkan agama kita dan agama nenek moyang kita hanya kerana ayahmu menyerukan yang lain? Tidak! Sesungguhnya hal itu tidak boleh terjadi!”

Sebelum tengah malam tiba, Nabi Nuh telah sampai di rumahnya. Semalaman isteri dan anak Nuh tidak dapat memejamkan mata. Nabi Nuh meletakkan tongkatnya di dinding rumahnya, kemudian duduk. Tidak lama, isterinya mendekati dan berkata: “Mengapa engkau terlambat pulang sampai larut malam?”

“Aku mesti menyampaikan risalah yang diperintahkan Allah kepadaku.” Jawab Nabi Nuh.

“Risalah apakah itu, Nuh?” Tanya isterinya.

Nabi Nuh menjawab: “Agar manusia menyembah Tuhannya dan meninggalkan penyembahan kepada berhala-berhala.”

“Kamu telah bertahun-tahun hidup bersama kami,” sahut isterinya kemudian. “Tetapi kini kamu berselisih dengan apa yang disembah oleh kaummu. Maka, bagaimanakah mereka akan percaya kepadamu, yang tiba-tiba mengatakan bahawa Allah telah mengutusmu kepada mereka dengan membawa suatu risalah dan menyeru mereka untuk meninggalkan sembahannya?”

Nabi Nuh menjawab: “Allah telah memilihku untuk menjalankan tugas ini bila saja Dia kehendaki. Kumpulkan ke mari anak-anak kita, aku akan menunjukkan kepada mereka tentang risalah yang kubawa ini, sebagaimana yang telah kuserukan kepada manusia!” Isteri Nuh tidak bergerak dari tempatnya, sementara anaknya Kan’an, telah duduk di sampingnya. Ia kemudian berkata kepada Nabi Nuh: “Anak-anakmu sedang tidur. Tundalah hal itu sampai datang waktu pagi!”

Kalau begitu, aku akan menyampaikan masalah ini kepada kalian berdua lebih dahulu.”

“Mengapa kamu tergesa-gesa dalam urusan ini, tidurlah sampai esok pagi!” Sahut isterinya.

“Tidak!” Kata Nabi Nuh. “Aku harus melaksanakan tanggungjawabku terhadap Allah. Sesungguhnya kamu berdua adalah ahli baitku, dan aku harus menjadi orang yang menyeru kamu berdua pertama kali. Bersaksilah bahawa Allah itu satu, tidak ada sekutu bagi-Nya dan tinggalkanlah semua yang kamu sembah kecuali Allah.”

Mendengar itu Kan’an melihat ke arah ayah dan ibunya. Sang ibu pula memandang kepadanya seraya mengangguk dan berkata: “Kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dan tuhan-tuhan kaum kami semua.” Dan Kan’an pula berkata, setelah, mendengar apa yang dikatakan oleh ibunya itu: “Wahai, ayah, kulihat ayah menolak ucapannya.”

Nabi Nuh menjawab: “Tidak mungkin aku akan meninggalkan risalah yang dibebankan oleh Allah kepadaku untuk kusampaikan kepada umat manusia? Kamu berdua terus-menerus menyembah batu dan kayu yang tidak dapat mendatangkan mudarat ataupun manfaat; dan kamu enggan menyembah Tuhan yang Maha Esa lagi Berkuasa.”
Mendengar perdebatan itu, anak-anak Nabi Nuh yang lain terbangun dari tidurnya. Mereka semua bangun dan menghampiri ketiga orang itu, untuk mengetahui masalah yang sebenarnya terjadi. Melihat itu sang ibu segera berkata kepada mereka semua. “Ayahmu menghendaki agar kita meninggalkan tuhan-tuhan yang biasa kita sembah untuk kita menyembah tuhannya yang ia katakan telah mengutusnya untuk membimbing manusia.”

“Siapakah Tuhanmu itu, ayah?” Tanya anak-anak Nabi Nuh kepada ayah mereka.

“Dia adalah Pencipta langit dan bumi serta semua makhluk yang ada di atas alam ini. Dialah yang memberi rezeki, mematikan semua manusia di hari perhitungan (kiamat),” jawab Nabi Nuh. “Di manakah Dia berada, Ayah? Apakah Ia berada di Makbad besar bersama tuhan-tuhan yang biasa kami sembah?” Tanya salah seorang di antara anak-anak Nabi Nuh.

“Anak-anakku,” kata Nabi Nuh: “Sesungguhnya Allah tidak dibatasi oleh ruang atau waktu. Dia adalah Pencipta ruang dan waktu itu sendiri. Dia tidak dapat dilihat oleh mata kita.”

“Jika demikian, bagaimana kita mengetahui bahawa Dia ada?” Tanya yang lain.

Nabi Nuh menjawab: “Dari tanda-tanda kekuasaan-Nya atas segala sesuatu dari ciptaan-Nya dan pengadaan-Nya, dari langit yang ditinggikan-Nya tanpa tiang; dari bumi yang dihamparkan-Nya dan di dalamnya terdapat sungai-sungai dan lautan; dari hujan yang tercurah dari langit dan menumbuhkan tanaman yang memberikan sumber rezeki manusia dan haiwan-haiwan; dan dari kekuasaan-Nya menciptakan manusia dan mematikan mereka; yang semua itu ada di hadapan kita.”

Mendengar itu, anak-anak Nabi Nuh serentak berkata: “Allah telah melapangkan hati kami untuk menerima kebaikan yang ayah serukan.”

Betapa terperanjatnya hati isteri Nabi Nuh tatkala mendengar pengakuan terus terang anak-anaknya akan risalah yang diserukan Nabi Nuh. Ia segera bangkit dari duduknya dan menghampiri Kan’an, sambil berkata kepada suaminya.“Telah rosak akal anak-anakmu dengan seruan itu. Tuhan kami akan mengutu dan menurunkan seksa kepadamu!”

Ketika wajah anak-anak mereka menampakkan kehairanan Nabi Nuh menjawab: “Nanti kamu akan mengetahui bahawa berhala-hala itu tidak berkuasa memberikan manfaat dan tidak kuasa pula menolak kemudaratan atas dirinya. Bagaimana ia akan berkuasa berbuat sesuatu kepada yang lain?”

Isteri Nabi Nuh tidak berhenti dalam usaha menghalang-halangi dakwah kebajikan yang diserukan oleh Nabi Nuh kepada kaumnya. Setiap datang jiran tetangga yang hendak beriman kepada ajaran Nabi Nuh, dan meminta pendapat isteri Nabi Nuh dalam hal itu, isteri Nabi Nuh selalu mencadangkan orang-orang itu agar tidak mengikuti seruan suaminya. Bahkan ia berkata kepada mereka: “Sekiranya seruan Nuh itu baik, nescaya aku dan anakku, Kan’an mengikutinya.” Dengan pertanyaan isteri Nabi Nuh itu, pulanglah para tetangga itu dengan hati yang yakin, dan hilanglah keraguan terhadap tuhan-tuhan yang biasa mereka sembuh.

Beberapa tahun telah berlalu, dan isteri Nabi Nuh bukannya semakin condong kepada ajaran suaminya. Rasa pertentangannya dengan Nabi Nuh bahkan semakin besar dan kuat. Bersama berlalunya waktu, isteri Nabi Nuh semakin berpaling dari seruan kebenaran yang disampaikan oleh suaminya. Ia berkata kepada Nabi Nuh: “Tidak ada yang mengikutimu kecuali hanya beberapa orang miskin. Sekiranya bukan kerana kemiskinan yang mereka derita, nescaya mereka tidak akan mengikutimu. Bukankah hal ini cukup menjadi bukti bagimu bahawa seruanmu itu batil? Semua orang memperolok-olokkanmu. Maka sebaiknya kamu hentikan seruanmu itu kepada manusia....”

Meskipun demikian, Nabi Nuh tetap berjalan di atas kebenaran Ilahi yang menuntut kepada kebajikan. Ia pikul semua penderitaan dan kejahatan orang yang merintanginya untuk menyampaikan risalah Tuhannya, meskipun bertahun-tahun jumlah kaum mukminin tidak lebih dari seratus orang. Nabi Nuh selalu berdoa kepada Allah: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang. Maka seruanku itu hanya membuat mereka lari dan semakin menjauh.

Dan sungguh, setiap kali aku menyeru mereka agar engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari ke dalam telinganya dan menutup dirinya dengan pakaiannya dan mereka tetap ingkar dan menyombongkan diri dengan keangkuhan.

Kemudian kuseru mereka dengan terang-terangan. Dan berbicara kepada mereka di halayak ramai, dan juga dengan diam-diam. Maka, aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan (pula di dalamnya) sungai-sungai untukmu.
Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?
Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkat kejadian?
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat?
Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya, dan menjadikan matahari sebagai pelita?
Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya, kemudian dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu (darinya pada hari kiamat) dengan sebenar-benarnya?
“Dan Allah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas di bumi itu?”
Nuh berkata: Ya, Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku, dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka. Dan melakukan tipu daya yang amat besar.”

Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) Wadd dan jangan pula Suwa, Yaghuts, Ya’uq, dan Nasr.”
“Dan sesungguhnya mereka (sembahan-sembahan berhala) telah menyesatkan orang ramai. Maka, janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.”

(Lihat surah Nuh ayat 5-24)

Allah memerintahkan Nabi Nuh membuat sebuah bahtera. Pada suatu hari, isteri Nabi Nuh melihat suaminya mendatangkan kayu-kayu dan menyuruh para pengikutnya agar meletakkan kayu-kayu itu di tengah-tengah kota, padahal kota itu jauh dari laut dan sungai. Maka, bertanyalah sang isteri kepada suaminya. “Apakah yang akan engkau perbuat dengan semua kayu ini, Nuh?”

“Aku akan membuat sebuah bahtera,” jawab Nabi Nuh. “Mengapa engkau membuat bahtera, sedangkan di sini tidak ada lautan atau sungai yang dapat melayarkannya?” Tanya isteri Nabi Nuh.

Nabi Nuh menjawab: “Bahtera ini akan belayar ketika datang perintah Allah.”

Kembali isteri Nabi Nuh menyanggahnya: “Bagaimana orang yang berakal akan percaya dengan ungkapanmu itu?”
“Nanti engkau akan melihat bahawa hal itu akan terjadi,” kata Nabi Nuh.

Setelah beberapa langkah isteri Nabi Nuh meninggalkan tempat itu, ia masih sempat bertanya sekali lagi: “Apakah bahtera ini akan berlayar di atas pasir?”

Nabi Nuh menjawab dengan penuh keyakinan: “Tidak! Tetapi banjir akan menenggelamkan bumi dan orang-orang yang menentang kami, dan kaum mukminin akan selamat di atas bahtera...”

Maka, pergilah isteri Nabi Nuh untuk menyelesaikan urusannya. Dia tidak percaya sedikit pun pada apa yang dikatakan suaminya itu. Walaupun begitu, ia sebenarnya merasa hairan kepada berita yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Ia bertanya-tanya kepada dirinya sendiri. “Nanti akan engkau saksikan, apakah Nabi Nuh akan membiarkanmu berlayar bersamanya di atas bahtera!”

Belum selesai ia memikirkan hal yang menghantui fikirannya itu, terdengar suara Kan’an memanggilnya. “Apakah bahtera itu, ibu?”

Maka, ibunya mengisahkan peristiwa dialog antara dirinya dan Nuh, dan mengkhabarkan pula kepada Kan’an bahawa ayahnya akan membuat sebuah bahtera di tengah kota. Kan’an nyaris tidak mendengar semua cerita ibunya, kerana ia menjadi tertawa terbahak-bahak tiada henti. Kemudian ia berkata: “Kalau begitu, benar apa yang dikatakan orang tentang ayahku!”

Isteri Nabi Nuh memandang anaknya sambil menyesali dirinya. “Aduhai malangnya nasib yang membuatku menjadi isteri lelaki itu selama bertahun-tahun. Berapa lama lagi aku harus menanggung sengsara dan celaka seperti ini?” Kemudian ia membawa anaknya pergi ke Makbad Besar.

Di Makbad Besar, sekelompok orang sedang berbantah-bantah tentang Nabi Nuh. Melihat isteri Nabi Nuh dan Kan’an datang mereka segera berkelompok di sekelilingnya dan berkata kepadanya. “Benarkah berita yang sampai kepada kami bahawa Nuh akan membuat sebuah bahtera?”

“Hal itu aku dengar dari mulut Nuh sendiri,” jawab isteri Nabi Nuh. Bertambahlah kemarahan orang-orang itu. Jika hal itu dimaksudkan sebagai olok-olok Nuh kepada mereka, maka mereka akan mengusir Nabi Nuh dari negeri mereka. Kaum Nabi Nuh tersebut kemudian pergi ke tengah kota. Di sana Nabi Nuh sedang mempersiapkan kayu-kayu untuk dibuat bahtera. Di sekelilingnya ada sekelompok orang-orang yang beriman kepadanya yang membantunya menyediakan kayu-kayu itu.

Sementara itu, kaum Nabi Nuh mulai mengolok-oloknya. Salah seorang dari mereka berteriak. “Baiklah, Nuh! Nyata sekali bahawa kamu akan datang dengan membawa bahtera kepada kami di sini, sehingga kami dapat naik bahtera yang kamu buat di atas padang pasir yang tandus ini!”

Suara yang lain terdengar: “Baiklah, Nuh! Apakah kamu akan menyuruh kaum mukminin untuk datang kepadamu dengan membawa bekas-bekas yang penuh air untuk dituangkan ke bawah bahtera ini sehingga engkau dapat membuat sebuah kolam yang di atasnya bahteramu belayar?”

Yang lain lagi berseru.” Hal itu tentu saja akan memakan waktu beberapa ratus tahun, tahukah kamu, Nuh?”
Kemudian di antara mereka ada yang tertawa sambil mengejak Nabi Nuh.” Dan semua air akan diserap oleh pasir...”
Nabi Nuh tidak memberikan jawapan terhadap ejekan-ejekan dan cemuhan-cemuhan mereka itu melainkan hanya berucap dengan beberapa kalimat pendek: “Jika kamu memperolok kami, kami pun akan memperolokkan kamu, sebagaimana kamu memperolokkan kami! Tapi kamu akan sedar, kepada siapa akan datang azab yang meliputi dirinya dengan kehinaan. Dan kepada siapa akan turun azab yang tiada akhirnya.”

(Surah Hud ayat 38-39)

Beberapa tahun telah berlalu. Nabi Nuh telah menyelesaikan bahtera ciptaannya. Sementara itu, ejekan yang datang dari kaum di sekelilingnya tidak berhenti, siang dan malam. Isteri Nabi Nuh dalam hal itu selalu memberitahu kaum musyrikin tentang kesedihan suaminya selama itu. Mendengar berita itu, makin bertambahlah kegembiraan hati mereka.

Pada suatu hari, isteri Nabi Nuh terbangun dari tidurnya kerana sesuatu yang menggelisahkan hatinya. Di rumahnya, Nabi Nuh mengumpulkan setiap jenis haiwan dan burung, masing-masing sepasang. Melihat perbuatan Nabi Nuh itu, isterinya bertanya. “Nuh, apa yang kamu lakukan? Dan ke mana kamu akan pergi dengan semua haiwan dan burung itu? Apakah kaum mukminin yang bersamamu akan makan haiwan-haiwan dan burung-burung itu, dan engkau tinggalkan kami di sini tanpa apa-apa?”

“Tuhanku telah memerintahkan kepadaku untuk membawa haiwan-haiwan dan burung-burung di dalam bahtera!” Jawab Nabi Nuh.

Dengan agak pelik, isteri Nabi Nuh bertanya: “Bagaimana Tuhanmu memerintahkan seperti ini?”

Nabi Nuh menjawab: “Kelak akan kubawa setiap pasang binatang dan semua kaum mukminin di dalam bahtera ini, dengan kebenaran yang diperintahkan oleh Tuhanku kepadaku.”

Isteri Nabi Nuh tidak mahu diam. Ia bahkan berusaha membantah sambil berkata: “Apa yang akan kamu lakukan dalam bahtera itu? Apakah kalian akan meninggalkan rumah dan hidup bersama haiwan-haiwan dan burung-burung ini?”

Nabi Nuh menjawab: “Kelak air akan menenggelamkan segala sesuatu, dan tidak ada yang akan selamat kecuali siapa yang naik ke atas bahtera ini, kemudian memulai kehidupan baru yang muncul dengan fajar keimanan!”
Kali ini isteri Nabi Nuh benar-benar merasa takut dan ngeri dengan ucapan suaminya itu. Namun, kerana keingkarannya telah keras membatu, ia tetap berusaha menekan rasa takutnya itu. Segera ia pergi untuk memberitahu kaumnya tentang yang diperbuat suaminya. Maka, bertambah keraslah ejekan mereka kepada Nabi Nuh dan apa yang diperbuatnya.

Ketika datang masa yang dijanjikan oleh Allah, terperanjatlah kaum Nabi Nuh melihat datangnya banjir yang besar serta merta. Pintu-pintu langit terbuka dan mencurahkan air hujan ke bumi, sedangkan Nabi Nuh bersama orang-orang yang beriman belayar di atas bahtera tanpa isterinya dan Kan’an puteranya. Mereka berdua menolak ketika Nabi Nuh memerintahkannya agar ikut bersama ke atas bahtera. Bahkan mereka berkata: “Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat menyelamatkan daku dari banjir!”

(Hud ayat 43)

Banjir terlalu besar, hingga puncak gunung pun tenggelam. Maka tenggelamlah sang ibu bersama puteranya dalam gelombang banjir yang dahsyat. Kisah mereka di dalam Al-Quran sentiasa menjadi tanda dan peringatan bagi seluruh kaum mukminin bahawa petunjuk itu kadang-kadang terasa lebih jauh meskipun bagi orang yang paling dekat dengan pemberi petunjuk itu sendiri.