Lazimnya, begitulah reaksi manusia dalam ketakutan. Mereka akan buat apa saja untuk menyelamatkan diri mereka. Apatah lagi kalau ketakutan itu adalah ketakutan sebenar, yang terbit daripada azab Allah yang datang.
Apabila azab itu datang maka tiada sesuatu dapat menghalanginya. Termasuk permohonan orang yang dipilih-Nya sebagai Nabi. Seperti Nabi Nuh yang memohon agar anaknya diselamatkan daripada banjir besar yang melanda. Firman Allah berbunyi,
"Dan Nuh memanggil Pemeliharanya, dan berkata, 'Wahai Pemeliharaku, anak lelakiku adalah daripada keluargaku, dan janji Engkau benar. Engkau yang paling adil antara para hakim'" (11:45).
Allah menolak permohonan Nabi Nuh lalu si anak itu mati lemas dalam azab tersebut. Azabnya sungguh menakutkan sehingga gelombang yang terbit daripada banjir itu digambarkan seperti gunung tingginya (11:42).
Azab Allah adalah sesuatu yang ditakuti oleh orang-orang yang bersalah. Orang-orang yang zalim, misalnya, akan menyambar peluang untuk menyelamatkan dirinya dengan meminta agar azab itu dapat ditangguhkan sambil berjanji akan mengerjakan suruhan Allah yang disampaikan melalui rasul. Usahanya pasti gagal. Allah berfirman:
"Dan berilah amaran kepada manusia akan hari apabila azab datang kepada mereka; dan orang-orang yang membuat kezaliman berkata, 'Wahai Pemelihara kami, tangguhkanlah kami hingga satu tempoh yang dekat, dan kami akan menyahut seruan Engkau, dan mengikuti rasul-rasul'" (14:44).
Dengan melencong sedikit lalu pergi kepada sebutan selanjutnya mengenai orang-orang yang zalim. Antara golongan manusia yang dikategorikan sebagai zalim adalah mereka yang:
- mencabuli hudud Allah (2:229),
- tidak percaya (2:254),
- mengada-adakan dusta terhadap Allah (3:94),
- tidak menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan (5:45),
- mendustakan ayat-ayat-Nya (6:21),
- menyangkal ayat-ayat Allah (6:33),
- menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya (6:93),
- mengambil bapa-bapa dan saudara-saudara mereka yang tidak percaya sebagai wali (9:23),
- menyeru selain daripada Allah (10:106),
- tidak mempercayai al-Qur'an (34:31),
- mengambil orang-orang yang mensyariatkan sebagai agama (42:21), dan
- yang mengejek kaum lain, atau perempuan yang memperolok-olokkan perempuan lain, atau mereka yang mencari kesilapan sesama sendiri, atau yang menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran (49:11).
Merekalah digolongkan antara orang-orang yang zalim. Untuk mengetahui sepenuhnya siapa yang disifatkan Allah sebagai orang-orang yang zalim, melalui aya-ayat-Nya, sila click di sini.
Kembali kepada azab Allah dengan menyebut azab Hari Kiamat. Apabila ia datang, manusia berada dalam keadaan mabuk, tetapi mereka tidak mabuk, seperti para ibu yang meninggalkan atau menggugurkan anak-anaknya, dan lelaki yang lari daripada orang-orang yang dikasihi, daripada ahli keluarga terdekat. Mereka melepaskan diri daripada kesemuanya untuk menyelamatkan diri sendiri. Dua ayat Allah yang berikut menggambarkan peristiwa-peristiwa tersebut:
"Pada hari apabila kamu melihatnya (kegoncangan Saat), tiap-tiap ibu yang menyusui melupakan apa yang dia menyusukan, dan tiap-tiap yang mengandung menggugurkan kandungannya, dan kamu melihat manusia mabuk, padahal mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah adalah keras" (22:2).
"Dan apabila Letupan datang, Pada hari seorang lelaki lari daripada saudara lelakinya, Dan ibunya, dan bapanya, Dan isterinya, dan anak-anaknya, Setiap lelaki, pada hari itu, ada hal yang mencukupi baginya" (80:33-37).
Setelah Hari itu sampai, pengikut-pengikut pergi kepada orang-orang yang diikuti yang disangka telah memberi petunjuk untuk melepaskan diri:
"Mereka pergi kepada Allah, kesemuanya; kemudian berkata orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong, 'Kami adalah pengikut-pengikut kamu; adakah kamu berguna sedikit pun kepada kami terhadap azab Allah?' Mereka berkata, 'Jika Allah memberi petunjuk kepada kami, tentu kami memberi petunjuk kepada kamu. Sama sahaja bagi kita; sama ada kita tidak boleh menahan, atau kita bersabar - kita tidak ada tempat lari'" (14:21).
Pengikut-pengikut tidak dapat melepaskan diri daripada azab Allah. Kerana orang-orang yang diikuti tidak mendapat petunjuk. Kedua-duanya kekal dalam azab Allah setelah mendapati tiada tempat untuk melarikan diri.
Orang-orang munafik pula ingin meminjam cahaya daripada orang-orang yang percaya tetapi kemudian mereka dipisahkan:
"Pada hari apabila orang-orang munafik lelaki, dan orang-orang munafik perempuan, berkata kepada orang-orang yang percaya, 'Tunggulah kami, supaya kami dapat meminjam cahaya kamu!' Dikatakan, 'Kembalilah kamu ke belakang, dan carilah cahaya!' Dan sebuah dinding diadakan di antara mereka, yang mempunyai sebuah pintu, di dalamnya pengasihan, dan bertentangan dengan yang di luar di mana terdapat azab" (57:13).
Sementara orang-orang yang berdosa ingin menebus diri mereka dengan anak-anaknya:
"Sedang mereka saling melihat antara mereka. Orang yang berdosa menginginkan bahawa dia dapat menebus dirinya daripada azab hari itu dengan anak-anaknya" (70:11).
Keadaan menjadi lebih ngeri lagi apabila melihat azab yang akan dilalui. Orang-orang yang diikuti menyambar peluang untuk menyelamatkan diri dengan melepaskan diri mereka daripada pengikut-pengikutnya, di samping orang-orang zalim ingin menebus diri mereka dengan segala yang di bumi sambil menanyakan jalan untuk kembali ke dunia. Tiga ayat al-Qur'an yang menyusuli menjelaskannya:
"Apabila orang-orang yang diikuti berlepas diri daripada pengikut-pengikut mereka, dan mereka melihat azab, dan tali-tali mereka diputuskan" (2:166).
"Jika tiap-tiap jiwa yang membuat kezaliman mempunyai semua yang ada di bumi, tentu ia menebus dirinya dengannya; dan mereka akan merahsiakan penyesalan apabila mereka melihat azab, dan dengan adil perkara diputuskan antara mereka, dan mereka tidak dizalimi" (10:54).
"dan kamu akan melihat orang-orang yang zalim, apabila mereka melihat azab, mereka akan berkata, 'Adakah sebarang jalan untuk kembali?'" (42:44).
Sambil orang-orang yang menyekutukan Allah, atau yang mengambil jalan agama selain daripada Kitab Allah, akan menyambar peluang dengan menyalahkan Allah atas kehendak-Nya. Mereka menjadi begitu kerana Allah yang menghendaki, kata mereka. Seperti itulah kepercayaan kepada qada dan qadar yang tidak diajar Allah. Sebaliknya Allah menyatakan, "Apa sahaja yang baik menimpa kamu, ia adalah daripada Allah; apa sahaja keburukan yang menimpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri" (4:79).
Orang-orang itu menyatakan demikian dengan berkata,
"'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menjadi orang-orang yang mempersekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan sesuatu.' Begitulah orang-orang yang sebelum mereka mendustakan sehingga mereka merasakan bencana Kami." (6:148)
Mereka mempersekutukan Allah atas amalan halal dan haram mereka yang tidak menuruti ajaran Allah tetapi menuruti ajaran "ulama" mereka.
Semua orang yang bersalah berada di dalam Api. Dalam keadaan terdesak mereka mengambil peluang bercakap dengan penjaga-penjaga Jahanam. Mereka meminta penjaga-penjaga itu menyeru kepada Allah supaya meringankan azab yang meliputi mereka:
"Dan orang-orang yang di dalam Api berkata kepada penjaga-penjaga Jahanam, 'Serulah kepada Pemelihara kamu untuk meringankan bagi kami sehari daripada azab!'" (40:49).
Akan tetapi, azab tidak diringankan bagi mereka.
No comments:
Post a Comment