CARI TAJUK UTAMA

Tuesday, April 22, 2008

Iblis Laknatullah

Iblis itu sombong. Ia menganggap dirinya lebih baik daripada Adam walaupun Adam telah diajar oleh Allah. Kesombongannya berdasarkan ciptaan Allah ke atasnya, yang difikirkan lebih baik daripada Adam. Setelah ia enggan sujud kepada Adam apabila diperintah Allah, dan dihalau keluar dari tempat ia berada, ia memohon supaya dapat ditangguhkan hingga ke Hari Kiamat. Tujuannya, adalah untuk menyesatkan manusia di jalan Allah yang lurus. Katanya,

"Oleh kerana Engkau telah menyalahkan aku, maka sungguh, aku akan duduk kepada mereka di jalan Engkau yang lurus," (7:16)

Oleh yang demikian, hanya manusia yang berada di jalan Allah yang lurus yang ia akan memerangkap. Yang lain, iaitu mereka yang sudah mengambil jalan sepertinya, tidak menjadi keutamaan baginya.

Ia agak berjaya dalam rancangannya kerana hanya sedikit daripada bani Adam yang tidak dapat dijeratkannya (17:62). Lalu, didapati pada hari ini, agama yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul Allah zaman dahulu tidak lagi menjadi seperti yang telah diwahyukan kepada mereka. Apa yang diwahyukan kepada mereka adalah serupa dengan apa yang ada pada manusia hari ini. Firman-Nya,

"Kami mewahyukan kamu sebagaimana Kami mewahyukan Nuh, dan Nabi-Nabi selepasnya, dan Kami mewahyukan Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan Isa, dan Ayub, dan Yunus, dan Harun, dan Sulaiman, dan Kami memberikan Daud, Zabur." (4:163)

Untuk memberi contoh bagi kejayaan Iblis, dipilih tiga daripada suruhan Allah ke atas manusia, iaitu solat, puasa dan haji. Agama-agama yang tua di dunia pada hari ini (termasuk Islam), didapati masih mengamalkan ketiga-tiga suruhan tersebut. Namun, pengamalannya didapati berbeza antara satu dengan lain setelah ajaran Allah diubah oleh pihak-pihak tertentu. Dan, didapati juga sesetengah golongan daripada berbilang agama itu tidak lagi mengamalkannya langsung.

Tentu sekali perubahan yang berlaku, dan mereka yang tidak mengamalkannya lagi, adalah akibat daripada sumpah Iblis tadi.

Seperti itu juga berlaku di kalangan orang-orang yang berada di jalan lurus dewasa ini, iaitu mereka yang menuruti ajaran al-Qur'an. Perselisihan yang ketara dalam amalan solat, puasa dan haji turut berlaku antara mereka.

Dalam solat, antara mereka ada yang bersolat sebanyak lima waktu sehari, ada yang tiga, ada yang dua, dan ada pula yang tidak bersolat langsung. Mereka yang akhir mengatakan di dalam al-Qur'an tidak ada suruhan untuk solat. Malah, ada juga yang mengatakan bahawa solat itu bermaksud membuat amal kebajikan sahaja.

Bagi amalan puasa pula, ada yang menahan diri daripada makan dan minum dan bersatu dengan isteri, dari waktu fajar hingga ke malam, selama sebulan Ramadan. Ada pula yang berpuasa seperti itu tetapi hanya beberapa hari sahaja. Pun terdapat mereka yang mencari-cari bulan yang panas untuk berpuasa. Namun, ada juga yang berpuasa dengan hanya tidak berkata-kata kepada manusia lain, tetapi mereka makan dan minum, dan bersatu dengan isteri, pada siang hari bulan Ramadan.

Begitu juga dengan suruhan Allah untuk menunaikan haji. Ketaranya hingga ada yang mengatakan bahawa tempatnya bukan di Mekah, sementara segolongan lain mengatakan tiada langsung ibadah haji kerana tidak disebut dengan jelas di dalam al-Qur'an.

Satu daripada sebab hingga jadi begini ialah fahaman bahawa Islam itu bukan agama, dan kerana itu, tidak ada upacara amal, atau ritual, di dalamnya.

Tidak syak lagi, antara beberapa fahaman dan amalan yang timbul di kalangan orang-orang yang menuruti ajaran al-Qur'an itu tentu ada yang telah diwahyukan oleh Iblis, yang diizinkan Allah untuk duduk memerangkap mereka yang berada di jalan yang lurus.

Segala perselisihan itu akan diputuskan oleh Allah sahaja. Sementara itu, bagi hamba-hambanya yang terlibat (termasuk penulis), mereka terus berpakaian takwa, bersikap toleran terhadap fahaman satu sama lain, sambil terus berusaha dengan gigih untuk tetap berada di jalan Allah yang lurus. Mereka berdoa:

"Wahai Pemelihara kami, janganlah menyimpangkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan berilah kami pengasihan daripada sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi." (3:8)

No comments: