CARI TAJUK UTAMA

Friday, May 23, 2008

Cinta Allah Dan Rasulnya

“Rupa-rupanya dalam kehidupan ini, ramai manusia yang sakit hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain daripada Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan” -Pahrol Mohd Juoi, Tentang Cinta.

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu mengasihi Rasulullah melebihi orang lain” (Sahih Muslim).

Sudah menjadi fitrah alam, setiap mukmin memilih untuk mencintai Allah dan Rasul. Untuk itu mereka sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja demi membuktikan kecintaan kepada Allah dan juga mereka sanggup bermusuh dengan sesiapa sahaja yang menghalang cintanya kepada Allah.

Cinta agung yang pernah terakam dalam sirah perjuangan Rasulullah S.A.W ialah cinta sahabat terhadap baginda. Mereka tahu cinta Allah lebih besar. Kenal Allah bererti merasakan keindahan ciptaan-Nya, keizzahan-Nya, kegagahan-Nya, kasih-sayang-Nya dan semua sifat kebesaran-Nya.

Kisah Abu Hurairah menjadi contoh bagi cinta Allah. Ketika Abu Hurairah hampir menemui ajalnya, mulutnya mengukir senyum dengan wajahnya yang berseri-seri. Apabila ditanya mengapa wajahnya berseri-seri, beliau menjawab ”bukankah kematian akan menemukan aku dengan Allah dan Rasulullah yang paling aku cintai?”

Inilah sifat kekasih Allah. Mati ibarat satu platform untuk mereka bertemu dengan Allah dan Rasul sehingga terkenal di kalangan mereka akan kata-kata “bukankah mati syarat menemui cinta?”.

Bagi mereka cinta Allah dan Rasul kekal selamanya. Inilah sifat pejuang cinta kelas pertama. Bagaimana pula dengan sifat pejuang cinta kelas kedua? Mereka dibaratkan seperti kisah cinta Romeo dan Juliet, Uda dan Dara dan Lady Diana dan Dodi Al-Fayed yang hanya menjadikan manusia sebagai cinta agung buat mereka seolah-olah dunia ini mereka yang punya.

Impian yang ingin dibina bersama hanyalah tinggal janji semata kerana cinta yang dipertahankan putus di tengah jalan akibat mempertaruhkan cinta yang terpesong daripada landasan syariat sebenar. Harapan tinggal harapan. Cinta tin kosong!

Golongan syabab pada hari ini terus dibuai arus pergolakan cinta antara XX dan XY. Konon mengatakan “cinta kami kerana Allah” dan ada pula yang mengatakan “kami dah tetapkan syarat, no sms, no call”.

Ingatlah, guideline yang dicipta berselindung di balik trademark cinta kerana Allah tidak wujud sama sekali! Yang ada hanyalah cinta yang bertuankan manusia dan lebih parah lagi, ia membawa kepada zina hati! Apa erti semua ini?

Di mana generasi syabab yang bakal mewarisi perjuangan Islam andai nafsu serakah tunduk merajai segala tindakan kita. Mengapa cinta haram yang dipertahankan?.

Cinta Allah- cinta kudus yang dianugerahkan kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Allah akan membalas cinta kita tanpa kita sedari dan pinta. Bukan seperti cinta manusia yang sering meminta untuk dibalas malah ada juga yang menagih cinta yang melampau daripada pasangannya.

Allah membalasnya dengan balasan yang berlipat kali ganda dan Allah tidak pernah mengungkit andai cinta yang dikurniakan kepada hamba-Nya tidak dibalas sama dengan apa yang diberikan-Nya.

Firman Allah: Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah, iaitu para nabi, para pencinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman sebaik-baiknya. Oleh itu, Anas R.A. berkata ”kami tidak pernah bergembira sebagaimana gembiranya kami dengan sabda Rasul S.A.W., “Seseorang itu bersama dengan orang yang dia cintai”. Lantas Anas berkata, “Aku mencintai Rasul, Abu bakar dan Umar. Dan aku harap dapat bersama mereka”.

Wah, begitu tulusnya cinta mereka! Cinta Allah dan Rasul tiada bersyarat; semestinya menjadikan kehidupan manusia tenang dan damai kerana cinta mereka hanyalah meletakkan Allah sebagai ghayah utama dalam ranjau kehidupan mereka.

“Cinta kudus disulami dengan matlamat dan pelaksanaan ke arah itu. Tapi harus diingat, matlamat tidak menghalalkan cara andai cinta XX dan XY dibayangi slogan cinta kerana Allah.

Sebenarnya,tidak wujud perumpamaan “aku mencintai Asiah kerana Allah”. Siapa Asiah di sisi kita kerana dia belum tentu menjadi milik kita yang sah! Sebaliknya tanya pada diri, siapa diri kita di sisi Allah? Layakkah kita memiliki dan memberi cinta kepada manusia lain sama seperti cinta yang dianugerahkan Ilahi kepada makhluknya?

Ayuha syabab, lakukan anjakan paradigma! Bina tali hubungan dengan Allah. Sibukkan diri kalian dengan perkara yang membina potensi diri dan menyumbang kepada Islam. Tetapkan visi dan misi hidup kalian.

Rancanglah segala aktiviti kehidupan kalian dengan sempurna dan dalamilah ilmu sebanyak mungkin seperti menghadiri majlis-majlis ilmu agama. Mengapa dilepaskan ‘hidangan taman-taman syurga dunia’ di depan mata?

Bukankah ia memberi 1001 manfaat kepada diri? Banyakkan berzikir dan beristighfar memuji kebesaran-Nya, tanda kalian mencintai Allah. Sesungguhnya, rawatan hati ini amat penting bagi kalian yang bergelar syabab kerana tika inilah nafsu kalian teruji. Nafsu ibarat raja bagi hati. Kalau ikut kata hati, binasalah badan. Kalau ikut kata iman, selamatlah jiwa.

Sebagai bukti cinta kepada Rasulullah, lazimilah lisan kalian dengan berselawat ke atas Rasululullah S.A.W sedangkan Rasulullah sendiri ketika di saat-saat menghembuskan nafas terakhir, baginda masih sempat lagi melafazkan “umatku.. umatku.. umatku”.

Begitu tinggi kasih dan cinta yang ditunjukkan kepada umat baginda. Persoalannya, apakah tindakan kita,umat baginda untuk membalas cinta Rasulullah S.A.W ini?

No comments: