CARI TAJUK UTAMA

Tuesday, June 17, 2008

Bidaah atau Bida'ah

Petikan drDr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali

BIDAAH DLM AKIDAH

Banyak sekali noda-noda yang secara lahiriahnya nampat taat kepada Allah tetapi pada hakikatnya melanggar hukum dan norma-norma yang ditetapkan Allah.

Tidakkah telah dimaklumi, betapa orang-orang musyrikin itu bertelanjang bulat waktu tawaf di Baitullah, baik lelaki mahupun perempuan dengan alasan tidak layak di Baitullah berpakaian yang dipakai berbuat maksiat kepada Allah.

Di antara sekian banyak yang terjadi di kalangan orang awam ialah pergi ke kubur orang-orang soleh untuk sesuatu yang tidak patut dipinta kecuali kepada Allah semata-mata.

Perasaan kurang puas dalam berhubungan dengan Allah tanpa wasilah, merupakan adat kebiasaan kaum Watsaniyah, penyembah berhala. Alasan-alasan mereka itu seperti firmannya yang bermaksud :

“Kami tidak menyembah berhala-berhala itu melainkan supaya mereka itu mendekatkan kami kepada Allah.

(Az Zumar : 3)

Alasan ini pula yang dipakai kaum jahiliah moden untuk membela pengunjung kubur untuk minta sembuh dan keberuntungan, serta mencari keluhuran dan pertolongan.

Beraneka macam khurafat mengelilingi masalah wali dan kewalian. Sehingga lama-kelamaan ramai orang-orang yang beranggapan bahawa nasib dunia berada di tangan para wali. Merekalah yang mengendalikan dunia dengan sesuka hatinya.

Orang-orang yang dianggapnya wali itu kekuasaannya dapat melampaui hukum sebab akibat. Akibat dari itu, pandangan kaum muslimin terhadap sunnatullah yang berhubungan dengan alam ini menjadi kacau bilau. Mereka beranggapan bahawa sunnatullah akan tunduk kepada orang yang tekun beribadah.

Yang jelas, anggapan-anggapan itu semua, sudah bercampur aduk berasal dari pengaruh-pengaruh jahiliah.

Berhala adalah batu yang layak dipakai untuk membina bangunan atau untuk membina jalan. Inilah keistimewaannya. Selain dari itu sama sekali tidak ada, tidak seperti yang dianggap oleh penyembah-penyembahnya.

Lembu’ yang dijadikan persembahan oleh orang-orang Hindu, keistimewaannya, adalah susunya yang dapat diminum dan dagingnya untuk dimakan. Selain itu sama sekali tidak ada, baik mengenai kesuciannya atau pun dekatnya kepada Allah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki memakai gelang di lengannya dari tembaga kemudian beliau bertanya, “Celaka kau, apa ini? “Jawab lelaki tersebut, “Ini adalah benda yang lemah”. Kemudian Rasulullah bersabda : “Ingat sesungguhnya dia hanya menambah kelemahanmu. Kerana itu buang dia. Kerana kalau kamu mati sedang dia masih tetap kamu pakai, selamanya kamu tidak akan selamat.”

Kadang-kadang kita jumpai sebahagian orang menggunakan Al Quran sebagai pelindung dirinya dengan beranggapan bahawa Al Quran tersebut dapat melindungi diri dari muflis, kalau dia sebagai pedagang atau dapat menolak tamparan kepala kalau dia sebagai pegawai.

Ini adalah kekacauan fikiran yang sudah sangat parah. Kalau dia masih beranggapan beriman kepada Allah dan meluhurkan Al Quran, sesungguhnya itu adalah anggapan yang salah. Hubungan seorang muslim dengan Al Quran, adalah mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.

Kalau dia sebagai pegawai dan pedagang supaya berjaya dalam usahanya, dia mesti bekerja kuat, tidak malas, jujur dan jangan menyeleweng.

Kekeliruan terhadap prinsip ini tidak dapat ditebus dengan dengan menggantungkan Al Quran kecil atau pun besar.

Firman Allah s.w.t. ertinya lebih kurang:

“Dengan al-Quran itu Allah membimbing orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan”

(Al-Maidah ayat 16)

“Dengan nyamuk Allh sesatkan orang ramai, tetapi dengan sebab itu juga Ia bimbing orang ramai”

(Al-Baqarah ayat 26)

Aishah r.a. pernah berkata, “ Aku belajar ilmu pengubatan kerana banyak penyakit-penyakit Rasulullah s.a.w.”

Ayat-ayat dan hadis di atas menegaskan bahawa Allah membuat sesuatu dengan sebab. Kerana itu barangsiapa berpendapat bahawa Allah membuat sesuatu ketika adanya sebab-sebab ini, bukan dengan sebab-sebab tersebut, sesungguhnya dia telah menyimpang dari garis yang dibawa Al Quran dan menentang adanya tenaga dan daya yang telah di cipta Allah sendiri.

Perasaan Nasionalisma

Kehancuran dan seksaan yang memuncak ke atas umat Islam silam dan masakini kemungkinan besar disebabkan mereka telah membuang risalah Islam yang universal itu menjadi risalah nasional ( kebangsaan ). Ini merupakan pokok seluruh bencana yang menimpa mereka. Dan ini sungguh merupakan bahaya yang sangat besar untuk masa depan umat manusia.

Kepada kaum muslimin, kami ingin mengingatkan hendaklah mereka dapat menyedari dan menilai realiti yang ada :

1. Bahawa mengembalikan manusia kepada situasi jahiliyah dengan fanatik pada tanahair, warna dan darah adalah satu bentuk faham politheis (syirik) yang tidak patut bagi kita.

2. Kembali kepada tatacara ini hanya akan membawa kerugian bagi Islam dan kaum muslimin serta menguntungkan bagi Eropah.

Kaum Salib antarabangsa menghancurkan dan meruntuhkan Islam dengan tabir nasionalisme. Bahayanya tidak kurang daripada perbuatan gerakan Zionis. Akibatnya kaum muslimin menderita dalam masa yang lama sekali.

BIDAAH DALAM IBADAH

Lawan ‘zikir’ adalah ‘lupa’ yang merupakan pekerjaan hati, bukan pekerjaan lidah. Kerana itu kadang-kadang kita jumpai ada sebahagian orang yang mempunyai ingatan yang tajam dan baik yang dapat memenuhi seluruh jiwanya, padahal lidahnya sama sekali tidak bergerak dan tidak satu pun anggota badannya yang berubah. Ketenangan badannya itu menolong untuk selalu ingat. Jika dia tunduk dan tenggelam, jiwanya dengan sempurna dapat membentuk seluruh lukisan yang dimaksud. Gerakan lidah waktu itu hanya sekadar manifestasi, bukan satu natijah dari meluasnya perasaan.

Banyak sekali orang pendiam yang tidak keluar satu pun huruf dari mulutnya, namun hatinya penuh ingat kepada Allah. Sebaliknya, orang yang lidahnya bergerak-gerak menyebut asma Allah, tetapi hatinya kosong dari berzikrullah. Orang seperti itu tak ubahnya seperti pita rakaman Al Quran. Dia akan menyuarakan ayat-ayat sebanyak yang dirakam itu, tetapi tidak mempunyai tanggungjawab hukum sama sekali. Mereka ini tidak mendapat pahala ataupun seksa.

Adalah suatu kebaikan bagi setiap muslim jika mahu membiasakan membawa zikir-zikir tersebut ( tasbih, tahmid dan takbir dan sebagainya) dan menanamkan pengaruh-pengaruh positif ke dalam jiwanya. Tetapi sayang sekali, banyak kita jumpai kekeliruan yang melampaui batas. Sehingga untuk mengulangi-ulangi bacaan zikir tersebut itu, mereka terpaksa berhenti dari bekerja.

Kalau ada sebahagian orang membuat program membaca Al Quran, berdoa dan berzikir sesuai dengan keperluannya, itu tidak dapat dikategorikan sebagai ketentuan agama. Orang lain juga tidak boleh diharuskan untuk menirunya.

Sehingga banyak pengikut tarikat membuat wirid-wirid khusus untuk pagi dan petang, yang dirangkaikan pula dengan solat-solat tertentu sebagai satu ketentuan agama.

Kami sudah banyak menyaksikan orang yang bergelumang dalam wirid-wirid. Pada umumnya mereka itu mengabaikan dunia ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dan kami yakin pula bahawa kemunduran Islam dalam lapangan pengeluaran atau pun kekayaan, disebabkan oleh manusia-manusia seperti ini. Sebabnya tidak lain mereka itu telah sesat dari tuntutan Rasulullah s.a.w., sehingga mereka menyimpang dari jalan yang lurus.

Allah swt berfirman :

Artinya :

“Orang yang bertakwa kepada Allah dari hamba-hambanya ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan”.

(Fathir : 28)

Memperluaskan perkenalan kepada Allah merupakan Ibadah yang tertinggi. Dan mengenal Allah dalam kerajaannya yang luas ini, bererti menyambut seruan Allah yang dituangkan dalam kitab-kitabNya. Kesimpulan-kesimpulan yang dihasilkan oleh ilmu pengetahuan alam tidak lain hanya akan sesuai dengan wahyu yang datang dari sisi hukum material. Kedua-duanya itu juga datangnya dari Allah semata-mata.

Mempersempitkan pengertian “amal soleh” hanya dalam bidang ibadah semata-mata, dapat membawa orang-orang yang ingin bertakwa menghabiskan seluruh waktunya hanya untuk mengulang-ulang perbuatan-perbuatan yang terbatas ini. Seolah-olah mereka tidak kenal cara lain untuk mencari keredhaan Allah.

Dengan tekun mereka mengerjakan amal-amal ini. Kalau sudah selesai diulang lagi. Begitulah seterusnya.

Apa yang kami tentang adalah adanya perasaan bahawa yang disebut taat kepada Allah itu hanya bergelumang dengan zikir, membaca al-Quran dan solat dengan mengulang-ulang sahaja.

Apakah anda mengira bahawa seorang hakim yang sibuk menyelesaikan persengketaan dan bangun malam untuk mempersiapkan hukumnya, itu kurang mendapat keredaan Allah dibandingkan dengan orang yang tekun membaca Al Quran?

Apakah anda menduga, bahawa guru yang berjuang untuk membenteras kejahilan, dengan bangun malam untuk mempersiapkan pelajaran-pelajaran, itu nilainya lebih rendah dibandingkan dengan orang yang bergelumang dalam zikir?. Tidak, bahkan kedua-duanya lebih dekat kepada Allah dan lebih dekat dengan jalan yang benar.

Kerana itulah orang yang tidur lelap pada malam hari kerana kepenatan membanting tulang di siang hari dinilai sebagai mujtahid. Dia dapat tidur dan bangun dengan mata Allah, selama kesucian hatinya itu hidup.

Kekeliruan memahami erti ibadah, akan memesongkan kemajuan dan kebudayaan kita dari jalan yang benar dan menyebabkan kita menganggap orang yang bodoh sebagai pandai dan sebaliknya. Dan inilah sebab kehancuran yang kini menimpa bangsa kita.

Akhir-akhir ini saya melihat ada sebahagian pemuda yang fanatik kepada agama. Mereka hendak meniru-niru cara-cara yang tidak benar itu. Dia beranggapan bahawa perwujudan keikhlasan kepada Allah dapat dicapai dengan bergaul dengan salah satu jamaah dari jamaah Islam, memberi nasihat dan petua, serta membaca bacaan-bacaan yang panjang dalam kitab-kitab tafsir dan fiqih. Kadang-kadang sesudah itu dia menjadi doktor yang tidak berfungsi dan jurutera yang tidak bersemangat.

Saya sangat hairan, apa yang menyebabkan doktor tersebut harus mengesampingkan fungsinya yang mulia itu? Mengapa dia tidak tahu, bahawa pembedahan yang baik dan ubat yang sesuai itu termasuk puncak amal soleh yang oleh Islam dinilai sebagai satu sendi kejayaan dan jalan untuk mencapai kejayaan? Dan nilai perbuatan ini tidak kurang daripada nilai solat dan zakat.

Menguasai dunia adalah satu hal yang mesti, dalam rangka pengabdian kepada agama. Tidak ada tempat di dunia ini bagi orang yang tidak mengetahui ilmu pengetahuan duniawi.

Kerana itu, Imam Abu Hanifah pernah berkata, “Jangan kamu bertukar fikiran dengan orang yang di rumahnya tidak ada tepung”.

Perkataan ini sungguh berharga sekali. Kalau sekiranya ahli-ahli tasawuf dapat memahami cara-cara seperti tersebut di atas, dia termasuk Islam. Kalau tidak bererti dia telah rosak.

Bukanlah yang dimaksud takwa itu mesti meninggalkan kehidupan duniawi. Yang dinamakan takwa itu seharusnya dapat menguasai duniawi. Jika dunia dapat dikuasai, bererti anda benar-benar hamba Allah dan kekayaan yang di tangan anda itu juga milik Allah.

Orang yang lari dari kehidupan duniawi bukanlah orang yang bijaksana dan bukan mukmin sejati.

Termasuk kurang sihat akalnya orang yang berpendirian bahawa keredaan Allah hanya dapat ditempuh dengan mengkhususkan dalam sebahagian ibadah dan menjauhi sebahagian yang lain.

Beribadah kepada Allah dapat dilakukan di pasar dan di semua lapangan, bukan hanya di masjid dan di surau-surau.

Alangkah indahnya apa yang diungkapkan oleh penyair Iqbal :

Orang kafir akan menjadi hamba kepada dunia Sedangkan dunia akan menjadi hamba kepada orang mukmin

Saya sendiri tidak tahu, bagaimana suatu risalah dapat berjaya sedangkan pembawaannya selalu terkebelakang dari umat lain dalam lapangan penghidupan. Dan saya pun tidak tahu, mengapa dapat begitu tersiar bahawa membawa tasbih itu bererti ibadah, sedangkan menghayunkan kapak bererti hanya kerja peribadi sahaja.

Masjid bukanlah tempat untuk memperkenalkan keindahan seni, tidak pula untuk mempamerkan keelokan teknik dan bukan tempat untuk berbuat berlebihan dan bermegah-megah.

MENGHIAS MASJID

Menurut sunnah Nabi, atap mahupun lantai masjid itu menggambarkan bentuk kesederhanaan. Memperluas masjid tidak juga dilarang, bahkan suatu perbuatan yang baik sehingga dapat menampung beribu-ribu jemaah. Memperbesarkannya sehingga dapat menyerupai benteng juga tidak dilarang. Perbuatan semacam ini tidak termasuk berlebih-lebihan dalam memperelok masjid dan menakjubkan pandangan orang.

Tetapi sebahagian orang ada yang cenderung memperhias dan memperelok bangunan masjid, kerana didorong menyaingi gereja-gereja Kristian yang memang sengaja dibuat secara berlebih-lebihan. Kami memandang, berjalan mengikuti jiwa Islam adalah lebih baik. Sebabnya bertakwa kepada Allah bukanlah pembebanan seperti tersebut di atas.

Bid’ah dalam urusan jenazah

Saya sudah sering menyaksikan beberapa orang miskin yang kekurangan makan, tetapi dia berani berhutang untuk menghidupkan tradisi-tradisi yang menyimpang sebagai ketentuan agama atau lebih dari agama.

Diupah pembaca-pembaca al-Quran untuk satu atau dua malam, dilanjutkan seminggu atau dua minggu.

Pengorbanan berupa moral mahupun material ini diulang pada hari ke 40 , satu tahun, dua tahun dan seterusnya.

Tradisi-tradisi ini sama sekali tidak dapat diterima oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman yang baik terhadap dunia ini, apalagi oleh orang-orang yang mempunyai pemahaman yang baik terhadap agama.

Berapa banyak tempat berhimpun yang harus kita sediakan untuk para tetamu yang ke kubur? Berapa banyak perayaan untuk minggu pertama, hari ke empat puluh dan ulang tahunnya yang pertama.

Tidak diragukan lagi, bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang Islam seperti ini menunjukkan kebodohannya.

Tetapi sayangnya ramai dari kalangan orang awam, termasuk juga ulama-ulama, yang mempertahankan kebodohan ini dalam bentuk-bentuk keagamaan yang mengaburkan.

Padahal Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

“Barangsiapa membaca inna lillahi wainna ilaihi raji’un ketika ditimpa musibah, Allah akan menghilangkan musibahnya itu dan memperbaiki keadaan selanjutnya serta memberikan ganti yang diredaiNya”.

Setiap muslim lelaki atau perempuan tidak boleh memakai pakaian khusus untuk berkabung atau membuat membuat tanda-tanda pada badannya, keadaannya, rumahnya dan pekerjaannya. Sebabnya pemergian seseorang ke akhirat, tidak bererti mencetuskan suasana krisis dan duka dalam percaturan hidup ini.

Persoalannya cukup seperti apa yang dikatakan oleh seorang ahli hikmah, “Di mana ada orang mati, di situ ada juga yang hidup”.

Tidak ada tempat dalam Islam untuk berteriak-teriak untuk mengiringi jenazah. Mengeraskan suara walaupun dengan membaca Al Quran tetap tidak boleh.

Semua ini bertentangan dengan apa yang terjadi terhadap jenazah orang-orang salaf. Mereka melakukannya dengan penuh khusyuk sehingga keluarga yang ditinggal mati itu tidak diketahui mereka diliputi kesusahan dan kesedihan walaupun oleh orang-orang yang menghantar jenazah. Sedikit pun mereka tidak termenung dan cemas ketika mengingat pada mayat itu. Mereka bergantung kepadaNya, sebab mereka juga datang dariNya.

Takziah (Belasungkawa) yang digariskan Islam cukup mudah. Tidak perlu orang yang kesusahan itu menyediakan sesuatu dan mempersiapkan tempat khusus untuk para tetamu yang datang untuk bertakziah.

Kini prinsip-prinsip akhlak itu telah goncang. Sudah menjadi kebiasaan, bahawa orang yang kesusahan, mesti pula menyediakan tempat khusus untuk bertakziah dan menghidangkan makanan-makanan dan minuman-minuman kepada para tetamunya. Padahal menurut Sunnah Nabi, keluarga yang kesusahan itu harus dibantu, misalnya dengan menyiapkan makanan untuk keluarganya. Bukan sebaliknya yang ditimpa kesusahan pula mesti menyediakan makanan dan minuman.

Sedangkan Imam Ahmad berkata, “Cara semacam ini adalah cara-cara jahiliah”. Kerana itu dia sangat membencinya.

Dengan kefahaman yang tersasar bahawa si mayat memperoleh faedah daripada perbuatan orang hidup, ramai orang awam yang mengupah pembaca Al Quran untuk membacakan Al Quran kepada si mayat atau dengan membahagi-bahagikan makanan kepada orang yang menziarahi jenazah.

Bid’ah dalam majlis perkahwinan

Kebanyakan majlis perkahwinan dilakukan dengan berlebih-lebihan dan memaksakan diri. Jarang sekali mereka yang mengadakan pesta perkahwinan itu dengan sederhana sahaja. Di antaranya mereka berlebih-lebihan dalam perkara yang hanya berstatus harus (mubah) sahaja. Mereka perluas ruangnya dan sehingga berlebih-lebihan, melebihi cara yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain.

Perempuan-perempuan agama lain cukup berpakaian sederhana tapi kemas, sedangkan perempuan muslimah tidak mahu kalau tidak memakai kain yang termahal.

Seharusnya umat Islam mempermudahkan amalan tradisi yang menyebabkan pesta-pesta perkahwinan mereka itu hanya penuh dengan nafsu makan, riya’ dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia dan tidak bererti itu.

Walimatul urus (pesta perkahwinan) merupakan satu tradisi yang baik dan perlu pengorbanan dan keringanan. Tetapi di sebalik tradisi yang baik itu, Islam tidak merestui adanya berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam makanan.

Isteri dan anak-anak Nabi s.a.w. kahwin , dengan suatu majlis yang tidak memberat-beratkan diri dan tidak berhutang. Kemudian lihatlah apa yang dilakukan oleh kaum muslimin dalam merayakan perkahwinan mereka. Berapa banyak belanja yang disediakan untuk membuat walimah sehingga tidak habis dimakan oleh yang lapar dan papa.

BID’AH DALAM AGAMA

Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan demi kemaslahatan diri dan golongan jelas menunjukkan kejahilan mereka sendiri.

Mereka yang menambah-nambah dalam urusan agama ini adalah tukang-tukang bid’ah. Tukang-tukang bid’ah ini kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat.

Imam Malik Bin Anas berkata, “Barangsiapa menganggap baik perbuatan bid’ah, sama dengan menuduh Nabi Muhammad telah mengkhianati risalahnya”.

Imam Syafi’ berkata : Andaikata aku mengetahui ahli Bidaah itu dapat berjalan di angkasa, aku tetap tidak akan menerimanya.

Amar Bin Yahya pernah berkata, “Aku pernah mendengar ayah menceritakan dari datuk , “Kami pernah duduk di pintu rumah Abdullah Bin Mas’ud sebelum solat subuh. Tiba-tiba Abu Musa datang, lantas bertanya : Apakah tadi Abu Abdul Rahman datang?. Kami menjawab : Tidak. Lantas ia duduk bersama kami, sampai beliau datang. Dan tatkala ia datang, kami semua berdiri mendampinginya. Kemudian Abu Musa bertanya kepada Abu Abdul Rahman, “Hai Abu Abdul Rahman sesungguhnya saya tadi melihat di masjid ada satu perkara yang belum pernah saya lihat. Menurut anggapanku, perbuatan itu adalah baik”. Abu Abdul Rahman kemudian bertanya, “Apakah dia itu?” Jawab Abu Musa “Jika kau mahu, akan saya terangkan. Iaitu tadi aku melihat di masjid ada satu kumpulan duduk dalam bulatan sambil menantikan solat, dalam tiap-tiap bulatan ada seorang lelaki membawa batu kerikil, seraya ia berkata: Bacalah takbir seratus kali, merekapun kemudian bertakbir 100 kali. Dan ia berkata : Bacalah Lailahaillallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga. Lalu ia berkata : Bacalah Subhanallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga”.

Mereka kemudian berkata, “Demi Allah kami tiada bemaksud melainkan yang benar”.

Abu Abdul Rahman kemudian menyanggahnya, “Banyak sekali orang yang bermaksud berbuat baik, tetapi mereka tidak mendapatnya”

Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah yang direka orang yang menyerupai syarak (agama); yang dimaksud dengan ‘cara’ di sini ialah sebagaimana yang dilakukan oleh syarak dengan tujuan untuk mengabdi kepada Allah dengan berlebih-lebihan.

Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah), dapat dicop sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk dilihatkan kepada orang lain sebagai sesuatu yang benar (haq) . Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi pada hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama.

Sabda Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa mengada-ada cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak”.

(Hadis Riwayat Muslim)

“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak”

(Hadis Riwayat Muslim)

Bila bid’ah bermaharajalela ianya merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Dengan tersebar luasnya perbuatan dan amalan bid’ah di kalangan pemeluk-pemeluk Islam yang jahil, orang ramai akan menyangka amalan bid’ah itu adalah dari agama Allah yang murni. Akibatnya yang murni menjadi kabur dan rosak.

Ada yang berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan penghalang bagi cepatnya perkembangan Islam.

Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tak ubahnya dengan tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk yang kemudiannya dibawa ke pasar untuk ditawarkan kepada orang ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat dan tidak ada aib sedikit pun.

Sedangkan dalam hal ibadah, kita wajib berittiba’(mengikut sepenuhnya tanpa pindaan) kerana itu adalah asas dalam agama. Jadi mereka model-model dan cara-cara baru dalam ibadah adalah bid’ah yang sesat dan terkutuk.

Apabila sesuatu perkara bid’ah itu dihubungkan dengan agama, misalnya minta upah kerana membaca Al Quran ketika menghantarkan mayat dengan maksud bertaqarrub kepada Allah, perkara seperti itu merupakan perbuatan dosa dan maksiat yang berlipat ganda.

Manakala dalam urusan muamalah , dasarnya pula ialah mengikuti perkembangan kemaslahatan umat.

Firman Allah swt :

Lebih kurang ertinya :

“…..dan berbuat baiklah kamu sekelian agar kamu memperolehi kejayaan.”

(Al-Haj ayat 77)

Lebih kurang ertinya :

“...... dan bertolong-tolonglah kamu sekalian untuk kebaikan dan ketakwaan”.

(Al-Maidah ayat 2)

Berbuat baik dan tolong menolong untuk kebaikan dan bertakwa adalah soal-soal yang pelaksanaannya diserahkan penuh kepada kita, sehingga kita bebas membuat cara-cara baru. Cara-cara baru tersebut tidak boleh disalahkan dan ditolak.

Allah swt berfirman :

Maksudnya lebih kurang :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh ingat yang banyak dan bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang”.

(Al Ahzab ayat 41-42)

No comments: