CARI TAJUK UTAMA

Tuesday, April 29, 2008

Doa diterima dalam 3 bentuk

Selalu diperhatikan doa yang dipohon seolah-olah tidak diperkenankan oleh Allah. Adakah itu tanda doa ditolak?. Sebenarnya, doa manusia yang mencukupi syarat diperkenankan oleh Allah dalam tiga bentuk:

Pertama : Diperkenankan doanya ketika di dunia, dengan diberikan apa sahaja hajatnya.

Kedua : Doanya telah diperkenankan, tetapi hajatnya itu disimpan dan akan diberi di hari akhirat.

Ketiga : Doanya telah diperkenankan, tetapi bukan dengan diberikan apa yang diminta, tetapi dengan cara diselamatkan dirinya dari bala bencana.

Daripada Abi Sa'id, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam : "Tidak ada seorang pun muslim yang berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, dengan doa yang tidak berunsurkan maksiat atau memutuskan hubungan darah, melainkan diperkenankan oleh Allah salah satu antara tiga : samada dipercepatkan doanya di dunia, atau disimpan untuknya di hari Akhirat, atau dihindari daripada dirinya satu keburukan seumpamanya".

Apabila para sahabat mendengar ucapan baginda itu, mereka lantas berkata : "Kalau begitu Rasulullah, kita perlu banyakkan berdoa!". Kata baginda : "Demi Allah, banyakkanlah berdoa".(Riwayat Ahmad)

Justeru, manusia selalu tidak menyedari, doanya telah diperkenankan oleh Allah, tetapi dalam bentuk lain. Dia perlu meyakini apa yang ditentukan oleh Allah itulah yang terbaik untuk dirinya di dunia dan akhirat.

Mengerjakan Amalan Soleh Sebelum Berdoa

Melakukan amalan soleh menjadikan seorang hamba itu dekat kepada Allah. Justeru, itulah waktu terbaik untuk dia memohon kepada Allah segala hajat dan keperluannya.Doa perlu didahului dengan memohon ampun kepada Allah. Tidak mungkin doa seseorang itu diterima, di kala dirinya masih bergelumang dengan dosa yang mengundang kebencian dan kemurkaan Allah. Justeru, memohon ampun dan bertaubat adalah ibadah yang besar untuk membuktikan pengabdiannya kepada Allah. Abu Bakar meriwayatkan, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam :

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ [1]

"Tidak ada seorang lelaki pun yang berdosa, kemudian dia bangkit lalu bangkit lalu bersuci dengan mengambil wudhu', kemudiannya mengerjakan solat, seterusnya memohon ampun kepada Allah, melainkan allah mengampun dosa-dosanya".

Setelah itu Rasulullah membacakan ayat:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ[2]

"Dan mereka yang apabila melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka, mereka ingat Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka

Memohon ampun itu snediri juga merupakan satu doa. Ia perlu dipanjatkan kepada Allah setiap saat dan ketika, kerana manusia tidak mungkin lepas dari salah silap. Bukan satu keaiban bagi manusia melakukan kesalahan, tetapi yang mengaibkan, apabila manusia berterusan melakukan dosa dan kesalahan, seterusnya sombong dan bongkak sehingga langsung tidak memohon keampunan daripada Allah sebagai tanda penyesalannya.

Solat mengandungi pelbagai unsur doa, kerana solat itu sendiri bermakna doa. Seorang yang mengerjakan solat, sedang bermunajat dengan Tuhannya. Dia membuat pengiktirafan besar dalam bacaan Fatihahnya. Firman Allah :

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ [3]"

Hanya Engkau yang kami abdikan diri, dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan".

Dia juga membuat pengakuan di dalam doa iftitahnya.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ [4]

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, demi untuk Allah, Tuhan yang menguruskan semesta alam".

Setelah berwudhu' dan mengerjakan solat seseorang itu berada dalam keadaan amat hampir kepada Allah. Justeru, itulah waktu terbaik untuk memohon kepada Allah.`Uthman bin Hunaif menceritakan kisah seorang lelaki buta datang bertemu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Katanya:

ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَنِي قَالَ إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ فَادْعُهْ قَالَ فَأَمَرَهُ أَنْ يَتَوَضَّأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءَهُ وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ

"Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan daku.". Jawab baginda: “Sekiranya kamu nak, saya doakan. Sekiranya kamu nak juga, kamu boleh bersabar. Itu lebih baik bagi kamu.” Ujar lelaki itu lagi:”Doalah untuk saya.”

Sabda `Uthman: Maka baginda mengarahnya berwudu’ lalu memperelokkan wudu’nya dan berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لِيَ اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فِيَّ [5]

"Wahai Tuhanku, aku memohon kepadaMu dan mengadapMu dengan berkat NabiMu Muhammab sallallahu alaihi wasallam, nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad! Aku mengadap kepada Tuhanku dengan berkatmu, agar Allah mengembalikan penglihatan mataku. Berilah syafaat kepadaku. Berilah syafaat kepadaku untuk diriku".

Beliau setelah itu kembali ke rumahnya dalam keadaan penglihatannya sudah pulih seperti biasa.

Ibnu Abbas meriwayatkan, ketika Sayyidina Ali mengadu kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tentang hafazan al-Qurannya yang semakin hilang dari dadanya, baginda mengarahkan Ali agar mengerjakan solat sebanyak empat rakaat pada malam Jumaat selama 3 atau 5 atau 7 kali Jumaat, seterusnya mengucapkan alhamdulillah serta memujinya, berselawat ke atas baginda dan seluruh para Nabi, memohon keampuanan untuk semua orang beriman lelaki dan wanita, dan akhir sekali berdoa kepada Allah.[6] Abdullah bin Abi Aufa radiallahu anhu menceritakan, Rasulullah saw bersabda

: مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ فَلْيُحْسِنْ الْوُضُوءَ ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ:

"Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada manusia, hendaklah dia berwudhu' seterusnya memperelokkan wudhu'nya. Kemudian tunaikanlah solat dua rakaat, seterusnya memuji Allah, berselawat ke atas Nabi Sallallahu alaihi wasallam dan mengucapkan

:لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ [7]

"Tiada Tuhan yang layak diperhambakan diri melainkan Allah, Yang maha bijaksana, lagi maha mulia. Maha suci Allah, Tuhan Arasy yang Hebat. Segala puji bagi Allah, Tuhan (yang menguruskan) semesta alam. Aku memohon kepadaMu pemberian rahmatMu, kepastian keampunanMu, dan pemeliharaan dari segala dosa, perolehan dari segala kebaikan, keselamatan dari segala dosa. Jangan biarkan aku berdosa melainkan Engkau ampunkan. Jangan biarkan aku bersedih melainkan Engkau lepaskan. Jangan biarkan aku berhajat yang Engkau redhai, melainkan Engkau tunaikan, wahai yang sebaik-baik penyayang".

Peperangan Mengikut Perspektif Islam

Ketika ALLAH ingin mencipta makhluk bergelar manusia untuk hidup di atas muka bumi ini, ALLAH terlebih dahulu memaklumkannya kepada para Malaikat. Para Malaikat lantas bertanya hikmat disebalik penciptaan manusia ini. Adakah ALLAH ingin mencipta makhluk yang akan merosakkan muka bumi dan melakukan pertumpahan darah?

Cerita ini dirakamkan oleh ALLAH dalam firmanNya (bermaksud):

Dan ingatlah ketika mana ALLAH berfirman kepada para Malaikat, sesungguhnya Aku akan meletakkan di atas muka bumi ini seorang khalifah (Adam). Malaikat lantas bertanya: Adakah Engkau akan meletakkan di atas muka bumi ini makhluk yang akan merosakkannya dan menumpahkan darah? ALLAH Taala menjawab; Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak ketahui”. [ al Baqarah: 30]

Menurut Ibnu Abbas, persoalan ini ditimbulkan oleh Malaikat kerana makhluk Jin yang dicipta terlebih dahulu daripada manusia dan menghuni alam ini telah melakukan pertumpahan darah dan berbunuh-bunuhan sesama mereka. Justeru, mereka tertanya-tanya adakah makhluk baru bergelar manusia ini sama sifatnya seperti makhluk sebelumnya yang akan memusnahkan alam dan berperang sesama sendiri. ALLAH menjawab, bahawa Dia lebih mengetahui hikmah di sebalik penciptaan makhluk baru ini.

Andaian Malaikat memang tepat. Makhluk bergelar manusia ini juga telah merosakkan alam dan berbunuh-bunuhan sesama mereka. Mereka tidak ubah seperti makhluk jin sebelumnya. Inilah yang telah tercatat dalam tinta sejarah. Peperangan demi peperangan berlaku. Peperangan menjadi alat untuk golongan yang ingin berkuasa meluaskan kekuasaannya. Lahir golongan penjajah yang bernafsu menjajah negeri yang lemah. Mereka sanggup membunuh demi mendapatkan kuasa dan harta.

Sejarah manusia moden memperlihatkan kerakusan manusia menakluk dunia hingga tercetus perang dunia pertama dan kedua. Jepun melancarkan perang terhadap negara-negara di Asia Tenggara. Jerman mengisytiharkan perang di negara-negara Eropah. Berakhir perang dunia kedua, Israel pula menguasai Palestin dengan bantuan penjajah Inggeris. Akhirnya perang tercetus antara umat Islam di negara Arab dan Israel yang dibantu oleh Inggeris dan Amerika.

Perang terus berlaku. Benua India bergolak dengan isu Kasymir. Vietnam diserang oleh Amerika. Korea Utara dan Selatan berbunuh-bunuhan. Mindanao berjuang mendapatkan hak kebebasan. Bumi Kemboja menyaksikan pertumpahan darah. Peperangan berlaku antara Iran dan Iraq. Soviet Union pula menyerang bumi Afghanistan. Kemenangan berpihak pada Islam. Tercetus pula perang saudara di kalangan pejuang. Iraq menyerang Kuwait. Berlakulah perang Teluk. Tentera bersekutu membunuh umat Islam di Iraq. Bosnia diserang oleh Serbia. Umat Islam Kosova pula dibunuh. Sementara umat Islam di Chehya diperangi oleh Rusia.

Seterusnya, ketenangan bumi Afghanistan berakhir apabila diserang oleh tentera bersekutu yang diketuai oleh Amerika tanpa sebab dan alasan yang boleh diterima oleh akal yang waras. Dan terbaru, dunia menyaksikan Amerika yang rakus memerangi Iraq hanya semata-mata untuk menguasai hasil bumi Iraq yang kaya dengan emas hitam. Sedangkan kekejaman Israel dipandang sebelah mata. Tetapi apakah hikmah disebalik apa yang berlaku. Adakah makhluk manusia sama seperti makhluk Jin sebelumnya yang telah berbunuhan sesama mereka? Kalau begitu apa bezanya mereka dengan makhluk Jin?

Bezanya ialah makhluk manusia ini sentiasa dipimpin oleh para Nabi dan dipandu oleh Kitab Ilahi yang akan melahirkan pejuang-pejuang kebenaran yang akan terus berjuang menentang golongan yang fasik dan suka berperang. Apabila ada golongan yang berperang untuk memuaskan nafsu serakah mereka, tentu akan lahir di kala itu golongan yang akan mengangkat senjata memerangi mereka di atas nama kebenaran. Dengan itulah berlaku keseimbangan dalam kehidupan manusia. ALLAH Taala berfirman (bermaksud) :

Orang-orang yang beriman berperang di jalan ALLAH, sementara orang-orang yang kufur berperang di jalan Taghut. Justeru, perangilah pembantu-pembantu Syaitan. Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu amat lemah”. [ an Nisa: 76 ]

Ayat di atas menjelaskan, peperangan di kalangan manusia akan terus berlaku. Selagi manusia dibekalkan nafsu serakah kebinatangan, peperangan akan menjadi alat untuk mereka mendapatkan apa yang mereka ingini. Selagi adanya Syaitan, pasti ada golongan yang akan menjadi juak-juak Syaitan yang akan terus berusaha merosakkan muka bumi ini dan menumpahkan darah di kalangan manusia. Justeru itu, ALLAH menjadikan peperangan sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh orang yang beriman. Mereka tidak ada sebarang pilihan. Samada mereka membiarkan golongan yang jahat terus bermaharajalela membunuh manusia tidak berdosa. Atau mereka bangkit menghunus pedang, mengacu senapang dan meriam dan melepaskan bom dan peluru berpandu demi mempertahankan manusia yang tidak bersalah. Samada mereka berperang di jalan kebenaran, atau bersekongkol dengan golongan pemusnah.

ALLAH berfirman (bermaksud) : “ Maka hendaklah berperang di jalan ALLAH mereka yang sanggup menjual kehidupan dunia dengan (mendapatkan) akhirat. Dan sesiapa yang berperang di jalan ALLAH, lalu dia terbunuh atau menang, pasti Kami kurniakan kepadanya ganjaran pahala yang besar”. [an Nisa: 74]

Oleh kerana pejuang ini sanggup bangkit mempertahankan manusia yang ditindas dan mempertaruhkan nyawanya demi perjuangan suci ini dan bersedia menjual kehidupan dunianya demi kesejahteraan manusia lain, ALLAH kurniakan kepada mereka kehidupan bahagia di alam kedua. Mereka diberikan kehidupan yang tidak seperti kehidupan dunia. Mereka digelar sebagai Syuhada’. ALLAH berfirman (bermaksud) : “ Janganlah kamu menyangka orang yang terkorban di jalan ALLAH itu mati. Malah mereka hidup di sisi Tuhan mereka dikurniakan rezeki”. [ Ali Imran: 169 ]

Tetapi mempertaruhkan nyawa bukan suatu yang mudah. Peperangan bukanlah sesuatu yang disukai. Terdapat banyak rintangan dan halangan. ALLAH Taala berfirman (bermaksud) : “ Difardhukan ke atas kamu berperang, sedangkan ianya dibenci oleh kamu. Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu. ALLAH maha mengetahu sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( al Baqarah, 216 ) ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik untuk manusuia. Yang terbaik untuk mereka ialah bangkit mempertahankan umat manusia yang dizalimi di atas nama perang fi sabilillah demi memerangi golongan yang melancarkan perang di atas nama syaitan.

Tidak semua manusia sanggup menggadaikan kehidupan dunia yang amat menyeronokkan. Mereka yang tidak ditimpa musibah peperangan dan tidak berhadapan dengan kekejaman tentu lebih selesa dengan keadaan hidup mereka yang aman. Untuk apa mereka bangkit menyusahkan diri mereka untuk membantu golongan yang tertindas? Untuk apa mereka mempertaruhkan nyawa mereka untuk orang lain? Mungkin inilah persoalan yang akan menghantui benak manusia yang hanya memikirkan keseronokan hidup dunia. Mereka lebih rela melihat saudara mereka yang lain ditindas dan dibunuh daripada terpaksa kehilangan nikmat yang sedang dinikmati.

Lantaran itu, ALLAH Taala menempelak golongan yang enggan bangkit mempertahankan golongan yang ditindas, yang sentiasa melambaikan tangan mereka memohon bantuan. ALLAH berfirman (bermaksud) :

“ Dan apakah sebab kamu tidak berperang di jalan ALLAH sedangkan golongan yang lemah daripada kalangan lelaki-lelaki, wanita-wanita dan kanak-kanak sentiasa merayu : wahai Tuhan Kami, keluarkanlah kami dari kampung yang penduduknya amat zalim ini. Jadikanlah untuk kami dari sisi Kamu seorang pemimpin. Dan jadikanlah untuk kami dari sisi Kamu seorang pembantu”. [an Nisa: 75 ]

Peperangan bukan bertujuan memerangi manusia yang tidak berdosa, tetapi untuk membunuh dan menghancurkan golongan yang menjadikan perang sebagai alat untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka. Ia bukan bertujuan menimbulkan huru-hara di kalangan manusia, tetapi untuk menjamin keamanan dan menegakkan keadilan manusia. Tanpa peperangan suci ini manusia tidak akan mampu mengecapi ketenangan hidup. Justeru itu, ALLAH mengarahkan umat beriman agar sentiasa membuat persiapan perang untuk menghadapi golongan ini menerusi firmanNya (bermaksud) :

“ Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka sebarang bentuk kekuatan yang terdaya kamu lakukan dan tentera berkuda yang boleh digunakan untuk menakutkan musuh ALLAH dan musuh kamu”. [ al Anfal: 60]

Umat Islam di awal Islam diperangi oleh golongan Quraisy. Ada yang dibunuh. Ada yang disiksa. Meskipun begitu umat Islam tidak diizinkan berperang mempertahankan hak. 13 tahun berlalu. Baginda diperintahkan berhijrah mencari bumi yang subur untuk Islam. Bumi yang boleh memberi perlindungan kepada Islam dan umatnya. Bumi madinah menjadi pilihan. Sebaik tiba ke Madinah, turun ayat pertama mengharuskan jihad demi mempertahankan diri yang telah ditindas sekian lama. ALLAH berfirman (maksudnya) :

“Diizinkan berperang kepada orang yang diperangi kerana mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya ALLAH amat berkuasa membantu mereka. Iaitu mereka yang telah diusir keluar dari negeri tanah tumpah darah mereka tanpa sebab yang sebenar, melainkan kerana mereka menyatakan Tuhan kami adalah ALLAH“. [ al Haj: 39-40 ]

Peperangan ini amat penting untuk mempertahankan agama ALLAH. Kalau tidak kerana perjuangan ini tentu rumah-rumah ibadah akan dihancurkan oleh golongan yang kufur. ALLAH Taala menjelaskan (bermaksud) : “ Kalaulah tidak kerana ALLAH menolak sebahagian manusia menentang sebahagian manusia yang lain, tentu akan dirobohkan gereja-gereja, rumah ibadah, tempat solat dan masjid-masjid yang menjadi tempat menyebut nama ALLAH dengan banyaknya. Dan ALLAH pasti akan membantu orang yang membantu ALLAH. Sesungguhnya ALLAH maha kuat lagi maha perkasa”. [ al Haj: 40]

Paparan di atas menjelaskan kepada kita, peperangan akan terus berlaku selagi nafsu serakah menjadi tunggangan. Justeru itu, perlu lahir golongan yang berhati suci bangkit di atas nama peperangan suci demi mempertahankan golongan yang tertindas dan memerangi golongan yang jahat. Peperangan juga perlu dilancarkan untuk mempertahankan agama Islam yang diperangi oleh manusia kufur dan rumah ALLAH yang dirobohkan oleh tangan-tangan durjana.