ALLAH segala-galanya. ALLAH itu penyelamat, pelindung, pendidik, pemberi hidayah, pemberi rezeki dan kawan setia kita. Kalau kita faham dan hayati itu, akan datang kasih sayang. Cinta kepada selain ALLAH tidak salah tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. Tidak salah cinta kepada isteri, orang tua dan anak, tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. ALLAH mewajibkan kita mencintai- Nya.
Mengapa kita disuruh cinta kepada ALLAH sedangkan ALLAH Maha Sempurna? Apakah ALLAH suruh kita mencintai- Nya untuk meninggikan derajatNya? ALLAH sudah sempurna. Ke-Mahasempurnaan ALLAH kekal dan azali. Tidak berkurang dan tidak bertambah. Cinta kita bukan untuk meninggikanNya. Kalau kita tidak cinta, tidak puji, tidak sembah, atau kita caci maki, ALLAH tidak tergugat dan tidak cacat. Berbeza dengan manusia. Manusia bila dihina dia cacat bila dipuji dia terangkat.
ALLAH yang menjadikan manusia, maka ALLAH tahu apa keperluan manusia lahir dan batin (rohaniah). ALLAH jadikan sebab-sebabnya supaya keperluan itu tercukupi. ALLAH mewajibkan kita cinta kepada ALLAH, di situlah datang rahmat dari ALLAH. Sebab manusia yang cinta kepada ALLAH, akan automatik cinta kepada makhluk ALLAH terutamanya sesama manusia.
Ertinya hamba ALLAH yang mencintai ALLAH nescaya perikemanusiaannya sangat tinggi. Dia pengasih pada orang lain, bertimbang rasa, kasihan, tidak boleh mendengar orang susah, sangat mengutamakan orang, sangat bekerjasama, suka menghibur orang, suka memaafkan dan meminta maaf dan sebagainya. Ini keperluan manusia. ALLAH tidak perlu cinta manusia. Kalau manusia tidak cinta ALLAH maka hilanglah perikemanusiaan seperti terjadi hari ini. Kalau sudah tidak cinta ALLAH, hidup individualistik, bagaimana hendak bekerjasama dengan orang lain? Ini yang terjadi. Bukan diri saja yang susah, masyarakat pun susah karena perikemanusiaan sudah tidak ada. Cinta sesama manusia sudah tidak ada kerana terputus cinta dengan ALLAH.
ALLAH tahu rahsia ini, sebab itu ALLAH suruh cinta kepada- Nya kerana kesannya kepada manusia bukan pada ALLAH. Kesan itulah yang menguntungkan manusia. ALLAH tahu bila cinta kepada ALLAH, terjadilah cinta sesama manusia. Di situlah untungnya manusia karena cinta-mencintai datang kasih sayang, bekerja sama, rasa bersama dan di situlah kebahagiaan.
ALLAH juga memerintahkan manusia untuk takut kepada-Nya. Mengapa demikian? Apakah ALLAH memerlukan takut manusia ini? Maha Suci ALLAH dari memerlukannya.
Bila manusia faham dan menghayati kehebatan, kekuasaaan, kegagahan, dan keadilan ALLAH maka dia akan takut kepada ALLAH. Jika senantiasa merasa diawasi ALLAH, maka dia tidak akan berani melanggar hukum-hukum ALLAH dan peraturan manusia yang tidak bertentangan dengan aturan ALLAH. Di mana pun dan pada bila masapun. Dia tidak akan sanggup menyakiti seluruh makhluk ciptaan ALLAH. Dia tidak akan sanggup berbuat mungkar dan maksiat, baik yang lahir maupun batin, kerana dia tahu keadilan ALLAH dalam membalas setiap perbuatan mungkar dan maksiat.
Friday, May 23, 2008
Mengapa Perlu CInta Kepada Allah
Tuesday, May 13, 2008
Menangis Kerana Allah
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah s.w.t. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut." Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah s.a.w. meraihnya. Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."