CARI TAJUK UTAMA

Tuesday, June 17, 2008

Bidaah atau Bida'ah

Petikan drDr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali

BIDAAH DLM AKIDAH

Banyak sekali noda-noda yang secara lahiriahnya nampat taat kepada Allah tetapi pada hakikatnya melanggar hukum dan norma-norma yang ditetapkan Allah.

Tidakkah telah dimaklumi, betapa orang-orang musyrikin itu bertelanjang bulat waktu tawaf di Baitullah, baik lelaki mahupun perempuan dengan alasan tidak layak di Baitullah berpakaian yang dipakai berbuat maksiat kepada Allah.

Di antara sekian banyak yang terjadi di kalangan orang awam ialah pergi ke kubur orang-orang soleh untuk sesuatu yang tidak patut dipinta kecuali kepada Allah semata-mata.

Perasaan kurang puas dalam berhubungan dengan Allah tanpa wasilah, merupakan adat kebiasaan kaum Watsaniyah, penyembah berhala. Alasan-alasan mereka itu seperti firmannya yang bermaksud :

“Kami tidak menyembah berhala-berhala itu melainkan supaya mereka itu mendekatkan kami kepada Allah.

(Az Zumar : 3)

Alasan ini pula yang dipakai kaum jahiliah moden untuk membela pengunjung kubur untuk minta sembuh dan keberuntungan, serta mencari keluhuran dan pertolongan.

Beraneka macam khurafat mengelilingi masalah wali dan kewalian. Sehingga lama-kelamaan ramai orang-orang yang beranggapan bahawa nasib dunia berada di tangan para wali. Merekalah yang mengendalikan dunia dengan sesuka hatinya.

Orang-orang yang dianggapnya wali itu kekuasaannya dapat melampaui hukum sebab akibat. Akibat dari itu, pandangan kaum muslimin terhadap sunnatullah yang berhubungan dengan alam ini menjadi kacau bilau. Mereka beranggapan bahawa sunnatullah akan tunduk kepada orang yang tekun beribadah.

Yang jelas, anggapan-anggapan itu semua, sudah bercampur aduk berasal dari pengaruh-pengaruh jahiliah.

Berhala adalah batu yang layak dipakai untuk membina bangunan atau untuk membina jalan. Inilah keistimewaannya. Selain dari itu sama sekali tidak ada, tidak seperti yang dianggap oleh penyembah-penyembahnya.

Lembu’ yang dijadikan persembahan oleh orang-orang Hindu, keistimewaannya, adalah susunya yang dapat diminum dan dagingnya untuk dimakan. Selain itu sama sekali tidak ada, baik mengenai kesuciannya atau pun dekatnya kepada Allah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki memakai gelang di lengannya dari tembaga kemudian beliau bertanya, “Celaka kau, apa ini? “Jawab lelaki tersebut, “Ini adalah benda yang lemah”. Kemudian Rasulullah bersabda : “Ingat sesungguhnya dia hanya menambah kelemahanmu. Kerana itu buang dia. Kerana kalau kamu mati sedang dia masih tetap kamu pakai, selamanya kamu tidak akan selamat.”

Kadang-kadang kita jumpai sebahagian orang menggunakan Al Quran sebagai pelindung dirinya dengan beranggapan bahawa Al Quran tersebut dapat melindungi diri dari muflis, kalau dia sebagai pedagang atau dapat menolak tamparan kepala kalau dia sebagai pegawai.

Ini adalah kekacauan fikiran yang sudah sangat parah. Kalau dia masih beranggapan beriman kepada Allah dan meluhurkan Al Quran, sesungguhnya itu adalah anggapan yang salah. Hubungan seorang muslim dengan Al Quran, adalah mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.

Kalau dia sebagai pegawai dan pedagang supaya berjaya dalam usahanya, dia mesti bekerja kuat, tidak malas, jujur dan jangan menyeleweng.

Kekeliruan terhadap prinsip ini tidak dapat ditebus dengan dengan menggantungkan Al Quran kecil atau pun besar.

Firman Allah s.w.t. ertinya lebih kurang:

“Dengan al-Quran itu Allah membimbing orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan”

(Al-Maidah ayat 16)

“Dengan nyamuk Allh sesatkan orang ramai, tetapi dengan sebab itu juga Ia bimbing orang ramai”

(Al-Baqarah ayat 26)

Aishah r.a. pernah berkata, “ Aku belajar ilmu pengubatan kerana banyak penyakit-penyakit Rasulullah s.a.w.”

Ayat-ayat dan hadis di atas menegaskan bahawa Allah membuat sesuatu dengan sebab. Kerana itu barangsiapa berpendapat bahawa Allah membuat sesuatu ketika adanya sebab-sebab ini, bukan dengan sebab-sebab tersebut, sesungguhnya dia telah menyimpang dari garis yang dibawa Al Quran dan menentang adanya tenaga dan daya yang telah di cipta Allah sendiri.

Perasaan Nasionalisma

Kehancuran dan seksaan yang memuncak ke atas umat Islam silam dan masakini kemungkinan besar disebabkan mereka telah membuang risalah Islam yang universal itu menjadi risalah nasional ( kebangsaan ). Ini merupakan pokok seluruh bencana yang menimpa mereka. Dan ini sungguh merupakan bahaya yang sangat besar untuk masa depan umat manusia.

Kepada kaum muslimin, kami ingin mengingatkan hendaklah mereka dapat menyedari dan menilai realiti yang ada :

1. Bahawa mengembalikan manusia kepada situasi jahiliyah dengan fanatik pada tanahair, warna dan darah adalah satu bentuk faham politheis (syirik) yang tidak patut bagi kita.

2. Kembali kepada tatacara ini hanya akan membawa kerugian bagi Islam dan kaum muslimin serta menguntungkan bagi Eropah.

Kaum Salib antarabangsa menghancurkan dan meruntuhkan Islam dengan tabir nasionalisme. Bahayanya tidak kurang daripada perbuatan gerakan Zionis. Akibatnya kaum muslimin menderita dalam masa yang lama sekali.

BIDAAH DALAM IBADAH

Lawan ‘zikir’ adalah ‘lupa’ yang merupakan pekerjaan hati, bukan pekerjaan lidah. Kerana itu kadang-kadang kita jumpai ada sebahagian orang yang mempunyai ingatan yang tajam dan baik yang dapat memenuhi seluruh jiwanya, padahal lidahnya sama sekali tidak bergerak dan tidak satu pun anggota badannya yang berubah. Ketenangan badannya itu menolong untuk selalu ingat. Jika dia tunduk dan tenggelam, jiwanya dengan sempurna dapat membentuk seluruh lukisan yang dimaksud. Gerakan lidah waktu itu hanya sekadar manifestasi, bukan satu natijah dari meluasnya perasaan.

Banyak sekali orang pendiam yang tidak keluar satu pun huruf dari mulutnya, namun hatinya penuh ingat kepada Allah. Sebaliknya, orang yang lidahnya bergerak-gerak menyebut asma Allah, tetapi hatinya kosong dari berzikrullah. Orang seperti itu tak ubahnya seperti pita rakaman Al Quran. Dia akan menyuarakan ayat-ayat sebanyak yang dirakam itu, tetapi tidak mempunyai tanggungjawab hukum sama sekali. Mereka ini tidak mendapat pahala ataupun seksa.

Adalah suatu kebaikan bagi setiap muslim jika mahu membiasakan membawa zikir-zikir tersebut ( tasbih, tahmid dan takbir dan sebagainya) dan menanamkan pengaruh-pengaruh positif ke dalam jiwanya. Tetapi sayang sekali, banyak kita jumpai kekeliruan yang melampaui batas. Sehingga untuk mengulangi-ulangi bacaan zikir tersebut itu, mereka terpaksa berhenti dari bekerja.

Kalau ada sebahagian orang membuat program membaca Al Quran, berdoa dan berzikir sesuai dengan keperluannya, itu tidak dapat dikategorikan sebagai ketentuan agama. Orang lain juga tidak boleh diharuskan untuk menirunya.

Sehingga banyak pengikut tarikat membuat wirid-wirid khusus untuk pagi dan petang, yang dirangkaikan pula dengan solat-solat tertentu sebagai satu ketentuan agama.

Kami sudah banyak menyaksikan orang yang bergelumang dalam wirid-wirid. Pada umumnya mereka itu mengabaikan dunia ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dan kami yakin pula bahawa kemunduran Islam dalam lapangan pengeluaran atau pun kekayaan, disebabkan oleh manusia-manusia seperti ini. Sebabnya tidak lain mereka itu telah sesat dari tuntutan Rasulullah s.a.w., sehingga mereka menyimpang dari jalan yang lurus.

Allah swt berfirman :

Artinya :

“Orang yang bertakwa kepada Allah dari hamba-hambanya ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan”.

(Fathir : 28)

Memperluaskan perkenalan kepada Allah merupakan Ibadah yang tertinggi. Dan mengenal Allah dalam kerajaannya yang luas ini, bererti menyambut seruan Allah yang dituangkan dalam kitab-kitabNya. Kesimpulan-kesimpulan yang dihasilkan oleh ilmu pengetahuan alam tidak lain hanya akan sesuai dengan wahyu yang datang dari sisi hukum material. Kedua-duanya itu juga datangnya dari Allah semata-mata.

Mempersempitkan pengertian “amal soleh” hanya dalam bidang ibadah semata-mata, dapat membawa orang-orang yang ingin bertakwa menghabiskan seluruh waktunya hanya untuk mengulang-ulang perbuatan-perbuatan yang terbatas ini. Seolah-olah mereka tidak kenal cara lain untuk mencari keredhaan Allah.

Dengan tekun mereka mengerjakan amal-amal ini. Kalau sudah selesai diulang lagi. Begitulah seterusnya.

Apa yang kami tentang adalah adanya perasaan bahawa yang disebut taat kepada Allah itu hanya bergelumang dengan zikir, membaca al-Quran dan solat dengan mengulang-ulang sahaja.

Apakah anda mengira bahawa seorang hakim yang sibuk menyelesaikan persengketaan dan bangun malam untuk mempersiapkan hukumnya, itu kurang mendapat keredaan Allah dibandingkan dengan orang yang tekun membaca Al Quran?

Apakah anda menduga, bahawa guru yang berjuang untuk membenteras kejahilan, dengan bangun malam untuk mempersiapkan pelajaran-pelajaran, itu nilainya lebih rendah dibandingkan dengan orang yang bergelumang dalam zikir?. Tidak, bahkan kedua-duanya lebih dekat kepada Allah dan lebih dekat dengan jalan yang benar.

Kerana itulah orang yang tidur lelap pada malam hari kerana kepenatan membanting tulang di siang hari dinilai sebagai mujtahid. Dia dapat tidur dan bangun dengan mata Allah, selama kesucian hatinya itu hidup.

Kekeliruan memahami erti ibadah, akan memesongkan kemajuan dan kebudayaan kita dari jalan yang benar dan menyebabkan kita menganggap orang yang bodoh sebagai pandai dan sebaliknya. Dan inilah sebab kehancuran yang kini menimpa bangsa kita.

Akhir-akhir ini saya melihat ada sebahagian pemuda yang fanatik kepada agama. Mereka hendak meniru-niru cara-cara yang tidak benar itu. Dia beranggapan bahawa perwujudan keikhlasan kepada Allah dapat dicapai dengan bergaul dengan salah satu jamaah dari jamaah Islam, memberi nasihat dan petua, serta membaca bacaan-bacaan yang panjang dalam kitab-kitab tafsir dan fiqih. Kadang-kadang sesudah itu dia menjadi doktor yang tidak berfungsi dan jurutera yang tidak bersemangat.

Saya sangat hairan, apa yang menyebabkan doktor tersebut harus mengesampingkan fungsinya yang mulia itu? Mengapa dia tidak tahu, bahawa pembedahan yang baik dan ubat yang sesuai itu termasuk puncak amal soleh yang oleh Islam dinilai sebagai satu sendi kejayaan dan jalan untuk mencapai kejayaan? Dan nilai perbuatan ini tidak kurang daripada nilai solat dan zakat.

Menguasai dunia adalah satu hal yang mesti, dalam rangka pengabdian kepada agama. Tidak ada tempat di dunia ini bagi orang yang tidak mengetahui ilmu pengetahuan duniawi.

Kerana itu, Imam Abu Hanifah pernah berkata, “Jangan kamu bertukar fikiran dengan orang yang di rumahnya tidak ada tepung”.

Perkataan ini sungguh berharga sekali. Kalau sekiranya ahli-ahli tasawuf dapat memahami cara-cara seperti tersebut di atas, dia termasuk Islam. Kalau tidak bererti dia telah rosak.

Bukanlah yang dimaksud takwa itu mesti meninggalkan kehidupan duniawi. Yang dinamakan takwa itu seharusnya dapat menguasai duniawi. Jika dunia dapat dikuasai, bererti anda benar-benar hamba Allah dan kekayaan yang di tangan anda itu juga milik Allah.

Orang yang lari dari kehidupan duniawi bukanlah orang yang bijaksana dan bukan mukmin sejati.

Termasuk kurang sihat akalnya orang yang berpendirian bahawa keredaan Allah hanya dapat ditempuh dengan mengkhususkan dalam sebahagian ibadah dan menjauhi sebahagian yang lain.

Beribadah kepada Allah dapat dilakukan di pasar dan di semua lapangan, bukan hanya di masjid dan di surau-surau.

Alangkah indahnya apa yang diungkapkan oleh penyair Iqbal :

Orang kafir akan menjadi hamba kepada dunia Sedangkan dunia akan menjadi hamba kepada orang mukmin

Saya sendiri tidak tahu, bagaimana suatu risalah dapat berjaya sedangkan pembawaannya selalu terkebelakang dari umat lain dalam lapangan penghidupan. Dan saya pun tidak tahu, mengapa dapat begitu tersiar bahawa membawa tasbih itu bererti ibadah, sedangkan menghayunkan kapak bererti hanya kerja peribadi sahaja.

Masjid bukanlah tempat untuk memperkenalkan keindahan seni, tidak pula untuk mempamerkan keelokan teknik dan bukan tempat untuk berbuat berlebihan dan bermegah-megah.

MENGHIAS MASJID

Menurut sunnah Nabi, atap mahupun lantai masjid itu menggambarkan bentuk kesederhanaan. Memperluas masjid tidak juga dilarang, bahkan suatu perbuatan yang baik sehingga dapat menampung beribu-ribu jemaah. Memperbesarkannya sehingga dapat menyerupai benteng juga tidak dilarang. Perbuatan semacam ini tidak termasuk berlebih-lebihan dalam memperelok masjid dan menakjubkan pandangan orang.

Tetapi sebahagian orang ada yang cenderung memperhias dan memperelok bangunan masjid, kerana didorong menyaingi gereja-gereja Kristian yang memang sengaja dibuat secara berlebih-lebihan. Kami memandang, berjalan mengikuti jiwa Islam adalah lebih baik. Sebabnya bertakwa kepada Allah bukanlah pembebanan seperti tersebut di atas.

Bid’ah dalam urusan jenazah

Saya sudah sering menyaksikan beberapa orang miskin yang kekurangan makan, tetapi dia berani berhutang untuk menghidupkan tradisi-tradisi yang menyimpang sebagai ketentuan agama atau lebih dari agama.

Diupah pembaca-pembaca al-Quran untuk satu atau dua malam, dilanjutkan seminggu atau dua minggu.

Pengorbanan berupa moral mahupun material ini diulang pada hari ke 40 , satu tahun, dua tahun dan seterusnya.

Tradisi-tradisi ini sama sekali tidak dapat diterima oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman yang baik terhadap dunia ini, apalagi oleh orang-orang yang mempunyai pemahaman yang baik terhadap agama.

Berapa banyak tempat berhimpun yang harus kita sediakan untuk para tetamu yang ke kubur? Berapa banyak perayaan untuk minggu pertama, hari ke empat puluh dan ulang tahunnya yang pertama.

Tidak diragukan lagi, bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang Islam seperti ini menunjukkan kebodohannya.

Tetapi sayangnya ramai dari kalangan orang awam, termasuk juga ulama-ulama, yang mempertahankan kebodohan ini dalam bentuk-bentuk keagamaan yang mengaburkan.

Padahal Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

“Barangsiapa membaca inna lillahi wainna ilaihi raji’un ketika ditimpa musibah, Allah akan menghilangkan musibahnya itu dan memperbaiki keadaan selanjutnya serta memberikan ganti yang diredaiNya”.

Setiap muslim lelaki atau perempuan tidak boleh memakai pakaian khusus untuk berkabung atau membuat membuat tanda-tanda pada badannya, keadaannya, rumahnya dan pekerjaannya. Sebabnya pemergian seseorang ke akhirat, tidak bererti mencetuskan suasana krisis dan duka dalam percaturan hidup ini.

Persoalannya cukup seperti apa yang dikatakan oleh seorang ahli hikmah, “Di mana ada orang mati, di situ ada juga yang hidup”.

Tidak ada tempat dalam Islam untuk berteriak-teriak untuk mengiringi jenazah. Mengeraskan suara walaupun dengan membaca Al Quran tetap tidak boleh.

Semua ini bertentangan dengan apa yang terjadi terhadap jenazah orang-orang salaf. Mereka melakukannya dengan penuh khusyuk sehingga keluarga yang ditinggal mati itu tidak diketahui mereka diliputi kesusahan dan kesedihan walaupun oleh orang-orang yang menghantar jenazah. Sedikit pun mereka tidak termenung dan cemas ketika mengingat pada mayat itu. Mereka bergantung kepadaNya, sebab mereka juga datang dariNya.

Takziah (Belasungkawa) yang digariskan Islam cukup mudah. Tidak perlu orang yang kesusahan itu menyediakan sesuatu dan mempersiapkan tempat khusus untuk para tetamu yang datang untuk bertakziah.

Kini prinsip-prinsip akhlak itu telah goncang. Sudah menjadi kebiasaan, bahawa orang yang kesusahan, mesti pula menyediakan tempat khusus untuk bertakziah dan menghidangkan makanan-makanan dan minuman-minuman kepada para tetamunya. Padahal menurut Sunnah Nabi, keluarga yang kesusahan itu harus dibantu, misalnya dengan menyiapkan makanan untuk keluarganya. Bukan sebaliknya yang ditimpa kesusahan pula mesti menyediakan makanan dan minuman.

Sedangkan Imam Ahmad berkata, “Cara semacam ini adalah cara-cara jahiliah”. Kerana itu dia sangat membencinya.

Dengan kefahaman yang tersasar bahawa si mayat memperoleh faedah daripada perbuatan orang hidup, ramai orang awam yang mengupah pembaca Al Quran untuk membacakan Al Quran kepada si mayat atau dengan membahagi-bahagikan makanan kepada orang yang menziarahi jenazah.

Bid’ah dalam majlis perkahwinan

Kebanyakan majlis perkahwinan dilakukan dengan berlebih-lebihan dan memaksakan diri. Jarang sekali mereka yang mengadakan pesta perkahwinan itu dengan sederhana sahaja. Di antaranya mereka berlebih-lebihan dalam perkara yang hanya berstatus harus (mubah) sahaja. Mereka perluas ruangnya dan sehingga berlebih-lebihan, melebihi cara yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain.

Perempuan-perempuan agama lain cukup berpakaian sederhana tapi kemas, sedangkan perempuan muslimah tidak mahu kalau tidak memakai kain yang termahal.

Seharusnya umat Islam mempermudahkan amalan tradisi yang menyebabkan pesta-pesta perkahwinan mereka itu hanya penuh dengan nafsu makan, riya’ dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia dan tidak bererti itu.

Walimatul urus (pesta perkahwinan) merupakan satu tradisi yang baik dan perlu pengorbanan dan keringanan. Tetapi di sebalik tradisi yang baik itu, Islam tidak merestui adanya berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam makanan.

Isteri dan anak-anak Nabi s.a.w. kahwin , dengan suatu majlis yang tidak memberat-beratkan diri dan tidak berhutang. Kemudian lihatlah apa yang dilakukan oleh kaum muslimin dalam merayakan perkahwinan mereka. Berapa banyak belanja yang disediakan untuk membuat walimah sehingga tidak habis dimakan oleh yang lapar dan papa.

BID’AH DALAM AGAMA

Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan demi kemaslahatan diri dan golongan jelas menunjukkan kejahilan mereka sendiri.

Mereka yang menambah-nambah dalam urusan agama ini adalah tukang-tukang bid’ah. Tukang-tukang bid’ah ini kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat.

Imam Malik Bin Anas berkata, “Barangsiapa menganggap baik perbuatan bid’ah, sama dengan menuduh Nabi Muhammad telah mengkhianati risalahnya”.

Imam Syafi’ berkata : Andaikata aku mengetahui ahli Bidaah itu dapat berjalan di angkasa, aku tetap tidak akan menerimanya.

Amar Bin Yahya pernah berkata, “Aku pernah mendengar ayah menceritakan dari datuk , “Kami pernah duduk di pintu rumah Abdullah Bin Mas’ud sebelum solat subuh. Tiba-tiba Abu Musa datang, lantas bertanya : Apakah tadi Abu Abdul Rahman datang?. Kami menjawab : Tidak. Lantas ia duduk bersama kami, sampai beliau datang. Dan tatkala ia datang, kami semua berdiri mendampinginya. Kemudian Abu Musa bertanya kepada Abu Abdul Rahman, “Hai Abu Abdul Rahman sesungguhnya saya tadi melihat di masjid ada satu perkara yang belum pernah saya lihat. Menurut anggapanku, perbuatan itu adalah baik”. Abu Abdul Rahman kemudian bertanya, “Apakah dia itu?” Jawab Abu Musa “Jika kau mahu, akan saya terangkan. Iaitu tadi aku melihat di masjid ada satu kumpulan duduk dalam bulatan sambil menantikan solat, dalam tiap-tiap bulatan ada seorang lelaki membawa batu kerikil, seraya ia berkata: Bacalah takbir seratus kali, merekapun kemudian bertakbir 100 kali. Dan ia berkata : Bacalah Lailahaillallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga. Lalu ia berkata : Bacalah Subhanallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga”.

Mereka kemudian berkata, “Demi Allah kami tiada bemaksud melainkan yang benar”.

Abu Abdul Rahman kemudian menyanggahnya, “Banyak sekali orang yang bermaksud berbuat baik, tetapi mereka tidak mendapatnya”

Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah yang direka orang yang menyerupai syarak (agama); yang dimaksud dengan ‘cara’ di sini ialah sebagaimana yang dilakukan oleh syarak dengan tujuan untuk mengabdi kepada Allah dengan berlebih-lebihan.

Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah), dapat dicop sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk dilihatkan kepada orang lain sebagai sesuatu yang benar (haq) . Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi pada hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama.

Sabda Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa mengada-ada cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak”.

(Hadis Riwayat Muslim)

“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak”

(Hadis Riwayat Muslim)

Bila bid’ah bermaharajalela ianya merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Dengan tersebar luasnya perbuatan dan amalan bid’ah di kalangan pemeluk-pemeluk Islam yang jahil, orang ramai akan menyangka amalan bid’ah itu adalah dari agama Allah yang murni. Akibatnya yang murni menjadi kabur dan rosak.

Ada yang berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan penghalang bagi cepatnya perkembangan Islam.

Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tak ubahnya dengan tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk yang kemudiannya dibawa ke pasar untuk ditawarkan kepada orang ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat dan tidak ada aib sedikit pun.

Sedangkan dalam hal ibadah, kita wajib berittiba’(mengikut sepenuhnya tanpa pindaan) kerana itu adalah asas dalam agama. Jadi mereka model-model dan cara-cara baru dalam ibadah adalah bid’ah yang sesat dan terkutuk.

Apabila sesuatu perkara bid’ah itu dihubungkan dengan agama, misalnya minta upah kerana membaca Al Quran ketika menghantarkan mayat dengan maksud bertaqarrub kepada Allah, perkara seperti itu merupakan perbuatan dosa dan maksiat yang berlipat ganda.

Manakala dalam urusan muamalah , dasarnya pula ialah mengikuti perkembangan kemaslahatan umat.

Firman Allah swt :

Lebih kurang ertinya :

“…..dan berbuat baiklah kamu sekelian agar kamu memperolehi kejayaan.”

(Al-Haj ayat 77)

Lebih kurang ertinya :

“...... dan bertolong-tolonglah kamu sekalian untuk kebaikan dan ketakwaan”.

(Al-Maidah ayat 2)

Berbuat baik dan tolong menolong untuk kebaikan dan bertakwa adalah soal-soal yang pelaksanaannya diserahkan penuh kepada kita, sehingga kita bebas membuat cara-cara baru. Cara-cara baru tersebut tidak boleh disalahkan dan ditolak.

Allah swt berfirman :

Maksudnya lebih kurang :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh ingat yang banyak dan bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang”.

(Al Ahzab ayat 41-42)

Wednesday, June 11, 2008

Ekonomi Umat Islam Sekarang

Ekonomi adalah suatu aspek yang penting dalam menjana sesuatu bangsa atau negara.Jika dipandang dari perspektif Islam sendiri,ekonomi adalah salah suatu perkara yang amat penting dan ia boleh datang dari pelbagai sumber.Akan tetapi,umat Islam pada zaman sekarang ini amat lemah sekali dari sudut ekonominya.Ini berlaku kerana umat Islam sendiri tidak mengambil berat tentang hal ini.

Jika diimbas kembali ekonomi umat Islam pada zaman kegemilangannya,ekonomi ketika itu adalah amat kukuh dan teguh.Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w dan Khulafa' Ar-Rashideen,ekonomi pada zaman itu adalah amat kukuh sehinggakan wang perbendaharaan negara iaitu Baitulmal adalah amat banyak sehingga dikatakan wang Baitulmal itu boleh menampung dan menyara setiap rakyatnya.Sumber kewangan Baitulmal adalah daripada kutipan Zakat dan Jizyah(wang yang dibayar oleh orang kafir kepada kerajaan Islam kerana tinggal didalam negara Islam dan mendapat perlindungan daripada kerajaan Islam).

Ini berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang.Walaupun Malaysia tidak mengamalkan sistem pemerintahan Islam dan menggunakan sistem sekular,tetapi rata-rata pemimpin adalah dikalangan orang Islam sendiri.Rakyat dibebani dengan berbagai-bagai jenis cukai contohnya cukai pintu,cukai tanah,cukai jalan dan bermacam-macam lagi bahkan hendak menggunakan tandas awam pun dikehendaki membayar RM0.20 sen.Ini ditambah dengan wujudnya barang yang dikenakan cukai yang melampau contohnya kenderaan import,dikenakan cukai sehingga 200%.Selain itu,sedar atau tidak setiap barang-barang keperluan harian kegunaan rakyat dikenakan cukai sebanyak 5%.Rakyat dibebani dengan pelbagai cukai, tetapi kebajikan mereka tetap tidak terbela.

Itu tidak termasuk lagi angkara orang kafir yang tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan Islam dan salah satu cara mereka adalah dengan menyerang umat Islam dari sudut ekonomi.Sebelum Malaysia diserang kegawatan ekonomi,AS$1 hampir bersamaan dengan RM1.20,tetapi selepas ekonomi Malaysia diserang oleh George Soros(seorang spekulator matawang berbangsa Yahudi),paras ringgit menjunam sehingga AS$1 bersamaan dengan RM4.80.Ini menyebabkan kejatuhan ekomomi Malaysia sehingga menimbulkan kemelesetan ekonomi.Beribu-ribu pekerja terpaksa diberhentikan oleh sebab tersebut.Semua itu adalah angkara orang kafir yang irihati dengan Islam dan cuba menjatuhkannya,dan salah satu daripada cara mereka ialah dengan menyerang ekonomi umat Islam.

Jika dipandang dari sudut global pula,umat Islam telah lama diserang ekonominya oleh orang kafir.Pada tahun 2003,Amerika Syarikat telah menyerang Iraq atas alasan ia adalah negara pengganas.Akan tetapi bak kata pepatah: ada udang disebalik batu, tujuan Amerika Syarikat adalah untuk mendapatkan sesuatu yang amat bernilai di Iraq iaitu simpanan minyak mentahnya.’NEGARA PENGGANAS’ itu cuma propaganda Amerika Syarikat untuk menghalalkan perbuatannya menyerang Iraq.Tujuannya cuma satu,iaitu untuk mendapatkan minyak yang merupakan alat untuk mengawal ekonomi dunia.Akhirnya selepas mendapat apa yang mereka hajati,kesan daripadanya dapat sendiri kita yang berada di Malaysia ini rasakan iaitu dengan peningkatan harga bahan api tersebut.

Berlainan pula dengan apa yang berlaku di Palestin pada tahun 2006,selepas umat Islam di Palestin mendapat hak ke atas negara mereka sendiri dengan diterajui oleh Hamas. Amerika Syarikat bersama sekutu-sekutunya iaitu Israel dan Kesatuan Eropah mula mengadakan sekatan ekonomi ke atas mereka.Barang-barang keluaran Palestin tidak dapat dieksport sehingga tersadai di pelabuhan.Akhirnya barang-barang tersebut terpaksa dijual dengan harga dibawah paras kos pengeluarannya.Ini menyebebkan perkembangan ekonomi Palestin terbantut sedangkan pada masa itu Palestin merupakan sebuah negara Islam yang baru dibentuk dan baru hendak berkembang.

Inilah diantara contoh serangan dan sekatan orang-orang kafir terhadap ekonomi umat Islam.Umat Islam adalah seperti barang mainan mereka,boleh diperlakukan dengan sesuka hati sahaja. Wajarlah untuk kita merenung sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi “Umatku di akhir zaman adalah umpama buih dilautan namun kalian dijangkiti sifat al-wahnu(cintakan dunia, takutkan mati)" ,seperti buih yang apabila datang ombak berkecailah ia, begitu jugalah umat Islam. Umat Islam berpecah belah serta mudah dipermainkan oleh musuh Islam. Oleh itu,marilah kita sama-sama merenung keadaan umat Islam dan juga ekonomi umat Islam khususnya.

Mengenali Mazhab Syafie

Antara perkara yang menyebabkan mudahnya virus "Wahabi", "allamazhabi", neo-salafi dan seribu satu lagi penyakit yang menjalar di kalangan masyarakat adalah kurangnya ilmu agama dari asas, menyebabkan sesetengah golongan yang ingin kembali mendekati Islam mudah terpedaya dengan deretan hadis dan kalam ulamak yang dieksploitasi oleh pembawa virus ini.

Ilmu asas yang kurang difahami tersebut, ada yang menyentuh aqidah dan ada yang berkenaan feqh. Apabila ramai yang kurang mantap dalam ilmu aqidah, maka timbullah cemuhan kepada sifat 20 yang mereka tidak fahami, lalu berpegang dengan aqidah salaf kononnya dengan intepretasi sendiri, sedangkan ia jauh dari fahaman salaf mahupun khalaf. Tidak memahami asas feqh pula menyebabkan tiada kefahaman kepada mazhab dan kepentingan mazhab, lantas mencemuh pendapat-pendapat para ulamak mazhab yang terdahulu, dengan sangkaan kononnya pendapat kita lebih tepat kepada hadis berbanding pendapat para ulamak tersebut.

Kecelaruan dalam memahami apakah dia Mazhab Syafie dan bagaimana ia berkembang, menyebabkan ada pihak mencemuh masyarakat Malaysia yang berpegang kepada beberapa amalan yang mereka tidak jumpa di dalam kitab induk Al-Umm, lantas memperlekehkan amalan tersebut yang disandarkan kepada pengikut Mazhab Syafie. Oleh itu ana rasakan sewajarnya ana menyebutkan serba sedikit pengenalan ringkas kepada Mazhab yang menjadi panduan kepada masyarakat kita amnya.

Imam Syafie Pengasas Mazhab


Beliau adalah Muhammad bin Idris Assyafie Almuttalibi. Nasabnya bertemu dengan nasab Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pada moyangnya Abdu Manaf. Dilahirkan di Ghaza, Palestin, beliau dibawa kembali ke perkampungan keluarganya di Makkah. Sejak kecil beliau dihantar mempelajari ilmu bahasa Arab dan sasteranya dari qailah-qabilah arab. Seterusnya mempelajari ilmu agama dari ulamak Makkah seperti syaikh beliau Al-Imam Khalid bin Muslim Azzanjy. Al-Fudhail bin 'Iyadh, Sufyan bin Uyaynah dan lainnya.

Beliau seterusnya meneruskan safar mencari ilmu di Madinah, dan belajar dengan Imam Malik sehingga menjadi pelajar terbaiknya. Kitab Al-Muwatta' Imam Malik telah dihafalnya dalam tempoh tidak lebih dari 9 hari. Beliau telah belajar dari para ulamak Makkah dan Madinah dengan baik sehingga dalam usianya 18 tahun, beliau sudah layak memberi fatwa. Pakar Bahasa Arab seperti Al-Asma'i juga banyak mengambil manfaat darinya.

Beliau seterusnya pergi ke Iraq dan mengambil faedah dari Imam Muhammad bin Al-Hasan Assyaibani murid Imam Abu Hanifah. Di sana beliau mengarang kitabnya Al-Hujjah, dan mengumpulan padanya mazhabnya yang lama (qadim). Di Iraq juga, beberapa Imam besar telah belajar dari beliau, seprti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abi Tsaur.

Setelah itu beliau telah berpindah ke Mesir. Di sana, beliau telah mengubah pelbagai ijtihadnya dan memasyhurkan pendapatnya yang baru (mazhab/qaul jadid). Beliau juga telah menulis kitab agungnya Al-Umm dan kitab Usul Feqh pertama dalam sejarah Islam berjudul Ar-Risalah.

Imam Syafie diangkat sebagai Mujaddid kurun ke-2. Beliau telah menghimpukan ilmu antara ahli Hadis serta ahli ra'yi, menggariskan kaeda-kaedah ilmu usul feqh, selain dari ilmunya yang meluas dalam hadis, riwayat-riwayatnya, ahli-ahlinya, qur'an dan ulumnya, sejarah, syiir dan sastera, ilmu bahasa, serta wara' , taqwa lagi zuhud pada dunia. Beliau telah wafat di Kaherah pada tahun 204H.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyebut: "Imam Syafie seperti matahari bagi dunia dan penyembuh bagi badan" dan "Feqh itu terkunci pada ahli-ahlinya sehingga Allah membukanya dengan Assyafie".

Imam Abu Zur'ah pula ada menyebut: Aku tidak mengetahui seseorang yang lebih agung sumbangannya pada ahli Islam daripada As-Syafie.

Para Imam Mazhab

Antara murid yang terpenting dalam Mazhab Qadim Imam Syafie adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur, Azza'farani dan Alkarabisi.

Manakala anak-anak murid yang mengambil daripadanya Mazhab Jadid beliau antaranya: Al-Muzani, Al-Buwaiti, Arrabi' Almuradi yang digelar oleh syaikhnya Imam Syafie, sebagai Rawiyatul Mazhab atau perawi mazhab. Mereka ini kesemuanya meninggal dunia pada kurun ketiga hijrah.

Selepas itu menyusul pula generasi-generasi dan lapisan ulamak yang banyak. Antara yang tersohor bagi setiap kurun adalah; Imam Ibn Suraij dan Alqaffal Alkabir pada kurun keempat, kemudian Almawardi, Abu Ishaq Assyirazi, Abu Muhammad Aljuwaini, serta anaknya Imamul Haramain dan Al-Baihaqi pada kurun kelima.

Seterusnya Imam Ghazali Hujjatul Islam, Assyasyi dan Albaghawi pada kurun keenam, kemudian Annawawi dan Arrafi'i (digelar sebagai Syaikhal Mazhab, atau dua Syaikh bagi mazhab ini), serta Ibn Daqiqul 'Aid pada kurun ketujuh.

Selepas itu Attaqi Assubki serta anaknya Attaj, Ibn Jama'ah dan Alhisni pada kurun kelapan, kemudian Alhafiz Ibn Hajar Al-asqalani dan Ibnul Muqri' pada kurun kesembilan. Seterusnya Assakhawi, Assyihab Arramli serta anaknya Assyams, Ibn Hajar Alhaitami, Assuyuthi dan Syaikhul Islam Zakaria Al-ansari pada kurun kesepuluh. Seterusnya Assyarbini, Alqalyubi, Albaijuri, Ibn Qasim, Assyabramallisi, Alkurdi, Assaqqaf, Syato, Almalibari, Bafadhl, Almasyhur, Aljardani, Albujairimi, Ba'Isyn dan ramai lagi para fuqaha' kurun-kurun yang terkemudian.

Para ulamak mazhab ini terlalu ramai untuk disebutkan. Cukuplah bagi kita kitab Al-imam Assubky, Tobaqat Syafi'iyyah Alkubra, setebal 9 jilid, yang menerangkan betapa ramai ulamak mazhab ini, serta khidmat mereka yang sempurna bagi mazhab ini, sehingga ia menjadi satu kelebihan Mazhab Syafie berbanding mazhab lain. Mazhab Syafie juga dipegang oleh para Imam dari pelbagai cabang ilmu Islam.

Di kalangan ulamak Usul Feqh (Usuliyyin), antaranya Al-Juwaini (penulis kitab Al-Burhan) dan Al-Ghazali (Al-Mustasfa).

Di kalangan ulamak hadis (huffaz), antaranya Albaihaqi (sunan), Attaqi Assubki, Ibn Hajar Al-asqalani (Fathul Bari), dan Ibn Katsir (Jami' Sunan Wazzawaid).

Di kalangan ulamak sejarah (muarrikhin), antaranya Ibn 'Asakir (Tarikh Dimasyq), Azzahabi (Siyar A'lam Annubala' ) dan Assofadi (Al-Wafi).

Di kalangan ahli kalam (mutakallimin), antaranya Alfakhrur Razi (Al-Mutolabatul 'Aliyah Fil 'Ilmil Ilahi).

Di kalangan ahli tafsir (mufassirin), antaranya Almawardi (tafsir), Alkhazin (Ma'alimut Tanzil) dan Al-Baghawi.

Di kalangan ahli bacaan Al-Quran (Qurra' ), antaranya Ibnul Jazari (Annasyr).

Di kalangan ahli bahasa Arab (Lughawiyyin), antaranya Alfairuz abadi (Alqamus).

Di kalangan ahli arifin, antaranya Alqusyairi (Risalah Alqusyairiah).

Selain itu banyak lagi pakar nahu dan sastera Arab serta cabang-cabang ilmu Islam yang lain.

Sejarah Ringkas Mazhab Syafie

Sejarah mazhab ini kita boleh simpulkan dalam empat peringkat.


Peringkat Pertama:
Pengasasan (Atta'sis) : Ia berakhir dengan wafatnya Al-Imam Assyafie Radhiyallahu 'Anhu, dan meninggalkan kepada kita kitabnya Al-Umm.

Peringkat Kedua:
Menyalin dan Memindahkan (Annaql) : Dilaksanakan oleh para penuntut Imam Syafie dan ashabnya dengan menyebarkan mazhab ini. Antara kitab termasyhur mereka adalah Mukhtasar Al-imam Almuzani.

Peringkat Ketiga: Penyelesaian dan Perungkaian (Attahrir) : Dengan usaha "Dua Syaikh Mazhab" (Syaikhai Mazhab), iaitu Imam Annawawi dan Imam Arrafi'i. Kitab terpenting peringkat ini adalah Alminhaj oleh Imam Annawawi dan Almuharrar oleh Imam Arrafi'i. Selain itu, kitab Al-Majmu' Syarhu Muhazzab Assyirazi oleh Imam Annawawi dan Fathul Aziz bisyarhi Wajiz Alghazali oleh Imam Arrafi'i. Kedua-dua mereka dan ulamak lain pada peringkat ini telah menyelasaikan masalah-masalah feqhiah dalam mazhab ini, dalil-dalilnya dan pentarjihan antara riwayat-riwayat serta pendapat-pendapat yang ada dalam mazhab.

Peringkat Keempat:
Penetapan (Al-istiqrar) : Jelas kelihatan dengan usaha dua orang faqih yang hebat, Ibn Hajar Alhaitami pada kitabnya Tuhaftul Muhtaj bisyarhi Minhaj, dan Assyams Arramli pada kitabnya Nihayatul Muhtaj fi syarhil Minhaj. Kedua-dua mereka telah menyelesaikan apa yang tidak disebutkan oleh Syaikhan dari sudut pendapat-pendapat dan riwayat-riwayat mazhab. Mereka juga telah menyebutkan berdasarkan kepada manhaj mazhab, baki masalah furu' (cabang) dan pelbagai masalah dalam pelagai bab feqh.


Oleh kerana Mazhab ini telah ditahqiq oleh Annawawi dan Arrifa'i, dan ditetapkan pula permasalahan-permasalahan lain oleh Ibn Hajar dan Arramli, maka para ulamak yang terkemudian telah bersetuju untuk memberi fatwa berdasarkan kepada kitab-kitab mereka ini.

Masalah yang telah disepakati padanya oleh kedua-dua Syaikh, Annawawi, dan Arrafi'i merupakan hukum yang dipegang (mu'tamad). Jika mereka berbeza pendapat, maka diutamakan pendapat Annawawi, akan tetapi harus berfatwa dengan mana-mana pendapat dari keduanya.

Apa yang disepakati pula oleh Ibn Hajar dan Arramli dalam permasalah yang tidak diperbahaskan sebelumnya, maka ia juga merupakan hukum yang dipegang. Jika mereka berbeza pendapat pula, maka ulamak Hijaz dan Hadhramaut mengutamakan Ibn Hajar, manakala ulamak Syam dan Mesir mengutamakan Arramli.

Adapun lain-lain penyusun kitab feqh Syafie yang banyak seperti Al-Halabi, Bamakhzumah, Assyabramallisi, Ibn Qasim, 'Umairah, Almahalli, Ba'isyn, dan lainnya, maka dibolehkan beramal dan berfatwa dengan setiap daripadanya, melainkan yang disepakati bahawa ia merupakan satu kesalahan, keterlupaan atau lemah.

Kitab-kitab Penting

Kitab-kitab penting yang diajar di majlis-majlis ilmu bagi memudahkan para penuntut meningkatkan kefahaman diri secara berperingkat dalam mazhab Syafie adalah seperti berikut:

- Arrisalatul Jami'ah - Ahmad bin Zain Alhabsyi

- Safinatun Najah - Salim Alhadhrami, dan pelbagai syarah baginya

- Alyaqut Wannafis - Assyatiri

- Matan Alghayah Wattaqrib - Abi Syuja', dan pelbagai syarah baginya

- Sofwatuz Zubad - Ibn Ruslan

- Dua Mukhtasar, Al-Kabir (Almuqaddimah Alhadhramiah) dan Assaghir - Bafadhl, dan pelbagai syarah baginya

- Syarhut Tahrir - Syaikhul Islam Zakaria Al-Ansari

- Busyral Karim - Ba'isyn

- 'Umdatus Salik - Ibnu Naqib

- Attanbih dan Almuhazzab - Assyirazi


Pelbagai komentar (hasyiah) juga amat bermanfaat seperti:


- Hasyiah Albaijuri 'Ala Matn Abi Syuja'

- Hasyiah Syato 'Ala Fathil Mu'in lil Malibari

- Hasyiah Assyarqawi 'Ala Tahrir

- Hawasyi Almadaniah 'Ala Syarh Ibn Hajar limuqaddimah Bafadhl, lilkurdi

dan pelbagi lagi kitab Hasyiah yang lain.


Selain itu, terdapat juga kitab-kitab fatwa yang begitu bernilai seperti:

- Fatawa Al-Imam Subki

- Alhawi lissuyuthi

- Alfatawa Alkubra libni Hajar.


Sebahagian ahli hadis pula telah menyusun kitab bagi menjelaskan dalil-dalil pada mazhab seperti:

- Attalkhis Alhabir - Ibn Hajar Al-'asqalani

- Albadrul Munir - Ibnul Mulaqqin


Sementara kitab feqh yang dikuatkan dengan dalil-dalil beserta perbincangan ke atas dalil-dalil mazhab seperti:


- Nihayatul Matlab fi Adilllatil Mazhab - Imamul Haramain Aljuwaini

- Almajmu' Syarh Muhazzab - Annawawi

- Fathul 'Aziz bisyarhi Wajiz Alghazali - Arrafi'i

Keistimewaan Mazhab Syafie

1. Penekanan Imam Syafie Rahimahullah sebagai pengasas Mazhab, kepada pengumpulan hadis dan sunnah. Beliau menuntut dengan Imam Sunnah, Malik, dan mengajar pula Imam Sunnah, Ahmad bin Hanbal. Jejak langkahnya diikuti oleh para imam dalam Mazhab ini, sehingga sebahagian mereka menjadi ulamak hadis yang merupakan huffaz agung, seperti Albaihaqi dan Ibn Hajar Al-'asqalani. Ulamak ini telah memberi khidmat yang besar kepada mazhab dengan menguatkan mazhab dengan dalil-dalil.

2. Penekanan pengasasnya Rahimahullah dengan pelbagai bentuk qias dan asas-asas kepada istinbat yang dimahiri oleh Imam Abu Hanifah dan penuntut-penuntutnya, sehingga mampu mengasaskan penulisan ilmu Usul Feqh. Kemudiannya para pengikutnya pula menjadi rujukan utama dalam ilmu ini seperti Imam Aljuwaini dan Imam Alghazali.

3. Mazhab ini merupakan mazhab pertengahan antara Ahlirra'yi dan Ahlilhadis.

4. Bilangan ulamak yang memberi khidmat serta mengembangkan mazhab ini di setiap tempat, sehinggakan kebanyakan mereka mencapai tahap ijtihad seperti Imam Assubki dan Assuyuthi.

5. Bilangan ulamak mazhab ini yang menjadi mujaddid setiap kurun juga ramai seperti Imam Syafie sendiri mujaddid kurun kedua, Imam Ibn Suraij mujaddid kurun ketiga, Imam Al-Ghazali mujaddid kurun kelima, Alfakhurrazi mujaddid kurun keenam, Ibn Daiqil 'Aid mujaddid kurun ketujuh, Assuyuthi kurun kesembilan dan Imam Alhaddad kurun kesebelas.

6. Banyaknya kitab yang ditulis oleh para ulamak dalam mentahqiq mazhab ini serta menguatkannya dengan dalil-dalil serta memudahkan para penuntut pada setiap zaman dalam lipatan sejarah.

7. Pengikutnya yang begitu ramai di merata tempat, tersebar dari Asia Tenggara, sehingga ke benua Hindi, negara-negara Parsi, Iraq dan Syam, kemudiannya Hijaz, Bahrain, Hadhramaut serta Yaman selain Mesir dan beberapa negara Afrika.


Penutup

Penulisan ini hanya bertujuan untuk menerangkan kepada khalayak serba sedikit pengetahuan asas tentang mazhab. Seperti mana yang diketahui umum, telah sepakat keseluruhan ulamak, akan kewajipan bertaqlid bagi seorang yang belum mencapai martabat ijtihad. Maka sewajarnyalah kita mengetahui mazhab yang kita ikuti dalam urusan agama.

Bukanlah tujuan penulisan ini untuk menyeru kepada taksub kepada sesuatu mazhab, tetapi ingin menyedarkan kita betapa bernilai dan mulianya setiap mazhab feqh yang empat di sisi Islam dan sumbangannya kepada Ummat Islam amnya. Tiada kecacatannya jika kita berpegang dengan sesuatu mazhab seperti mana ribuan para ulamak terdahulu yang berpegang dengan sesuatu mazhab.

Semoga virus tidak mahu bermazhab, memperlekehkan pendapat ulamak mazhab, takjub dengan diri sendiri sehingga menyangka pendapatnya lebih benar dari ulamak-ulamak tersebut, mudah menghina para ulamak dan ilmuan Islam, bersangka buruk dengan mereka yang menuntut ilmu agama serta guru-guru agama, serta 1001 lagi virus yang kini cuba disebarkan dalam masyarakat kita dapat dibendung dan dibenteras.

Doa kita kepada Allah, moga disatukan hati-hati kita semua dalam kebenaran, dilimpahkan kita rahmat dan keberkatan-Nya, dicucurkan kita kebaikan dunia dan akhirat, digolongkan bersama Muqarrabin, dibangkitkan bersama para anbiya' dan solihin. Amiin.