CARI TAJUK UTAMA
Showing posts with label masjid. Show all posts
Showing posts with label masjid. Show all posts

Tuesday, June 3, 2008

Adab Didalam Masjid (Rumah Allah)

Ajaran Islam memang melarang umatnya dari bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah lebih-lebih lagi kata-kata keji, lucah dan sebagainya. Larangan tersebut perlu diberi perhatian terutama sekali di dalam masjid dan kawasannya. Berbual perkara keduniaan yang tidak berfaedah langsung dan tidak ada kaitanya dengan kebahagiaan hidup di akhirat, perlu dihindarkan sama sekali semasa kita berada di dalam masjid.

Juga Islam melarang umatnya berkumpul di dalam masjid semata- mata untuk memperkatakan keaiban orang lain lebih-lebih lagi mengumpat, menghina, menuduh, mengejek, menjatuhkan maruah orang lain juga mengangkat suara dengan tinggi.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :-
"Dari Ibn Mas'ud r.a Nabi bersabda: akan datang di akhir zaman umatku datang ke masjid lalu mereka duduk berkumpul-kumpul dan yang dibincangkannya hanya masalah dunia dan kegemaran akan dunia. Janganlah mereka engkau dekati sebab Allah tidak memerlukan kepada mereka." (diriwayatkan oleh Ibn Hubban dan Al-Hakim)

Apabila seorang muslim memasuki masjid, janganlah sekali-kali melangkah kepala-kepala orang lain dan duduk dimana ada ruang kosong. Dia juga perlu meraikan kesempurnaan saf-saf serta dilarang melintas orang-orang yang sedang solat kecuali jika hendak mengisi tempat kosong di saf pertama kerana kecuaian orang yang berada di saf kedua (kerana tidak mengisi ruang saf yang kosong).

Apabila seseorang itu berada di dalam masjid, maka dilarang meninggikan suara sebagaimana Imam Ibnu al-Haj berkata yang bermaksud :-
"Hendaklah dilarang sesiapa yang mengangkat suaranya di masjid ketika khatib sedang berkhutbah atau sebagainya daripada berbuat demikian."

Sabda Rasulullah bermaksud:
" Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada (gangguan) kanak-kanak kecil, orang gila, jual beli, pedang yang terhunus, meninggikan suara kamu dan tidak boleh melaksanakan hukum hudud (dalam masjid), tangguhlah perlaksanaan hukuman itu pada hari-hari kamu berkumpul."

Imam Malik dan al- Baihaqi daripada Salim bin Abdullah bahawa Umar bin al-Khattab r.a telah membina satu ruang dinamakan al-Butaiha, yang dibina bersebelahan Masjid Rasulullah s.a.w.
Setelah siap beliau berkata :
"Barang siapa yang ingin berucap atau mendeklamasikan sajak atau meninggikan suara maka silalah keluar daripada masjid dan masuklah ketempat ini."
Malah meninggikan suara ketika membaca al-Quran atau berzikir di masjid ditegah oleh Islam. Namun ada juga pengecualian iaitu mengangkat suara kerana mengajar yang merupakan fardu ain atau perkara wajib dengan syarat tidak semasa sembahyang berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. (diriwayatkan oleh Ahmad)

Satu riwayat lain mengatakan:
Nabi sedang beriktikaf di dalam masjid dan baginda mendengar mereka membaca al-Quran dengan nyaring maka baginda membuka tabir dan berkata yang bermaksud : -
"Perhatikan, bukankah kamu semua bermunajat kepada tuhan kamu maka janganlah kamu mengganggu antara kamu dan jangan meninggikan suara ke atas orang lain dengan bacaan al-Quran." (diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasaii)

Melihat kepada asas pembinaan sesebuah masjid, jelas ia bertujuan supaya umat Islam bertakwa kepada Allah dan penyatuan umat. Masjid bukanlah tempat menanam bibit-bibit kebencian satu golongan kepada golongan yang lain dan ia bukan tempat mewujudkan perpecahan di kalangan umat. Dan ia juga bukan tempat menabur fitnah atau gelanggang untuk mencaci pihak yang di benci.

Al-Ouran menceritakan orang-orang munafik juga telah membina masjid bertujuan menabur fitnah dan merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam. Rasulullah s.a.w dapat memahami niat buruk mereka, lalu baginda memerintahkan supaya meruntuhkan masjid tersebut dan membakarnya. Berikutan dengan peristiwa itu Allah menurunkan ayat khusus berhubung dengan membina masjid dan memuji Masjid Quba sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud :-
"Sesungguhnya masjid yang berdasarkan takwa (Masjid Quba) semenjak ia didirikan lebih patut engkau sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid ada orang-orang yang ingin supaya dirinya bersih, sedangkan Allah kasihkan orang-orang yang bersih". (surah at-Taubah : 108)

Thursday, May 22, 2008

Masjid Al Aqsa Bakal Roboh?



Rabu, 14/05/2008 -Zahi Nujaidat, jurucakap Pergerakan Islam bagi tanah Palestin yang dijajah pada 1948 pada Selasa lalu memberi amaran bahawa dinding-dinding Masjid Aqsa boleh retak jika kerajaan Israel terus menyambung pembinaan jambatan kontroversi di pintu pagar Magharba.

Beliau menggambarkan keputusan Israel untuk membina jambatan itu sebagai "serius" dan akan menghasilkan akibat yang buruk di Masjid Aqsa dan di bandar yang ditawan iaitu Baitulmuqaddis sambil menjelaskan bahawa apabila jambatan itu siap kelak, mereka akan membenarkan beribu-beribu askar-askar rejim Zionis dan anggota polis untuk mengganas terhadap para penganutnya dan menguasai Baitulmuqaddis serta masjid itu.

Ulasan Nujaidat hadir dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkannya pada Selasa di bandar Baitulmuqaddis dengan satu salinan telah diperolehi PIC.

"Semua kemusnahan dan kerja-kerja perobohan di pintu pagar Magharba hanya membawa kepada satu sahaja tujuan iaitu membina kuil Third yang menjadi satu konsensus di kalangan ahli politik Israel, sekular dan para agamawan", sambil Nujaidat menyeru orang Islam seluruh dunia supaya menggerakkan upaya mereka dalam mempertahankan Masjid Aqsa.

Tuesday, May 6, 2008

Haji Dan Masjid Allah

Masjid itu rumah Allah. Kaabah juga rumah Allah, tempat kiblat hambaNya membuat ibadah dan tempat turun rahmatnya.

Sabda Nabi s.a.w.

Allah menjanjikan setiap tahun 600 ribu orang akan melakukan haji di rumah ini (Kaabah). Maka jika kurang (bilangannya), ia akan dicukupkan oleh Allah dengan malaikat………..”

Dalam hadith yang lain dikatakan:

setiap waktu akan ada 80 ribu orang sembahyang jemaah di Masjidil Haram. Jika kurang (bilangannya), ia akan dicukupkan oleh Allah dengan malaikat yang berupa manusia.

Yang paling penting pastikan duit untuk buat haji dari sumber yang halal.

Siapa buat haji dengan duit yang halal, tidak celupar mulutnya, tidak bercakap perkara keji, tidak bergaduh dan tidak bercakap perkara yang menaikkan nafsu, dia akan pulang dengan haji yang mabrur.

Jika ada hutang, selesaikan atau minta izin pemberi hutang dahulu atau cari “guarantor” yang boleh menyelesaikan hutang jika berlaku sesuatu. Hutang itu hak manusia, haji hak Allah jika ada kemampuan dari segi kewangan yang melebihi keperluan. Sempurnakan dulu hak manusia dan keluarkan zakat simpanan dari duit yang disimpan.

Dari 600 ribu orang yang buat haji, kadang-kadang hanya 6 orang yang sempurna hajinya. Yang lain hanya menumpang haji mereka yang 6 ini. Salah satu dari 6 orang ini tidak sempat pergi haji tapi diterima juga haji nya. Orang ini telah membuat persiapan haji dan telah keluar dari rumahnya serta berniat haji. Tiba-tiba datang seorang miskin berjumpanya minta didoakan di Mekah agar 3 anak perempuannya dapat berkahwin. Mendengarkan cerita orang miskin ini, orang yang hendak keluar mengerjakan haji itu membatalkan hasratnya untuk pergi haji dan memberi wang kepada orang miskin itu untuk mengahwinkan anaknya. Walaupun begitu, Allah telah terima hajinya disebabkan dia telah berniat haji dan keluar dari rumahnya. Begitulah Allah membalas keikhlasannya membantu orang miskin mengahwinkan anak-anak perempuannya.